Pelik Tapi Benar : Jose Mourinho Puji Luke Shaw

KIsah bagaimana Luke Shaw sering menjadi perhatian dan juga celaan daripada bekas pengurusnya, Jose Mourinho memang diketahui ramai. Mourinho sering mengeluarkan komen yang tidak enak kepada Shaw meskipun dia sudah tidak menjadi pengurus Manchester United lagi.

Walaubagaimanapun, satu kejadian yang pelik dan aneh telah berlaku di mana Mourinho memuji pemain bek kiri England tersebut selepas dia menampilkan aksi yang cemerlang ketika England membelasah Ukraine 4-0 dalam perlawanan pusingan suku akhir Euro 2020.

Dalam perlawanan tersebut, Shaw muncul sebagai arkitek pasukan di mana dia telah menyumbangkan dua assist – untuk gol Harry Maguire dan juga gol kedua peribadi Harry Kane. Kemenangan tersebut menyaksikan England bakal bertemu Denmark di pusingan separuh akhir.

Mengulas tentang prestasi Shaw dalam perlawanan tersebut, Mourinho mengatakan bahawa bek kiri itu semakin baik.

“Luke Shaw bermain dengan semakin bagus semakin bagus semakin bagus,” tiga kali Mourinho ulang semasa bercakap kepada talkSPORT.

“Aku rasa empat pertahanan yang cemerlang dalam Euro ditambah pula dengan dua pemain tengah yang bermain baik, sudah cukup untuk mengawal pasukan Denmark dengan cara menyerang.

“Lepas tu kau ada empat pemain yang boleh menjadi penentu kreativiti permainan.

“Adakah England perlu bermain dengan tiga pertahanan tengah macam diorang main lawan Jerman?

“Aku tak rasa macam tu. Jerman tu lain sebab tu kena main dengan tiga orang di belakang. Perlawanan ni tak perlukan England untuk sesuaikan diri dengan Denmark.

“Denmark bagus. Diorang dah jumpa cara nak main, berbeza daripada macam mana diorang bermula hari tu.

“Sekarang ni diorang bermain dengan tiga orang di belakang, satu pasukan yang bagus, pemain pun ramai yang bagus dan main di liga terbaik dan ada banyak pengalaman.

“Perlawanan ni akan sukar buat England walaupun England bermain baik dan juga mempunyai kelebihan tempat sendiri.”

Perlawanan menentang Ukraine telah berlangsung di Staidum Olimpico, milik pasukan yang dilatih Mourinho pada musim hadapan, AS Roma. Selepas kemenangan tersebut, Shaw tidak dapat menahan diri daripada senyum selepas diberitahu yang dia mempamerkan aksi yang cukup dan menepati ‘standard Mourinho’.

“Jose ada pendapat dia,” ujar Shaw selepas perlawanan.

“Dia sekarang kerja di talkSPORT dan bebas untuk bersuara. Dia boleh cakap apa yang dia nak.”

Kebangkitan Shaw Selepas Ujian Berat Zaman Mourinho

Shaw kini merupakan antara pemain bek kiri terbaik dunia, lantas membuatkan penyokong United di Malaysia menggelarkannya Shawberto Carlos – gabungan nama pemain ini dengan bek kiri lagenda Brazil, Roberto Carlos.

Selepas pemecatan Mourinho, dan digantikan dengan lagenda kelab, Ole Gunnar Solskjaer, prestasi Shaw semakin hari semakin baik.

Pemain ini sering menjadi watak penting dalam perlawanan yang melibatkan pasukannya melalui gerakan-gerakan berbahaya dari sebelah kiri padang. Pada musim lalu, Shaw menjaringkan gol tunggalnya dalam liga ketika pasukannya menang ke atas jiran setempat, Manchester City di Ettihad.

Pada musim lepas juga menyaksikan Luke Shaw diundi sebagai pemain terbaik kelab daripada rakan pemain dan juga staf pasukan.

Disebabkan kecemerlangannya tersebut, dia dipanggil semula untuk menyarung jersi pasukan England dalam kempen Kejohanan Eropah pada tahun ini, dan tindakan ini ternyata satu tindakan yang bijak daripada pengurus England, Gareth Southgate.

Shaw tidak diturunkan dalam perlawanan pertama England menentang Croatia dan hanya mula diturunkan ketika mereka seri dengan pasukan adik-beradik, Scotland, dalam perlawanan kedua di peringkat kumpulan.

Shaw mengekalkan tempatnya dalam perlawanan ketiga ketika mereka menewaskan Republik Czech dan juga dalam perlawanan pusingan 16-pasukan ketika England menjinakkan Jerman 2-0.

Dalam perlawanan tersebut, Shaw tampil cemerlang dan patut mendapat anugerah pemain terbaik perlawanan selepas dia melakukan satu assist kepada Raheem Sterling ketika England mendapat gol pertama.

Pada minit ke-85, bermula daripada gerakan Shaw yang berjaya merampas bola daripada pemain lawan, dan melorongkan bola kepada Jack Grealish di sebelah kiri. Grealish kemudiannya melakukan hantaran menggunakan kaki kirinya ke dalam kotak penalti Jerman dan bola ditanduk padu oleh kapten Harry Kane, sekaligus mengesahkan kemenangan England ke atas musuh tradisi mereka tersebut.

Pada bulan Mac lalu, Shaw mengatakan bahawa Solskjaer memainkan peranan yang sangat penting dalam kebangkitan prestasinya dan pada masa yang sama turut memuji cara pengurusnya tersebut mengendalikan pemain.

“Cara dia kendalikan pemain tu memang terbaik,” ujar Shaw kepada Sky Sports.

“Cara dia bawa diri dalam macam mana dia bercakap dengan pemain, membuatkan pemain boleh berikan yang terbaik. Kau boleh nampak tu, kan?

“Dia kawal situasi dengan cukup elok dari segi apa yang diperlukan, terutamanya di kelab yang besar seperti Manchester United.

“Dia menghilangkan tekanan dari dada pemain dan ambil kesemua tekanan tu kepada dia.

“Kadang-kadang tak adil la jugak rasanya sebab kitorang yang ada di tengah padang dan kitorang kena ambil sekali la tekanan tu.

“Bagi aku la, terutamanya, daripada apa yang aku ada sebelum Ole datang, memang beza sangatlah. Dia dah tolak aku sampai ke tahap yang baru.”

Sumber : SB

BACA:  Peminat Terhibur Melihat Mourinho Menganjing Pemain Fiorentina