Peminat Liverpool Anggap Robertson Jauh Lebih Hebat Berbanding Luke Shaw

Penyokong Manchester United kini teruja dengan aksi dan persembahan yang dipamerkan oleh Luke Shaw dan menganggap pemain full-back itu sebagai pertahanan kiri terhebat di dunia.

Namun hal itu telah diketawakan oleh penyokong Liverpool sambil tenang menunjukkan statistik perbezaan antara Luke Shaw dan Andy Robertson.

Peminat Liverpool mula terpanggil untuk bersuara akan hal ini selepas penyokong Manchester United riuh mengatakan Shaw merupakan jelmaan semula Roberto Carlos, bahkan menganggap bintang setan merah itu sebagai left-back terhebat dunia masa kini.

Luke Shaw berjaya mencatatkan dua assists ketika membantu England menewaskan Ukraine 4-0 di peringkat suku akhir saingan Euro 2020.

Aksi beliau di Stadio Olimpico, Rome itu berjaya membuatkan penyokong Manchester United berkepak bangga kononnya pemain left-back mereka adalah yang terhebat di dunia.

Tidak dinafikan Shaw sedang berada di tahap persembahan terbaiknya pada ketika ini, dengan beliau cemerlang ketika membantu jentera serangan, baik skuad England mahupun Manchester United.

Beliau berjaya mencatatkan assists untuk gol jaringan Harry Kane dan Harry Maguire pada aksi babak kedua permainan bertemu Ukraine, seterusnya membantu The Three Lions untuk mara ke peringkat separuh akhir.

Mengapa peminat membandingkan Shaw dengan Robertson? Ia jelas kerana kedua-dua mereka bermain di posisi left-back dan mereka turut banyak memberi sumbangan kepada jentera serangan.

Robertson turut tampil di kejohanan Euro 2020 ini bersama skuad kebangsaan Scotland, selepas bintang berusia 27 tahun itu berjaya membawa negaranya sertai kejohanan besar pertama mereka sejak 23 tahun lalu.

Namun sayangnya ketua pasukan Scotland itu gagal untuk membawa skuadnya mara lebih jauh dengan mereka sekadar menghabiskan saingan Euro 2020 ini di peringkat kumpulan sahaja.

Shaw pula kembali menyertai skuad kebangsaan England selepas tiga tahun beliau diketepikan dengan Southgate tertarik melihat aksi hebatnya beraksi dibawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer.

Beliau merupakan watak penting dalam membantu Manchester United mengakhiri saingan liga di kedudukan kedua musim ini, juga berjaya membawa setan merah untuk mara ke perlawanan akhir Europa League.

Tidak diragukan Luke Shaw pada musim ini mengharungi musim yang sangat cemerlang dan beliau boleh dianggap lebih baik dari Robertson.

Namun apabila beliau dianggap sebagai pemain left-back terhebat di muka bumi ini, maka lihat semula kepada statistik tiga musim terakhir ini.

Statistik pada musim lalu sahaja membuktikan Robertson mencatatkan statistik yang lebih baik berbanding Shaw, dengan kedua-dua mereka menjaringkan satu gol.

Namun Shaw hanya berjaya mencatatkan lima assists sedangkan Robertson tenang mencipta tujuh assists bersama skuad Liverpool yang terumbang ambing pada musim lalu.

Dilihat kepada sumbangan mereka terhadap barisan pertahanan pula, kedua-dua mereka masing-masing mencatatkan 10 clean sheet, dengan Manchester United hanya bolos 33 sementara Liverpool pula bolos 42 gol.

Statistik lain dari segi sumbangan terhadap pertahanan, Robertson jelas mengatasi Shaw baik dari segi pintasan, tackle, tackle won dan clearance.

Shaw hanya berjaya mengatasi Robertson dari memenangi duel lebih banyak dan bolos lebih sedikit, selain dari itu Robbo jelas mendahului beliau.

Sumbangan Terhadap barisan pertahanan

Dari segi team play pula, Shaw mencatatkan 85% hantaran tepat berbanding Robbo yang mencatatkan 84.4%.

Selain dari itu, baik dari segi assists, big chance created, jumlah hantaran, hantaran ke depan, hantaran ke belakang, sentuhan, through ball dan jumlah hantaran lintang, kesemuanya berpihak kepada Robertson.

Statistik berdasarkan team play

Jika dilihat kepada musim sebelumnya lagi, ia jauh lebih memihak kepada Andy Robertson dengan Shaw pada ketika itu masih tercari-cari rentak persembahan terbaiknya.

Jika mengikut kepada aksi Shaw musim ini, jelas beliau sememangnya sedang berada di tahap persembahan terbaiknya, dengan penglibatan membantu jentera serangan dan ketika bertahan.

Namun beliau hanya berjaya mempamerkan aksi tersebut bermula pada pertengahan musim 2020/21 dan berjaya dikekalkan sehingga ke hari ini bersama skuad setan merah.

Namun untuk menganggap beliau sebagai yang terhebat di dunia, sepertinya peminat Liverpool ada hak untuk meletakkan Robertson sebagai penghalang.

Ketua pasukan Scotland itu berjaya mengekalkan momentum yang sama dalam tiga musim terakhirnya bersama Liverpool dan pada musim lalu, walau the reds dibelenggu masalah prestasi, namun beliau tetap memberi sumbangan seperti yang diharapkan.

Beliau gagal untuk membawa skuad kebangsaannya untuk mara lebih jauh dalam saingan Euro 2020, namun Robbo tetap cemerlang mencatatkan statistik yang hebat dalam kejohanan ini.

Namun jelas statistik beliau dalam kejohanan Euro tidak boleh tandingi statistik yang Shaw catatkan bersama skuad kebangsaan England.

Untuk lebih adil, Shaw jelas berada di tahap persembahan terbaiknya pada ketika ini, dan boleh dikategorikan antara left-back terhebat di dunia.

Robertson pula, beliau berjaya mengekalkan momentum persembahan yang mantap dalam tiga musim terakhir ini, dan beliau juga layak dikategorikan antara left-back terhebat di dunia.

Kalau dilihat prestasi semasa jelas milik Shaw, jika dinilai berdasarkan satu musim penuh atau dua tiga musim kebelakangan ini, ia didominasi oleh Robbo.

Bagaimana pendapat anda semua? Siapa lebih hebat antara kedua-dua pemain left-back ini? Wajarkah Shaw dianggap sebagai yang terhebat di dunia? Layakkah Robertson untuk dibandingkan dengan Shaw? Bincangkan di ruangan komen.

Kalau min, kedua-dua mereka bagus dan ada kelebihan masing-masing, serta kedua-dua mereka layak dianggap sebagai yang terhebat di dunia.

Sumber: Liverpool echo

BACA:  Pelik Tapi Benar : Jose Mourinho Puji Luke Shaw