Legenda Liverpool Anggap Luke Shaw ‘Overweight’

Bekas pemain pertahanan Liverpool, Jose Enrique telah mempersoalkan tentang bentuk fizikal bintang Manchester United, Luke Shaw.

Beliau mempersoalkan adakah Shaw sebenarnya “overweight” atau ia sekadar halusinasi beliau yang merasakan pemain full-back United itu terlebih berat badan.

Jose Enrique mempersoalkan hal tersebut selepas melihat setan merah sekadar mampu mencatatkan keputusan seri sahaja bertemu Leicester City awal pagi tadi.

United sekali lagi keciciran mata ketika mereka sedang dalam usaha mahu memburu kedudukan empat teratas dalam carta saingan liga.

Skuad kendalian Ralf Rangnick itu hanya mampu mencatatkan keputusan seri sahaja di Old Trafford bertemu Leicester City dan hal itu jelas sekali menyukarkan mereka untuk mencabar Arsenal di kelompok empat teratas.

Shaw tidak berada di tahap persembahan terbaiknya dalam perlawanan tersebut dan beliau turut dilayangkan kad kuning lima minit selepas sepak mula perlawanan.

Beliau turut terpaksa dikeluarkan pada aksi babak kedua permainan kerana dibelenggu masalah kecederaan.

Ketika perlawanan sedang berlangsung, bekas pemain left-back Liverpool, Enrique tampil mempersoalkan keupayaan fizikal pemain kebangsaan England itu.

“Adakah hanya saya atau Luke Shaw sememangnya overweight?”

Enrique kemudiannya menambah lagi dengan menyatakan:

“Mungkin dia akan jadi pemain yang lebih bagus andai dia berada di tahap fizikal terbaiknya kerana sejujurnya dia ada kualiti yang bagus.”

Shaw sebelum ini pernah berdepan kritikan tentang fizikal beliau, namun chef peribadinya, Jonny Marsh tampil mempertahankan beliau dan menganggap pemain left-back itu berada di tahap fizikal yang menakjubkan.

“Dia ada potongan badan yang berbeza, tapi kenyataannya dia sungguh menakjubkan.”

“Saya ada kawan yang akan kata kepada saya, ‘saya macam tak percaya melihat betapa beratnya badan Shaw itu di mata saya’ dan saya boleh jamin kepada kamu dia ada segalanya dan dia menakjubkan.”

“Dia hanya sedikit gempal, besar, kuat dan hebat, tapi saya sangat terkesima ketika pertama kali melihat dia tanpa baju.”

“Sejujurnya, jika itu gemuk, saya mahu jadi gemuk yang macam itu.”

Shaw sendiri turut pernah menjawab tentang kritikan yang pernah beliau hadapi berkait badannya dalam satu temu bual pada 2018 yang lalu.

“Sudah tentu, orang akan kata saya gemuk, tapi saya tahu lah badan saya sendiri.”

Jelas Luke Shaw.

“Saya selalu nampak besar kerana saya ada rangka yang besar dan saya seperti, kamu boleh kata potongan badan yang sama seperti Wayne Rooney.”

“Saya rasa kamu perlu terima, kerana memang akan sentiasa ada komen negatif dan positif, tapi kedua-duanya boleh buat kamu lebih kuat.”

Manchester United selepas ini akan bertemu dua pasukan tercorot liga, Everton dan Norwich dalam saingan Premier League.

Jelas sekali mereka perlu manfaatkan dua perlawanan itu untuk mengutip tiga mata penuh kerana minggu berikutnya mereka perlu berdepan Liverpool di Anfield.

Seandainya setan merah gagal memanfaatkan kesempatan bertemu dua pasukan tersebut, maka mereka bakal berdepan tekanan lebih besar bertemu Liverpool nanti.

Manchester United sudah tersingkir dari semua kejohanan yang mereka sertai musim ini, dan jelas sekali mereka kini boleh memberi sepenuh perhatian untuk mengejar kedudukan empat teratas dalam saingan liga.

Walau bagaimanapun, melihat kepada kedudukan mereka pada ketika ini, ditambah dengan persembahan semasa Arsenal, sepertinya sukar untuk setan merah mencabar kedudukan empat teratas musim ini.

Namun begitu, setan merah perlu mengelak dari keciciran mata lagi, supaya mereka tak terlepas slot untuk beraksi dalam saingan Europa League musim hadapan.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Walau Mengalami Kecederaan Rusuk, Shaw Tetap Beraksi Cemerlang Dalam Saingan Euro 2020