Roberto Carlo : Corak Permainan Dele Alli Seperti Pemain Brazil

Bekas pemain pertahanan Real Madrid, Roberto Carlos meletakkan England sebagai salah satu pasukan pilihan untuk memenangi Piala Dunia, di belakang Brazil.

Carlos juga kagum dengan bakat yang ada pada pemain tengah Tottenham Hotspurs, Dele Alli dan mendakwa pemain tersebut mempunyai ciri-ciri pemain yang berasal dari Brazil.

Alli atau nama Brazilnya, Aladinho merupakan pemain yang akan memacu England menjuarai Piala Dunia di Russia nanti

Carlos merupakan sebahagian dari skuad Brazil yang tewas di pentas final Piala Dunia 1998 di tangan Perancis tetapi bangkit 4 tahun kemudian untuk menjuarai Piala Dunia 2002 yang diadakan di Korea Selatan & Jepun.

Brazil menewaskan Jerman 2-0 dalam perlawanan akhir dengan kedua-dua gol dijaringkan oleh ayam tambatan mereka ketika itu, Ronaldo.

Carlos yang kini berusia 45 tahun percaya skuad Brazil yang akan beraksi di Russia nanti merupakan pasukan pilihan untuk sekali lagi menjulang trofi teragung dalam sukan bolasepak itu.

Selain itu, Carlos juga percaya England mempunyai peluang yang baik untuk memenangi Piala Dunia dan meletakkan England di belakang Brazil sebagai pasukan pilihan.

Roberto Carlos kagum dengan permainan Alli ketika Spurs seri dengan Real Madrid di Santiago Bernabeu

Carlos berkata lagi sekiranya England mahu mengharungi kempen Piala Dunia yang cemerlang, Dele Alli merupakan pemain yang akan memainkan peranan penting buat skuad Three Lions.

“England merupakan salah satu pasukan pilihan selepas Brazil. Tetapi saya suka dengan corak permainan Dele Alli – beliau kelihatan seperti seorang pemain Brazil.”

“Saya melihat aksi beliau ketika Real Madrid bertemu Spurs dan beliau sangat menyerlah. Beliau seorang pemain yang tinggi dan mempunyai kebolehan yang baik. Menang pemain yang bagus. Alli ada aura ‘Brazil’ dalam dirinya.”

Sebelum ini, Alli pernah berkata England akan pergi ke Russia dengan misi untuk memenangi Piala Dunia dan tidak akan berpuas hati sekiranya England meraih tempat kedua.

“Kami akan ke Russia untuk memenangi Piala Dunia. Kami tidak mengharapkan perkara lain selain itu dan kami akan berasa kecewa jika kami menamatkan kempen Piala Dunia di tempat ke-2.”

“Saya rasa kami harus mempunyai mentaliti seperti itu. Kami tidak mahu pergi ke Russia untuk menjadi sebahagian daripada temasya bolasepak tersebut. Kami tahu betapa bagusnya kami sebagai sebuah pasukan. Pasukan ini mempunyai bakat.”

Roberto Carlos dilantik menjadi duta antarabangsa AirAsia. Sering melawat Malaysia kebelakangan ini. Juga rakan karib kepada Tiz Zaqyah

“Sekiranya pasukan ini mampu menunjukkan potensinya yang sebenar, segalanya boleh berlaku.”

Sepanjang sejarah Piala Dunia, England hanya pernah sekali memenangi Piala Dunia iaitu pada tahun 1966 ketika mereka menjadi tuan rumah.

Sejak dari itu, England sering kecundang awal dalam Piala Dunia dan pencapaian terbaik mereka hanya sekadar melangkah ke separuh akhir pada edisi Piala Dunia 1990.

England akan membuka kempen Piala Dunia 2018 dengan perlawnan menentang Tunisia pada 18 Jun ini.

BACA:  Sancho Dijangka Berada Dalam Kesebelasan Utama England Menentang Ukraine