Pemain Kosovo Bertindak Keluar Padang Dalam Perlawanan Menentang Romania

Perlawanan pusingan kelayakan Euro 2024 di antara Kosovo dan Romania terhenti seketika apabila pemain Kosovo bertindak keluar padang dan melangkah ke bilik persalinan selepas penyokong tuan rumah bertindak menggantung banner dan menyanyikan laungan berbaur politik.

Perlawanan baru berlangsung selama 19 minit dan kedudukan sedang terikat 0-0 di antara kedua-dua pasukan apabila insiden membabitkan Serbia itu berlaku.

Kosovo dan Serbia mempunyai hubungan keruh kerana Kosovo adalah negara yang mempunyai majoriti penduduk Albania dan pernah menjadi sebahagian daripada Serbia. Kosovo bagaimanapun berjaya menuntut kemerdekaan pada 2008.

Namun demikian Serbia tetap tidak mengiktiraf Kosovo sehingga ke hari ini, dan masih menganggap Kosovo sebagai sebahagian daripada wilayah mereka walaupun sudah tidak lagi mengawal wilayah tersebut secara formal.

Kemerdekaan Kosovo pula diiktiraf oleh lebih 100 negara termasuk United Kingdon dan Amerika Syarikat.

Negara-negara seperti Rusia dan China masih berpihak kepada Serbia, selain Romania yang menjadi lawan Kosovo di pusingan kelayakan Euro 2024 pada malam tadi.

Bantahan daripada pemain Kosovo kerana provokasi oleh penyokong Romania berlangsung selama 50 minit. Perlawanan tersebut kemudiannya terus berlangsung dengan tegang apabila enam kad kuning dilayangkan pada babak pertama.

Penyerang Kosovo, Vedat Muriqi pula dilayangkan kad merah dalam perlawanan tersebut.

Ketegangan sebenarnya sudah pun bermula sebelum sepak mula apabila penyokong Romania melaungkan ‘Serbia, Serbia’ apabila lagu kebangsaan Kosovo dimainkan.

Ini menyebabkan pegawai stadium memainkan lagu kebangsaan dengan lebih kuat untuk menenggelamkan laungan dari penyokong – tatkala ketegangan di seluruh Bucharest semakin merebak dengan kehadiran pasukan Kosovo.

Ketika perlawanan dihentikan pegawai stadium cuba memujuk penyokong dengan mesej melalui pengumuman: “Usaha sedang dilakukan untuk perlawanan disambung. Berhentilah melaung nama negara jiran kita! Revisionisme tidak dibenarkan oleh UEFA. Ini adalah amaran terakhir.”

Pada ketika itu pihak berkuasa stadium termasuk polis sudah bersedia sekiranya perkara lebih buruk seperti rusuhan berlaku.

Perbincangan turut dilakukan dengan kumpulan ultras yang memulakan provokasi tersebut sebelum perbincangan dengan wakil UEFA diadakan oleh pegawai perlawanan. Sepanduk berbaur provokasi turut diarahkan untuk diturunkan.

Perlawanan panas kerana isu geopolitik itu berakhir dengan kedua-dua pasukan terikat 0-0 pada babak pertama perlawanan.

Drama bersambung pada babak kedua apabila sepakan penalti Nicolae Stanciu diselamatkan penjaga gol Burnley, Arijanet Muric.

Stanciu kemudiannya berjaya meletakkan Romania di hadapan pada minit ke-83 perlawanan sebelum Valenting Mihaila menambah satu lagi jaringan pada masa kecederaan.

BACA:  Xhaka Dan Shaqiri Mungkin Dikenakan Hukuman Daripada FIFA