Mourinho Bidas Pemain Manchester United Yang Bersikap Tidak Matang

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho membidas kelakuan pemain Manchester United ketika pasukannya melepaskan gol pada saat-saat akhir perlawanan untuk memberikan pihak lawan satu mata.

Mourinho melabel anak buahnya  bersikap kebudak-budakan kerana melepaskan gol pada minit terakhir. Perlawanan yang berlangsung di King Power Stadium berakhir dengan jaringan 2-2, selepas Harry Maguire menjaringkan gol penyamaan walaupun Leicester bermain dengan 10 orang pemain.

Penyerang antarabangsa England, Jamie Vardy menjaringkan gol pembukaan perlawanan apabila tenang merembat masuk bola selepas menerima umpanan Riyad Mahrez untuk menewaskan David De Gea. Juan Mata menyamakan kedudukan buat United tidak lama selepas itu.

Main macam pondey !

United akhirnya berjaya mendahului perlawanan pada separuh masa kedua melalui Juan Mata yang menjaringkan gol keduanya dalam perlawanan tersebut. Keadaan bertambah buruk buat Leicester apabila Daniel Amartey dibuang padang diperintahkan keluar padang pada minit ke-73 perlawanan. 

Walaupun bermain dengan 10 orang pemain, United masih gagal menambah jaringan untuk mengesahkan kemenangan mereka. Seperti dijangka, Leicester berjaya menjaringkan gol penyamaan pada waktu kecederaan melalui Harry Maguire yang juga merupakan sepakan terakhir dalam perlawanan tersebut.

Pemusnah harapan rakyat Malaysia berketurunan Manchester

Ketika bercakap kepada Skysports selepas tamat perlawanan, Mourinho telah ditanya mengapa pasukannya gagal mendapatkan 3 mata walaupun mempunyai kelebihan pemain pada penghujung perlawanan.

“Saya tidak tahu. Kami gagal memenangi perlawanan tersebut kerana kami terlepas beberapa peluang keemasan. Kemudian pada saat terakhir perlawanan, kami melakukan kesilapan besar ketika bertahan.”

“Ianya himpunan beberapa kesilapan dalam perlawanan yang sepatutnya kami menangi dengan mudah. Pasukan saya bermain dengan baik dan pada separuh masa kedua, keputusan perlawanan sepatutnya menjadi 4,5 atau 6. Tetapi realitinya adalah 2-2. ”

Harapan palsu

“Kadang kala apabila kamu melakukan kesilapan, kamu tidak akan dihukum. Tetapi kali ini, kami menerima hukuman atas kealpaan pasukan.”

“Kami dihukum pihak lawan kerana kesilapan kami sendiri. Apa lagi saya boleh katakan ? Ia sepatutnya perlawanan yang mudah untuk kami menangi. Tetapi apabila kami terlepas peluang keemasan dihadapan gol mereka dan kehilangan bola di kawasan kami sendiri, kami terus dihukum pada penghujung perlawanan.”

“Dalam kotak penalti mereka, kami bersikap kebudak-budakan. Sama juga dalam kotak penalti kami. Kesilapan demi kesilapan dilakukan pemain saya dan kami kehilangan dua mata berharga dari perlawanan yang sepatutnya mudah dimenangi.”

Walaupun prestasi semasa United agak terumbang-ambing ketika ini, pengurus berasal dari Portugal ini masih lagi berasa gembira.

“Saya berasa bagus. Serius. Perasaan marah sebagai pengurus dan berasa bagus adalah dua perkara yang berbeza. Saya berasa bagus kerana saya bekerja cukup keras.”

BACA:  Willian Teringin Untuk Kembali Bekerjasama Dengan Mourinho