Kontrak Mesut Ozil Bersama Fenerbahce Ditamatkan

Karier Mesut Ozil bersama Fenerbahce sepertinya sudah berakhir selepas gergasi Turki itu membatalkan kontrak bekas pemain midfield Arsenal itu pada minggu ini.

Selepas hanya 18 bulan bersama kelab, Ozil awalnya hanya digantung dan kini beliau secara rasminya telah disingkirkan dari skuad utama Fenerbahce.

Sekitar setahun setengah yang lalu, Mesut Ozil telah meninggalkan Arsenal kerana merasakan dirinya tidak lagi diperlukan di London itu.

Beliau kemudiannya bersetuju untuk menyertai Fenerbahce dan pada ketika itu, ramai yang percaya ia adalah perpindahan terbaik untuk bekas bintang Jerman itu.

Walau bagaimanapun, karier beliau bersama Fenerbahce tidak berjalan seperti yang diharapkan dan pada Mac lalu, pihak kelab telah menggantung Mesut Ozil dan menyingkirkan beliau dari skuad.

Beliau digantung oleh pihak kelab kerana mempunyai masalah dengan pengurus kelab.

Ozil bahkan turut dilantik menjadi ketua pasukan sehari sebelum beliau digugurkan dari skuadnya, dengan Fenerbahce turut mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Konyaspor.

Mesut Ozil juga turut dikeluarkan pada aksi babak kedua dalam perlawanan tersebut kerana beliau mempunyai masalah dengan pengurus kelab.

“Pemain dari kelab bola sepak kami, Mesut Ozil dan Ozan Tufan telah disingkirkan dari skuad berkuat kuasa serta merta. Hal ini kami dedahkan kepada umum untuk pengatahuan penyokong.”

Jelas kenyataan dari Fenerbahce ketika menggantung Mesut Ozil.

Walaupun bekas bintang Real Madrid itu mendedahkan yang beliau masih menyokong Fenerbahce, namun beliau sepertinya tidak akan kembali lagi sertai skuad selepas selesai hukuman penggantungan tersebut.

Hal ini kerana beliau secara rasminya sudah disingkirkan dari skuad utama Fenerbahce dan tak akan lagi membuat kemunculan bersama kelab.

Isnin lalu, NTVSpor melaporkan yang kontrak pemain berusia 33 tahun itu di Sukru Saracoglu Stadium sudah ditamatkan serta merta.

Walau bagaimanapun, terdapat juga laporan yang menyatakan bahawa kontrak Ozil ditamatkan atas persetujuan bersama.

Bersama Fenerbahce, Mesut Ozil memulakan kariernya dengan sangat baik dan beliau turut menjadi antara nadi terpenting kelab.

Pada musim ini, beliau telah berjaya menjaringkan lapan gol dan turut mencatatkan 2 assists dari 22 penampilan dalam saingan liga.

Sebelum ini, kelab bola sepak milik manusia terkaya Indonesia Raffi Ahmad dikatakan sangat berminat untuk mendapatkan khidmat Mesut Ozil.

Mungkin dengan keputusan Fenerbahce melepaskan beliau, ia bakal memberi ruang kepada pelakon, pengacara, youtuber dan ahli perniagaan terkenal Indonesia itu untuk membawa Ozil ke bumi Indonesia.

Dari segi ekonomi, jelas sekali Raffi Ahmad tidak berdepan masalah untuk mendapatkan khidmat Ozil, namun semuanya bergantung kepada pemain itu sendiri sama ada beliau mahu atau tidak untuk berkelana jauh ke Asia bagi meneruskan kariernya.

Mesut Ozil juga dilaporkan berpotensi untuk bersara terus dari dunia bola sepak dengan beliau selepas ini akan menceburi dunia eSports.

Seandainya beliau memilih untuk memberi tumpuan kepada eSports, maka Ozil akan bersara terus dari dunia bola sepak.

Ejen beliau sendiri, Dr Erkut Sogut menjelaskan yang Ozil mungkin akan melupakan kariernya sebagai pemain bola sepak dan akan memberi tumpuan kepada dunia eSports.

“Saya rasa dia tak akan bermain bersama mana-mana kelab lagi. Saya tak nampak itu. Ia hanya Fenerbahce dan itu saja.”

Jelas ejen beliau pada Jun lalu.

“Dia akan lebih kepada eSports, bermain sendirian dan mungkin akan menjadi atlet eSports. Sejujurnya dia sangat bagus, dia handal bermain Fortnite dan saya rasa satu hari, saya tak akan terkejut jika dia bertanding.”

Memiliki pemain berkelas dunia yang pernah memenangi Piala Dunia, agak menyedihkan untuk melihat kedua-dua Arsenal dan Fenerbahce mensia-siakan pemain seperti Ozil.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Messi Turkiye Tolak Pinangan Barcelona Dan Pilih Real Madrid