Mufti WP : 7 Kehebatan dan Kebaikan Salah Yang Boleh Dijadikan Ibrah

Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri merupakan seorang peminat bola sepak dan juga penyokong tegar Liverpool.

Setiap kali kejayaan diraih oleh Liverpool dan juga pasukan Harimau Malaya, pasti akan ada ibrah atau pengajaran yang dapat dikongsi untuk dijadikan panduan.

Kali ini dalam Qalam Mufti #57 Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah mengangkat Mohamed Salah sebagai Duta kebanggaan Muslim.

Dalam perlawanan akhir FIFA Club World Cup, Liverpool berjaya menjadi juara dan Mohamed Salah telah dipilih Pemain Terbaik Kejohanan (Golden Ball Award Winner) dan Anugerah Khas Penaja (Ali Baba Cloud Award).

Korang hayati sendiri la perutusan Mufti WP :

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Pada edisi Kejohanan Piala Kelab Dunia 2019 kali ini, kita telah diberitakan dengan kemenangan pasukan Liverpool FC (Juara Benua Eropah – England) mengalahkan pasukan Flamengo CR (Juara Benua Amerika Selatan – Brazil) pada perlawanan akhir yang berlangsung awal pagi tadi.

Kemenangan ini merupakan suatu kejayaan manis buat pasukan Liverpool kerana ianya merupakan kejayaan pertama mereka menjadi Juara Kelab Dunia dalam sejarah penubuhan pasukan mereka yang hampir 130 tahun lamanya.

Kejayaan ini juga telah berjaya mengubati kekalahan mereka kepada pasukan yang sama, Flamengo, pada edisi tahun 1981, yang mana ketika itu Flamengo diperkuatkan oleh legenda Brazil, Zico, waktu itu.

Apa yang lebih membanggakan, bintang kebanggaan ramai, Mohamed Salah telah dianugerahkan sebagai Pemain Terbaik Kejohanan (Golden Ball Award Winner) dan Anugerah Khas Penaja (Ali Baba Cloud Award).

Dalam Qalam Mufti edisi kali ini, kami kongsikan 7 kehebatan dan kebaikan yang kami dapati wujud pada diri Mohamed Salah. Semoga ia memberi satu inspirasi kepada kita semua. Antaranya:

1. Beliau adalah merupakan seorang pemain yang amat bekerja keras dan penuh komitmen ketika latihan. Ini terbukti apabila dalam perlawanan sebenar terserlah stamina, kelajuan, skil, teknik sepakan dan persefahaman yang baik dengan rakan sepasukannya.

2. Mohamed Salah juga terkenal dengan sifat baik hati dan mudah didekati peminat. Kami terharu saat menonton klip video beliau menziarahi dan memberi semangat kepada seorang anak Syria yang sakit serta beliau juga menghargai peminat Liverpool yang buta dengan menjemput dan melayani peminat tersebut serta rakannya.

3. Beliau juga didapati selalu melakukan sujud syukur saat berjaya menjaringkan gol.

4. Mendampingi al-Quran. Melalui suatu klip video perjalanan pasukan Liverpool menaiki pesawat, telah kelihatan naskhah Al-Quran yang dibawa bersamanya.

5. Seorang yang pemurah. Mohamed Salah juga banyak menghadiahkan dana sumbangan untuk warga kampungnya di Mesir.

6. Hidup bersederhana. Di saat majoriti pemain terkenal dunia memperagakan kereta-kereta, rumah-rumah dan percutian yang mewah-mewah, beliau mengambil pendekatan hidup yang lebih sederhana dengan amat sukar sekali pihak media hendak mencari maklumat tentang kehidupan beliau.

7. Contoh ketua keluarga yang baik. Jika dibandingkan dengan rakan-rakan pemain beliau, Mohamed Salah, telah berjaya memelihara isteri dan anak beliau daripada lensa populariti dunia yang berbahaya.

Akhir kalam, tahniah Liverpool dan khasnya Mohamed Salah!

Semoga terus menjadi contoh yang baik buat sekalian peminat bola sepak.

Sumber :

BACA:  Mufti Wilayah Gariskan Ibrah Yang Dapat Dipelajari Dari Kemenangan Liverpool