Mesut Ozil Berpotensi Untuk Kembali Ke England

Mesut Ozil berkemungkinan akan ditawarkan kesempatan untuk kembali beraksi di pentas bola sepak Inggeris, dengan Hull City berpotensi untuk menjadi destinasi terbaru beliau selepas ini.

Pemilik terbaru Hull City, Acun Ilicali dilaporkan sangat berminat mahu menandatangani bekas pemain midfield Arsenal itu dari Fenerbahce.

Ozil yang kini berusia 33 tahun itu bersama rakan sepasukannya, Ozan Tufan baru-baru ini telah digantung oleh Fenerbahce.

Kedua-dua mereka dilaporkan telah disingkirkan oleh pihak kelab kerana mempunyai masalah salah faham dengan pengurus interim kelab, Ismail Kartal.

Ozil menyertai Fenerbahce pada Januari tahun lalu selepas meninggalkan Arsenal dengan beliau pada ketika itu turut diketepikan dari skuad Gunners.

Bekas pemain kebangsaan Jerman itu telah digugurkan dari skuad Premier League dan Europa League Arsenal dengan beliau dikatakan mempunyai masalah dengan Mikel Arteta.

Walau bagaimanapun, beliau sebenarnya terlebih dahulu sudah diketepikan oleh Gunners selepas Ozil lantang bersuara membela nasib suku Uighur di China.

Ozil kini berdepan situasi yang hampir sama dengan masa depan beliau di Istanbul masih samar-samar dan kerana itulah pemilik Hull City mahu mengambil kesempatan atas situasi yang berlaku pada ketika ini.

Menurut sumber laporan dari TEAMtalk, pemilik terbaru Hull City sangat berminat mahu menandatangani Mesut Ozil dan beliau sangat diharapkan akan mampu membantu kelab kembali ke saingan Premier League.

Ilicali sendiri dilaporkan sudah menghubungi kelab dari Turki itu untuk berusaha mendapatkan Ozil, dan mahu meminjam pemain penyerang Iran, Allahyar Sayyadmanesh.

Pemilik Hull City itu juga dilaporkan sangat berminat mahu mendapatkan khidmat bekas bintang Liverpool, Ryan Babel yang kini sedang beraksi bersama Galatasaray.

Masih belum jelas sama ada Ozil akan berminat atau tidak untuk sertai Hull City yang ketika ini berada di kedudukan ke-20 dalam carta saingan Championship.

Hull City pada ketika ini 13 mata dipisahkan dari zon penyingkiran dan sepertinya mereka akan kekal dalam saingan Championship musim hadapan.

Ejen kepada Mesut Ozil, Erkut Sogut mendakwa yang bekas pemain Arsenal dan Real Madrid itu berhasrat untuk kembali sertai skuad utama Fenerbahce dan tak mahu meninggalkan kelab.

“Mesut tak mahu mengeruhkan lagi keadaan pada ketika ini. Dia juga tidak mahu meninggalkan Ozan sendirian, dia berlatih bersama.”

Jelas Sogut.

“Itulah apa yang berlaku sekarang selepas terjadinya hal menyedihkan dengan jurulatih.”

“Hal macam ini memang selalu menyedihkan. Proses yang tak menyenangkan telah bermula untuk kedua-dua belah pihak. Perkara paling penting adalah kekal tenang dan tunggu keputusan akhir.”

“Saya katakan ini dengan jelas. Mesut tidak akan ke mana-mana, dan dia jelas sekali tak merancang untuk pergi. Dia akan terus berada di sini sebagai pemain Fenerbahce untuk tempoh dua tahun lagi, sehingga kontraknya tamat.”

“Dia menandatangani kontrak selama tiga tahun setengah bersama Fenerbahce, enam bulan darinya dia main secara percuma. Dari Januari sampai akhir musim, dia langsung tak buat duit.”

Walau bagaimanapun, seandainya pihak kelab benar-benar sudah tidak memerlukan khidmatnya lagi, jelas sekali Ozil akan memilih untuk pergi.

Kesempatan itu lah yang sedang dinanti-nantikan oleh kebanyakan pihak, dengan mereka menunggu masa sesuai untuk mendapatkan tandatangan bekas bintang Jerman itu.

Seandainya Hull City berjaya mendapatkan Ozil, ia jelas sekali satu keputusan yang baik dari kelab, dan tidak keterlaluan juga untuk menganggap ia hal yang sangat berbaloi.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Emery: Ozil Sudah Bersedia Untuk Bermain Di Tempat Lawan