Reaksi Khabib Nurmagomedov Melihat McGregor Lunyai Di Tangan Poirier

Seteru utama Conor McGregor, Khabib Nurmagomedov telah memberi reaksi selepas melihat petarung dari Ireland itu tewas di tangan Dustin Poirier di acara UFC 264 sebentar tadi.

McGregor mungkin perlu berehat panjang selepas ini memandangkan kakinya patah tebu ketika penghujung aksi pusingan pertama perlawanan bertemu Poirier.

McGregor turun dalam perlawanan hari ini untuk membalas dendam atas kekalahannya kepada bekas Juara interim lightweight UFC itu pada Januari lalu.

Beliau dilihat benar-benar bertekad untuk memenangi perlawanan ini dan turut mempamerkan aksi yang agak baik di minit pertama perlawanan.

Namun Poirier lebih cemerlang selepas menewaskan lawannya itu betul-betul di detik terakhir aksi pusingan pertama perlawanan yang menemukan kedua-dua mereka.

Beberapa detik sahaja sebelum horn dibunyikan, McGregor dan Poirier saling cuba melepaskan tumbukan padu ke arah muka masing-masing, namun kedua-duanya tersasar.

Selepas menghayunkan penumbuk, McGregor berundur ke belakang untuk bersedia mengelak serangan seterusnya yang akan dilancarkan oleh Poirier.

Ketika beliau mengundur, kakinya dilihat seperti tergeliat lalu menyebabkan beliau terduduk dan Poirier menggunakan masa beberapa detik yang ada untuk melepaskan tumbukan padu ke arah The Notorious yang sudah tak bermaya.

Sebaik horn dibunyikan, McGregor menunjukkan ke arah kakinya yang sudah patah tebu kepada petugas kesihatan dan menyebabkan doktor meminta pengadil untuk menamatkan pertarungan tersebut.

Khabib tidak menunggu lama dengan beliau terus memuat naik status di laman twitter miliknya dengan mendakwa:

“Baik akan selalu tewaskan syaitan. Sangat gembira untuk @DustinPoirier saya harap kamu akan dapatkan tali pinggang pada penghujung tahun.”

Menjelang perlawanan mereka sebelum ini, petarung dari Ireland itu mendakwa yang Poirier akan diusung keluar dari gelanggang dengan dibantu oleh petugas kesihatan.

“Dustin akan keluar dari gelanggang dengan menggunakan stretcher.”

Jelas McGregor kepada Ariel Helwani dari BT Sport.

“Itu ramalan saya. Dia akan keluar dari gelanggang selepas perlawanan dengan diusung menggunakan stretcher.”

“Saya sudah bersedia untuk semua itu.”

Jelas McGregor ketika ditanya tentang berapa lama perlawanan itu akan berjalan.

“Saya bukan nak berlagak terlalu awal.. tapi dia memang akan diusung keluar gelanggang menggunakan stretcher.. awal perlawanan.”

Namun pada akhir perlawanan mereka, petarung dari Ireland itu yang keluar gelanggang dengan diusung menggunakan stretcher sambil dibantu oleh petugas kesihatan.

Khabib turut retweet ciapan yang dimuat naik oleh sahabatnya Daniel Cormier

Khabib Nurmagomedov tanpa teragak-agak menegaskan yang itu adalah karma untuk McGregor yang terlalu sombong sebelum memulakan perlawanan.

Legenda terhebat sepanjang zaman UFC itu sudah hampir setahun mengumumkan persaraannya, namun itu sama sekali tidak menghalang McGregor untuk terus bercakap tentangnya.

Dalam temu bual bersama ESPN menjelang perlawanan beliau bertemu Poirier, McGregor sempat menganjing Khabib dengan menyatakan yang pencapaian petarung dari Dagestan itu sampah.

McGregor menyatakan yang:

“Ke mana dia pergi? Mana dia sekarang?”

“Yeah, mengapa? Dia pergi melarikan diri. Dia menghilang, buang masa, jadi gemuk dan tak mampu nak bergerak… Dia langsung tak buat apa-apa dalam sukan ni. Sampah semua yang dia lakukan dalam sukan ini.”

Stephen kemudian mengingatkan McGregor yang Khabib bersara dengan rekod kemenangan 29-0 namun petarung dari Ireland itu langsung tidak peduli dengan hal tersebut.

“Yeah, hebat, dan apa?”

Balas McGregor.

“Jika dia petarung yang ada rekod 13-0 dengan tiga menang dan enam kalah, itu merupakan pertunjukan untuk ayah dia. Ayah dia ada sediakan pertunjukan dan dia bertarung dengan petarung yang hanya ada rekod dua menang, lapan kalah.”

“Sebab tu rekod dia boleh sampai 20-0. Dia ada tiga perlawanan besar di UFC yang membuatkan dia nampak gagah, dan rekod sebelum itu, semua sampah. Tak ada guna langsung, dan sekarang dia hilang.”

The Eagle kemudiannya menganjing McGregor semula dengan mengingatkan petarung Ireland itu bahawa beliau pernah membuatnya menyerah kalah ketika pertemuan mereka pada tahun 2018 yang lalu.

McGregor yang tak mampu berdiri masih tetap bercakap besar dengan menganggap pertarungan itu belum selesai.

Beliau masih sempat mencabar Poirier untuk sekali lagi bertarung dengannya selepas ini.

Poirier sempat memberi sedikit nasihat kepada McGregor selepas tamat perlawanan tersebut supaya tak sembang dan menganjing lawan terlalu berlebih-lebihan.

“Karma bukan sesuatu yang sial, tapi ia adalah cermin.”

“Dia cakap nak bunuh saya, nak letak saya dalam keranda dan semua hal-hal seperti itu, itu tak baik. Saya akan berdoa dia selamat pulang untuk bersama dengan keluarganya yang bahagia.”

Sumber: SB

ESPN

BACA:  Kenali Rakan Khabib Berbaju Merah Yang Menyerang McGregor Di Dalam Octagon