Reaksi Rivaldo Selepas Peminat Samakan Shaw Dengan Roberto Carlos

Legenda bola sepak Brazil, Rivaldo mengakui yang beliau sukar sebenarnya hendak membuat perbandingan antara pemain, selepas para peminat menyamakan Luke Shaw dengan Roberto Carlos pada kejohanan Euro 2020 ini.

Shaw yang kini berusia 25 tahun telah mempamerkan aksi permainan yang sungguh luar biasa menakjubkan bersama skuad kebangsaan England.

Beliau tidak dinafikan merupakan pemain left-back terhebat dalam pertandingan Euro 2020 ini dan tidak keterlaluan untuk katakan beliau antara pemain full-back terhebat dunia pada ketika ini.

Pemain pertahanan kiri Manchester United itu sekadar memanaskan bangku simpanan ketika aksi perlawanan pembukaan England bertemu Croatia di Wembley sebelum ini.

Walau bagaimanapun, beliau kemudiannya telah diberi kepercayaan untuk beraksi dalam kesebelasan utama England di bawah kendalian Gareth Southgate dalam saingan Euro 2020 ini.

Shaw ketika ini telah berjaya mencatatkan tiga assists dengan aksi cemerlangnya berjaya membawa England untuk beraksi di pentas perlawanan akhir.

Antara aksi terbaik yang beliau pamerkan sepanjang kejohanan ini adalah ketika membantu The Three Lions untuk tewaskan Ukraine 4-0
di peringkat suku akhir sebelum ini.

Ekoran dari persembahan mantap yang beliau pamerkan, para peminat muka menggelar Shaw sebagai jelmaan semula Roberto Carlos.

Selain peminat, rakan sepasukan beliau sendiri turut menganggap Shaw sebagai jelmaan semula Roberto Carlos dan memanggilnya dengan gelaran ‘Shawberto Carlos’.

Luke Shaw bersama skuad kebangsaan England

Rivaldo yang pernah beraksi bersama Roberto Carlos di pentas bola sepak antarabangsa bersama skuad kebangsaan Brazil turut memuji Shaw sebagai seorang pemain yang pantas dan bertenaga ketika menyerang serta mempunyai kualiti hantaran yang bagus.

Walau bagaimanapun, pemenang anugerah Ballon D’or pada tahun 1999 itu turut mendakwa yang tidak adil untuk membuat perbandingan antara Shaw dan Roberto Carlos.

Beliau turut menegaskan kepada para peminat yang bekas rakan sepasukannya itu merupakan pemain kedua terhebat dunia pada tahun 1997.

Rivaldo menjelaskan kepada Betfair bahawa:

“Segelintir pihak media dan penyokong mula membandingkan Luke Shaw dengan bintang Brazil, Roberto Carlos, tapi saya tetap rasa yang sukar sebenarnya untuk membandingkan pemain, terutama sekali ketika kita berbicara tentang salah seorang pertahanan kiri terhebat sepanjang zaman.”

“Roberto Carlos merupakan pemain kedua terhebat di dunia pada tahun 1997, jadi ia sepertinya agak tidak adil untuk membuat perbandingan, apa pun, apa yang boleh saya katakan tentang Shaw ialah dia telah melakukan kerja yang bagus untuk skuad kebangsaan Inggeris.”

“Dia sangat pantas dan bertenaga ketika mahu ke atas dan dia mempunyai kualiti hantaran yang bagus, jadi dia bakal menjadi salah seorang pemain left-back yang serba lengkap dalam melakukan semua fungsi penting ketika bermain di posisi itu.”

Roberto Carlos sendiri turut pernah memberi pandangan tentang Shaw dengan beliau membanjiri bintang England itu dengan pujian yang menggunung.

Beliau menegaskan yang Shaw mempunyai semua kualiti yang cukup lengkap untuk menjadi full back terhebat dunia pada ketika ini.

Legenda Real Madrid yang ketika ini berusia 48 tahun itu telah mendedahkan kepada PA Sport bahawa:

“Kamu boleh nampak yang dia sungguh bermotivasi, persembahan dia ketika bertemu Ukraine sangat bagus. Dia sentiasa bertambah baik ketika diturunkan beraksi dalam setiap perlawanan.”

“Saya rasa dia ada segalanya untuk sampai ke tahap yang tertinggi. Dia merupakan pemain left-back utama England, itu sudah cukup untuk menceritakan tentang kehebatan dia.”

England berjaya mengesahkan tiket untuk mereka beraksi dalam perlawanan akhir saingan Euro 2020 selepas menewaskan Denmark 2-1 di peringkat separuh akhir sebelum ini.

Skuad kendalian Gareth Southgate selepas ini akan turun beraksi bertemu Itali di Wembley, dengan England sangat berharap untuk menjulang Piala utama pertama mereka sejak 1966.

Pengurus England itu dijangka sudah tentu akan menurunkan Shaw sebagai kesebelasan utama beliau, ketika aksi menentang anak-anak buah Roberto Mancini nanti.

Kedua-dua pasukan sangat terdesak untuk memenangi aksi perlawanan akhir itu nanti dalam usaha mereka untuk menjulang Piala kebanggaan Eropah itu.

England tentunya akan melakukan sehabis baik mereka untuk menjulang Piala pertama dalam sejarah mereka sejak 1966, sementara Itali pula sedang dalam rentak persembahan terbaik mereka pada ketika ini.

Pertembungan antara kedua-dua pasukan ini tentunya sangat menarik untuk ditonton dan akan menyajikan aksi persembahan yang sungguh luar biasa menakjubkan.

Sumber: SB

BACA:  Rivaldo- Messi Dan Cristiano Ronaldo Bukan GOAT Dan Yang Layak Diberi Gelaran Itu Adalah..