VAR Batalkan Penalti Ketika Sepakan Sedang Diambil

Hujung minggu ini menyaksikan bermulanya saingan Piala FA dengan pertandingan tersebut memasuki pusingan ke-3.

Seperti biasa akan ada kejutan dan kontroversi berlaku dalam beberapa perlawanan. Tapi paling mencuri tumpuan adalah penggunaan ‘Video Assistant Referee’ atau lebih dikenali sebagai VAR dalam beberapa perlawanan yang terpilih semalam.

Pelik tapi benar. Pengadil membatalkan sepakan penalti ketika Vydra sedang berlari anak untuk menyepak bola.

Tujuan sebenar sistem VAR ini diperkenalkan adalah untuk mengurangkan kesilapan yang dilakukan pengadil perlawanan. Namun begitu, bukan setiap keputusan yang datang dari VAR berjalan dengan lancar kerana sesetengah daripadanya melibatkan masa yang agak lama dan menganggu tempo permainan.

Berikut adalah perlawanan yang dipilih untuk menggunakan VAR untuk pusingan ke-3 Piala FA:

Saturday
Bournemouth vs Brighton
Burnley vs Barnsley
West Ham vs Birmingham
Man Utd vs Reading
Crystal Palace vs Grimsby
Newcastle vs Blackburn

Sunday
Fulham vs Oldham
Man City vs Rotherham

Monday
Wolves vs Liverpool

Antara insiden yang paling mencuri tumpuan berlaku dalam perlawanan di antara Burnley dan Barnsley di Turf Moor Stadium semalam.

Pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti kepada Burnley selepas pemain pertahanan Barnsley, Dimitri Cavare menjatuhkan Matej Vydra dalam kotak penalti. Ketika itu kedudukan masih lagi 0-0 dan sepakan penalti itu dijangka akan memberikan gol pendahuluan kepada Burnley dalam perlawanan yang agak seimbang.

Vydra meletakkan bola di tempatnya dan bersedia untuk menyepak bola tersebut. Dalam masa yang sama, pegawai yang bertugas dalam bilik VAR sedang meneliti ulang tayang foul bagi sepakan penalti tersebut.

Ketika beliau sedang berlari anak-anak untuk menendang bola terbabit, pengadil perlawanan Simon Hooper meniup wisel dan memberitahu Vydra yang penalti tersebut sudah ditarik balik.

Ulang tayang menunjukkan Vydra sebenarnya berada dalam kedudukan offside ketika beliau mengambil bola sebelum dijatuhkan dalam kotak penalti.

Pengadil kemudiannya memberikan sepakan percuma kepada Barnsley.

Pengurus Burnley, Sean Dyche meluahkan perasaan kecewanya dengan situasi tersebut kerana masa yang diambil untuk membuat keputusan agak lama.

“Ia merupakan keputusan offside yang betul. Apa yang saya kecewa adalah waktu yang diambil untuk membuat keputusan tersebut. Vydra sedang bersedia untuk mengambil sepakan penalti tersebut.”

“Ia membuatkan seluruh stadium berasa janggal dan semua peminat terpinga-pinga.”

Walaupun dikecewakan VAR dengan keputusan penalti tersebut, Burnley masih mampu mencatat kemenangan tipis 1-0 untuk mara ke pusingan ke-4. Vydra sekali lagi dijatuhkan dalam kotak penalti pada lewat permainan dan sepakan penalti dihadiakan kepada Burnley.

Kali ini ia merupakan keputusan yang tepat dan ia disempurnakan dengan baik sekali oleh penyerang antarabangsa New Zealand, Chris Wood.

BACA:  Premier League 2019/20: Manchester City 5-0 Burnley