Peminat Terhibur Melihat Reaksi Tsimikas Ketika Beliau Sedar Beliau Tiada Lagu Sendiri Dari Penyokong

Reaksi Kostas Tsimikas ketika beliau sedar yang beliau tiada lagu khusus dari penyokong Liverpool telah mencuit hati para penonton yang menonton.

Tular satu video di media sosial yang memperlihatkan Kostas Tsimikas sedang bermain satu permainan, dan dalam permainan tersebut beliau diminta untuk menyuruh rakan sepasukannya agar menyanyikan lagu untuknya.

Peminat terhibur ketika melihat reaksi Tsimikas ketika beliau menyatakan yang beliau tiada lagu sendiri dari para penyokong.

Tsimikas menyertai The Reds dari Olympiacos pada tahun 2020 yang lalu dengan tujuan untuk menjadi back up kepada Andy Robertson di posisi back kiri.

Beliau walau bagaimanapun telah menjadi antara pemain yang paling disenangi dalam kem Liverpool dengan rakan sepasukannya sangat selesa dengan beliau.

Pemain kebangsaan Greece itu telah menyertai satu pertandingan yang di dipanggil, ‘Call Yourself A Teammate’ bersama Diogo Jota dan Thiago Alcantara.

Kesemua mereka diarahkan untuk meminta rakan sepasukan yang lain supaya menyanyikan lagu ‘khas’ (lagu yang dicipta oleh penyokong) masing-masing.

Jota dan Thiago segera bersetuju, sementara Kostas Tsimikas pula dengan nada sayu menyatakan:

“Saya tak ada lagu bro!”

Jelas Tsimikas dalam keadaan sedih + bingung.

Kesemua tiga pemain dan pengacara sendiri serentak ketawa dan Tsimikas kemudiannya diarahkan untuk meminta rakan sepasukannya agar mencipta lagu baru untuknya.

Beliau kemudiannya mencari Trent Alexander Arnold terlebih dahulu dengan menjerit-jerit nama gelaran pemain full-back itu, SCOUSER! SCOUSER!

Alexander Arnold walau bagaimanapun menolak untuk menyanyi dengan Tsimikas kemudiannya segera bertemu Harvey Elliott dan beberapa orang pemain muda yang lain.

Harvey Elliott walau bagaimanapun sudah menyanyi untuk Diogo Jota maka beliau menolak untuk mencipta lagu baru untuk Tsimikas.

Jordan Henderson yang turut ada di sana turut menolak untuk menyanyi kerana beliau sudah menyanyi untuk Thiago Alcantara terlebih dahulu.

Kedua-dua Harvey Elliott dan Jordan Henderson juga turut menunjukkan reaksi yang sama dengan mereka segera bertanya kepada Tsimikas adakah beliau mempunyai lagu sendiri.

“Kamu ada lagu?”

Soal Henderson sebelum Tsimikas menjawab:

“Tak, tak, satu je bro, apa-apa lagu.”

Tak ada sesiapa nampaknya yang bersimpati dengan nasib Tsimikas, namun mujur sahaja Ibrahima Konate akhirnya sudi juga untuk menghulurkan bantuan.

Sambil menikmati makan tengah hari, Ibrahima Konate menyanyikan lagu rap dalam bahasa Perancis ciptaan sendiri untuk Kostas Tsimikas dengan semua orang ketika itu ketawa besar mendengarnya.

Walaupun lagu ciptaan dari Ibrahima Konate itu cukup untuk menghiburkan semua yang ada di sana, namun malangnya ia tak cukup untuk bantu Tsimikas menang pertandingan tersebut.

Thiago Alcantara yang dinobatkan sebagai pemenang dek kerana Jordan Henderson menyanyikan lagunya dengan intonasi dan nada yang tepat.

Para peminat di media sosial terhibur dengan reaksi Kostas Tsimikas dengan kebanyakkan dari mereka turut berharap agar ada lagu khas untuk bintang Greece itu di masa hadapan.

“Kenapa saya rasa sedih dan terhibur? Saya sedih bila dengar dia cakap dia tak ada lagu, tapi terhibur dengan reaksi yang dia tunjukkan.”

“Kita kena pastikan Kostas Tsimikas segera dapat lagu dia. Dia berhak untuk dapat lagu lepas apa dia sumbangkan untuk kelab?”

“Kostas betul-betul gila (emoji ketawa) tengok cara dia pegang Trent, nampak dia memang tak mahu kalah.”

“Video ini benar-benar menceriakan hari saya, saya rasa hilang semua masalah bila menonton video ini.”

“Saya bukan penyokong Liverpool, tapi saya terhibur dan tertarik dengan keharmonian mereka. Tsimikas nampak seperti seorang pemain yang sering menghiburkan mereka.”

Tsimikas pada musim ini telah berjaya mencatatkan empat assists selepas beliau diberi kesempatan untuk membuat 20 penampilan dalam semua pertandingan.

Sepanjang ketiadaan Andy Robertson, Jurgen Klopp memilih untuk menurunkan Kostas Tsimikas dalam kesebelasan utamanya.

Tsimikas setakat ini tidak pernah menghampakan Klopp, dengan beliau sering mempamerkan aksi persembahan terbaiknya ketika diturunkan.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Lihat Aksi Mengagumkan Tsimikas Mengayam-ayamkan Ricardo Pereira