Pemain Galatasaray Dilayangkan Kad Merah Kerana Bertumbuk Sesama Sendiri

Galatasaray turun beraksi bertemu Giresunspor untuk aksi perlawanan pembukaan saingan Super Lig musim 2021/22.

Sayangnya perlawanan tersebut telah dicemari oleh insiden yang tidak diingini ketika aksi babak kedua permainan dan menyebabkan pemain Galatasaray dilayangkan dengan layangan kad merah.

Selepas mengharungi beberapa minit sepak mula aksi babak kedua permainan, pemain pertahanan Galatasaray, Marcao telah dilayangkan dengan layangan kad merah kerana bergaduh dengan rakan sepasukannya sendiri.

Ya, beliau dihukum kerana bergaduh dengan rakan sepasukannya sendiri dan ia merupakan permulaan musim baharu yang agak teruk untuk Galatasaray.

Pemain centre-back dari Brazil itu hilang sabar dengan rakan sepasukannya, Kerem Akturkoglu dan ia seolah-olah mengingatkan peminat kepada insiden yang berlaku pada Kieron Dyer dan Lee Bowyer ketika beraksi bersama Newcastle.

Selepas Akturkoglu datang untuk bercakap dengannya, Marcao telah menanduk rakan sepasukannya itu dan turut sempat menghayunkan beberapa das penumbuk ke arah rakannya itu.

Melihat Marcao seperti hilang kawalan dan benar-benar mahu mengajak Akturkoglu bertumbuk, rakan sepasukannya yang lain dengan segera tampil untuk menenangkan mereka.

Rakaman aksi Marcao ketika menghayunkan beberapa das penumbuk ke arah Akturkoglu tular di media sosial dan mendapat perhatian para peminat.

Berikut merupakan video insiden ketika Marcao mengajak rakan sepasukannya bertumbuk.

Tidak tahu apa yang ada dalam fikiran Marcao, namun beliau jelas hilang kawalan dan telah melakukan satu hal yang tidak sepatutnya beliau lakukan.

Bintang berusia 25 tahun itu merupakan salah seorang pemain terpenting Galatasaray, namun kerana tindakan beliau dalam perlawanan tersebut, Marcao berkemungkinan tidak akan mendapat tempat lagi dalam skuad utama gergasi Turki itu.

Mujur saja kad merah yang dilayangkan kepada Marcao itu tidak memberi kesan buruk kepada Galatasaray yang cemerlang memenangi perlawanan tersebut dengan keputusan 2-0.

Mbaye Diagne dan Alexandru Cicaldau berjaya menjaringkan gol untuk Galatasaray menewaskan Giresunspor 2-0 seterusnya mengutip tiga mata pertama mereka dalam saingan musim baharu ini.

Walau bagaimanapun, masih tidak pasti apakah hukuman yang akan dikenakan pada Marcao dari saingan Super Lig dan dari kelabnya sendiri atas perbuatan beliau.

Apa yang pasti, beliau tentunya akan berdepan dengan hukuman penggantungan selama beberapa perlawanan atas kesalahan tersebut dari Super Lig.

Pemain kebangsaan Brazil itu juga berkemungkinan akan didenda oleh Galatasaray kerana kesalahan tidak bermoral yang beliau lakukan.

Dan Marcao selayaknya menerima hukuman tersebut kerana kesalahan yang beliau lakukan sangat tidak patut untuk dilakukan oleh seorang pemain profesional.

Beliau telah menunjukkan sikap tidak matang dan tidak keterlaluan untuk mengatakan yang tindakan beliau sebenarnya memalukan Galatasaray sendiri.

Marcao ketika cuba menyerang rakan sepasukannya sendiri

Dengan kedudukan ekonomi kebanyakan kelab bola sepak ketika ini berada di tahap yang membimbangkan, tidak mengejutkan andai Galatasaray memutuskan untuk menamatkan kontrak beliau kerana kesalahan tersebut.

Sumber: GMS

BACA:  Gol Pertama Galatasaray Hakim Ziyech Sepatutnya Dibatalkan Jika Pengadil Mahir Peraturan