Mike Dean Mahu Bersara Hujung Musim Ini Dan Bakal Menjadi Penjaga VAR Sepenuh Masa

Pemain bola sepak dalam saingan Premier League mungkin akan menarik nafas lega sebaik mendengar berita yang Mike Dean mahu bersara dari menjadi pengadil perlawanan pada penghujung musim ini.

Sedih dan gembira mungkin itulah yang dirasakan oleh para pemain ketika mendengar berita ini, sedih kerana Mike Dean merupakan pengadil yang lucu dan berpengalaman, dan gembira kerana tiada lagi pengadil yang mengeluarkan kad kuning kerana hobi.

Tidak ada pengadil dalam sejarah saingan Premier League yang melayangkan lebih banyak kad kuning atau kad merah berbanding Mike Dean.

Mike Dean memulakan debutnya sebagai pengadil dalam saingan Premier League pada tahun 2000 yang lalu, dengan beliau kini sudah membuat 554 penampilan sebagai pengadil perlawanan.

Selepas 22 tahun, Mike Dean merasakan sudah tiba masanya untuk beliau bersara dari menjadi pengadil, dengan The Telegraph melaporkan yang pengadil veteran itu memutuskan untuk menggantung wiselnya pada penghujung musim ini nanti.

Para pemain perlu lebih berhati-hati selepas ini kerana Mike Dean sudah tentu mahu mencari mangsa ke-115 untuk menerima layangan kad merah darinya sebelum beliau bersara.

Beliau kini sudah melayangkan 113 kad merah dan menjelang Mei, segalanya mungkin boleh berlaku, jangan kata 115, silap-silap 120 kad merah pun Mike Dean boleh dapatkan.

Menurut laporan sama, Mike Dean ketika ini sedang berunding dengan Profesional Game Match Official, badan pengurusan pengadil untuk memohon menjadi pengendali VAR sepenuh masa.

Andai permintaan beliau berjaya, sepertinya nasib para pemain masih belum selamat dengan beliau masih boleh menjadi individu yang akan mencadangkan kad merah kepada pengadil perlawanan di atas padang.

Pada ketika ini, hanya Lee Mason seorang sahaja yang bertugas sepenuh masa sebagai pengadil VAR dengan beliau telah menggantung kad kuningnya pada penghujung musim lalu.

PGMOL dikatakan sedang berunding dengan pengadil berkait tawaran untuk melantik mereka menjadi penjaga VAR sepenuh masa selepas mereka bersara dari menjadi pengadil perlawanan.

Mereka juga akan ditawarkan kontrak baru berserta gaji seandainya mereka menerima tawaran untuk menjadi penjaga VAR sepenuh masa.

Menurut laporan The Athletic, tahun lalu, Mike Dean dijangka akan mengikuti jejak Mason untuk mengakhiri kariernya di atas padang pada penghujung musim 2020/21 namun beliau mengubah keputusannya di saat akhir.

Hal ini kerana Mike Dean teruja dengan kepulangan semula penyokong yang sebelum itu tak dibenarkan untuk masuk ke stadium.

Mike Dean dilaporkan mahu menikmati suasana mengendalikan perlawanan dengan adanya penonton dan kerana itu beliau memilih untuk tidak bersara pada penghujung musim lalu.

Walau bagaimanapun, ada laporan dari The Telegraph yang menyatakan bahawa Mike Dean sebenarnya ketika itu telah diyakinkan oleh Mike Riley supaya jangan bersara terlebih dahulu kerana pengalaman beliau sangat berguna untuk barisan pengadil sekarang.

Dean menjadi pengadil pertama dalam sejarah Premier League yang telah melayangkan 100 kad merah yang mana kad merah ke-100 itu dilayangkan kepada Ashley Young ketika aksi Manchester United bertemu Wolves tiga tahun lalu.

Sikap beliau yang santai, kelakar, tak peduli dengan pemain serta pengurus menjadi tarikan utama para penyokong dan menjadi asbab beliau dianggap sebagai pengadil paling ramai peminat dalam saingan Premier League.

Walau ada yang membenci beliau, namun harus diakui ada kala perlawanan itu menjadi semakin menarik kerana adanya Mike Dean di atas padang.

Selepas bersara, sudah tentu Mike Dean akan lebih memberi tumpuan untuk menyokong pasukan kesayangannya, Tranmere Rovers tanpa rasa bersalah.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Peminat Terhibur Melihat Aksi 'No-Look Yellow Card' Mike Dean