Peminat bola sepak di Indonesia menuntut wang mereka dikembalikan selepas merasa diri mereka tertipu setelah Lionel Messi dikhabarkan tidak akan diturunkan untuk Argentina dalam perlawanan persahabatan menentang pasukan kebangsaan republik itu pada Jun ini.
Indonesia dijadualkan menentang Palestin pada 14 Jun ini sebelum melayan kunjungan juara dunia itu pada 19 Jun akan datang di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta.
Berita pengesahan Messi tidak akan beraksi di dalam perlawanan tersebut disahkan oleh wartawan ESPN Argentina iaitu Leo Paradizo dimana beliau melaporkan Lionel Messi hanya akan terlibat pada perlawanan menentang Australia pada 14 Jun dan tidak akan diturunkan pada perlawanan menentang Indonesia di Jakarta pada 19 Jun.
Bukan sahaja Messi, malah lebih malang Argentina turut dikatakan tidak akan menurunkan skuad utama mereka untuk perlawanan menentang pasukan yang kini berada di kedudukan ke-149 dunia itu.
Argentina dilaporkan telah mendaftarkan 30 pemain untuk dua perlawanan persahabatan pada Jun ini.
Pengendali pasukan dikatakan bercadang untuk menggunakan 15 pemain utama untuk perlawanan menentang Australia yang akan berlangsung di China pada 14 Jun sebelum menggunakan baki pemain untuk perlawanan menentang Indonesia.
Sebelum ini penjualan tiket perlawanan Indonesia vs Argentina yang dijual secara berperingkat laku keras apabila habis terjual sekelip mata apabila dibuka untuk jualan secara atas talian.
Perkhabaran terbaru ini menyebabkan ramai penyokong bola sepak di Indonesia berasa diri mereka tertipu kerana mengharapkan Argentina menurunkan Messi dan barisan terbaik mereka menentang skuad kendalian Shin Tae-yong.
Berikutan itu timbul desakan agar wang mereka dikembalikan kerana perasaan kecewa tersebut.
Amarah oleh penyokong bola sepak di Indonesia disebabkan perkhabaran Messi tidak akan diturunkan dalam perlawanan tersebut turut mendorong Ketua Umum Persekutuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir menenangkan penyokong bola sepak di negara itu.
Ini bukan kali pertama Argentina berkunjung untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan negara di Asia Tenggara.
Pada 2017, Argentina turut pernah menentang Singapura dan membelasah lawan mereka itu 7-0. Dalam perlawanan tersebut, Messi turut tidak berada di dalam skuad Argentina.