Shaw: Tidak Bersatu Hati Punca Persembahan Setan Merah Barai

Luke Shaw mengeluarkan kenyataan yang agak kontroversi dan panas ketika temu bual selepas tamat aksi kekalahan Manchester United di tangan Wolves awal pagi tadi.

Setan merah dikejutkan dengan kekalahan pertama mereka di bawah kendalian Ralf Rangnick, selepas mereka dijinakkan 1-0 oleh Wolves di Old Trafford.

Joao Moutinho berjaya menjaringkan gol kemenangan untuk Wolves mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan yang jelas didominasi oleh mereka itu.

Kekalahan ini menyebabkan United semakin jauh dibelakang Arsenal yang kini berada di kedudukan keempat dengan kelebihan empat mata.

Setan merah sementara itu di kedudukan ketujuh dan mereka juga berpotensi untuk dipotong oleh Wolves, Brighton dan Leicester City yang sedang mencucuk rapat dari belakang.

Bercakap selepas kekalahan memalukan di halaman sendiri itu, Shaw tampil mempersoalkan mentaliti para pemain dan turut menyatakan yang beliau tidak rasa para pemain bersatu hati sepanjang perlawanan tersebut.

Beliau juga sepertinya menganjing Ralf Rangnick dengan cara yang sangat halus sepanjang temu bual tersebut.

Pemain berusia 26 tahun itu turut sempat memberikan pujian atas aksi bertahan yang mantap dari Phil Jones, yang membuat penampilan pertamanya dalam perlawanan ini sejak Januari 2020.

“Tidak cukup bagus, kami benar-benar bergelut.”

Jelas Shaw kepada Sky Sports.

“Kami gagal untuk mengawal bola dan ketika kami tidak memiliki bola, kami tidak begitu aggressive. Kami gagal meletakkan mereka di bawah apa-apa tekanan.”

“Ia mungkin nampak macam perlawanan yang mudah untuk mereka. Persembahan dan keputusan yang sangat mengecewakan.”

“Kami tidak memiliki banyak pilihan dengan bola dan kami bukan pasukan yang mendominasi permainan.”

Shaw kemudiannya menambah lagi dengan menyatakan:

“Kami sepatutnya menambah lagi tekanan ke atas mereka, kita sepatutnya ada intensiti. Kami pemain, kami sudah lama berada di sini, mungkin malam ini kamu bergelut, saya tak fikir kami betul-betul bersatu hati.”

“Kamu lihat pada pemain yang kami ada, kami ada pemain berkualiti sangat tinggi, tapi kadangkala kualiti saja tidak cukup.”

“Kita perlu bawa intensiti dan motivasi tambahan. Dalam bilik persalinan, kami tahu apa kami mahu tapi di atas, kita sepatutnya memberikan 100 peratus.”

“Untuk menang perlawanan macam ini, kita semua perlu beri 100 peratus komitmen. Ia sangat sukar dan mengecewakan.”

Melihat apa yang cuba disampaikan oleh Luke Shaw, sepertinya masih ada toksik dalam bilik persalinan, yang menyebabkan berlakunya perpecahan.

Kerana itulah beliau menekankan yang para pemain tidak bersatu hati sepanjang perlawanan tersebut, dan hal ini jelas sangat membimbangkan para peminat.

United memulakan kempen saingan musim ini dengan sangat cemerlang selepas kejayaan mereka membelasah Leeds United 5-1 pada perlawanan pembukaan.

United kemudiannya gagal untuk mendapatkan rentak persembahan terbaik mereka, dan kerap berdepan dengan kekalahan-kekalahan yang memalukan.

Ketika era Ole Gunnar Solskjaer pada awal musim baru-baru ini, Man United kerap diaibkan dengan kekalahan besar.

Namun selepas kelab diambil alih oleh Michael Carrick dan kini terbaru Ralf Rangnick, Man Utd sepertinya sudah tidak melalui hal seperti itu lagi.

Michael Carrick mencatatkan rekod bersih tanpa kalah dalam semua pertandingan ketika kariernya sebagai pengurus sementara kelab.

Sementara Ralf Rangnick pula beliau baru berdepan kekalahan pertama sejak menjadi pengurus interim Manchester United di tangan Wolves awal pagi tadi.

Setan merah selepas ini akan memberi tumpuan kepada aksi dalam saingan Piala FA, dengan mereka bakal melayan kunjungan Aston Villa ke bumi Old Trafford.

Sumber: SPORTbible

BACA:  "Tiga Daripada Empat Pemain Paling 'Rosak' Masih Ada Di Man Utd"- Mourinho