Selepas Ribuan Pohon Pisang Tumbang, Abang Binjai Akhirnya Dilunyai Petarung MMA

Salam dari Binjai berakhir dengan dilunyai oleh salah seorang petarung MMA, Iwan Suwandaru ketika kedua-dua mereka sparring beberapa minggu lalu.

Paris Pernandes merupakan anak jati Binjai, Sumatera, Indonesia dan beliau juga merupakan artis terkenal di platform media sosial TikTok.

Beliau merupakan penggemar sukan tinju dan aktif bertinju bersama Persatuan Tinju Binjai, dengan Paris juga sering berlatih memperkuatkan penumbuk beliau dengan menumbuk pokok pisang.

Paris dan pokok pisang berpisah tiada

Pemuda kelahiran Binjai itu awalnya memuat naik video di laman TikTok miliknya menunjukkan bagaimana kekuatan penumbuknya mampu untuk menumbangkan sebatang pokok pisang.

Beliau sendiri tidak menyangka yang video tersebut akan tular dan mendapatkan perhatian ramai, bahkan trademark beliau, ‘Salam Dari Binjai’ menjadi fenomena di TikTok.

Beliau boleh dikatakan telah menumbangkan hampir separuh populasi pokok pisang di Sumatera Utara Indonesia.

Setiap video yang beliau muat naik, akan ada satu pokok pisang yang menjadi mangsa, dan kadang kala beliau pernah menumbangkan tiga pokok dalam satu video.

Walau hanya sekadar menunjukkan aksi menumbuk pokok pisang sahaja, namun tidak boleh dinafikan yang beliau sebenarnya mempunyai asas menumbuk yang baik.

Gerak tari beliau menghayun penumbuk menunjukkan yang Paris Pernandes mempunyai pengatahuan yang luas dalam sukan tinju.

Boleh dikatakan hampir kesemua video yang beliau muat naik akan mendapat jutaan tontonan, dan kerana itulah trademark ‘Salam Dari Binjai’ menjadi fenomena di TikTok.

Beliau sendiri tidak menduga yang peminat akan berminat untuk menonton videonya menumbuk dan menumbangkan pokok pisang.

Beberapa hari lalu, Paris mengakui yang beliau tidak menyangka video beliau akan menjadi fenomena di Indonesia, bahkan menjadi tular di seluruh dunia.

Apa lagi video yang beliau muat naik hanya sekadar menumbuk pokok pisang, agak mustahil jika difikirkan untuk ia menjadi tular di seluruh dunia.

“Sebelumnya saya tidak sangka yang saya akan tular dengan salam dari Binjai, kota kesayangan saya. Tapi kalau misalnya anda semua membuat konten yang lawak-lawak tentang salam dari Binjai, saya tiada masalah.”

“Tapi jangan sampai menghina ya, kerana ini kota saya.”

Jelas beliau dalam salah sebuah videonya yang dimuat naik minggu lalu, sebelum beliau terus menumbangkan sebatang pokok pisang dibelakangnya.

Paris Pernandes vs Iwan Suwandaru

Paris juga sering memuat naik video beliau bertarung/sparring dengan beberapa peninju lain di Indonesia, namun belum sampai tahap bertarung dengan peninju profesional.

Terbaru, beliau memilih Iwan Suwandaru untuk bertarung dengannya, dan kedua-dua mereka sparring di sebuah gym sebanyak dua pusingan.

Setiap pusingan berlangsung selama tiga minit, dengan mereka hanya berehat selama beberapa saat sahaja sebelum menyambung aksi pusingan kedua.

Di pusingan pertama, Paris awalnya berjaya melepaskan beberapa siri serangan, namun tumbukan beliau berjaya dihalang oleh Iwan Suwandaru dengan kemas.

Iwan Suwandaru berjaya melepaskan beberapa penumbuk padu dan boleh dikatakan dari tujuh tumbukan, empat darinya mengenai sasaran.

Paris sememangnya handal ketika menyerang, namun beliau agak lemah ketika bertahan dan kerana itulah penumbuk Iwan Suwandaru berjaya mengenai kepala beliau.

Di penghujung aksi pusingan pertama, Paris beberapa kali kena hayun, dengan beliau juga turut dapat menghayun satu dua penumbuk lemah yang mengenai Iwan.

Sayang untuk Paris, penumbuk padu yang beliau lepaskan semuanya tidak mengenai sasaran, namun penumbuk dummy beliau sentiasa tepat mengenai sasaran.

Hal ini mungkin kerana Iwan Suwandaru sudah membaca gerakan beliau dengan Iwan sendiri sebenarnya memang petarung MMA professional yang beraksi di One Pride.

Pusingan kedua, abang Binjai mula melancarkan serangan pantas, namun penumbuk beliau banyak yang tersasar berbanding yang mengenai Iwan Suwandaru.

Beliau berjaya melepaskan satu atau dua penumbuk tepat yang mengenai lawannya itu, namun tenaga beliau lebih banyak dibuang ketika beliau menghayun penumbuk kosong.

Iwan Suwandaru mendominasi pertarungan dengan sempurna, dan beliau cemerlang melepaskan beberapa tumbukan padu yang tepat mengenai Paris Pernandes.

Mungkin sudah penat, dua minit terakhir pertarungan, Paris Pernandes dilihat sudah tidak bermaya dengan beliau lebih banyak berlari serta menunduk berbanding berdepan dengan Iwan Suwandaru.

Sebelum perlawanan tamat, Paris Pernandes beberapa kali ditumbuk dan sebaik perlawanan tamat, video habis, jadi tak tahu siapa menang siapa kalah.

Kebiasaannya sparring seperti itu memang tiada pemenang, namun berdasarkan video yang ada, Iwan Suwandaru jelas layak dianggap pemenang.

Paris Pernandes pula sebenarnya turut beraksi dengan baik, namun beliau mungkin sepatutnya boleh berlatih lebih gigih dari segi bertahan.

Mungkin selepas ini beliau boleh memuat naik video dirinya pula ditibai oleh pokok pisang, berbanding beliau yang menumbangkan pokok pisang tersebut.

Hal ini kerana dari segi serangan, Paris Pernandes sudah cukup bagus dan kelemahan beliau yang paling nyata adalah ketika bertahan.

Sumber: Paris Pernandes

BACA:  Kerana Menang Terlalu Banyak, Dana White Diharamkan Masuk Casino Di Las Vegas