Shericka Jackson Dikecam Kerana Terlebih Yakin Sebelum Menamatkan Acara 200m

Pelari pecut Jamaica, Shericka Jackson tersingkir dari acara 200m di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 atas kesilapan beliau sendiri.

Beliau dihukum oleh kesilapan sendiri yang terlalu yakin dan membuat penilaian yang salah ketika akhir perlumbaan.

Jackson buat pertama kalinya menyertai acara 200m ini di temasya Sukan Olimpik, dan beliau juga merupakan calon yang dijangka akan memenangi pingat.

Atlet berusia 27 tahun itu dilihat tidak mempunyai masalah untuk mara ke peringkat separuh akhir, namun entah mengapa beliau telah memperlahankan lariannya ketika tiba ke 50m terakhir perlumbaan.

Dek kerana kesilapan itu, beliau akhirnya gagal untuk mara selepas menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat dengan catatan masa 23.26s.

Catatan dan keputusan itu menyebabkan beliau tersingkir dari acara 200m yang pertama kali beliau sertai di temasya Sukan Olimpik.

Kesilapan beliau memperlahankan lariannya kerana merasakan beliau akan menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua memberi ruang yang selesa kepada atlet Portugal, Lorene Bazolo dan Dalia Kaddari dari Itali untuk memintasnya.

Tiga pelumba yang berada di kedudukan teratas seperti Bahamian Anthonique Strachan, Lorene Bazolo dan Dalia Kaddari berjaya untuk mara ke peringkat separuh akhir.

Pemenang pingat perak ketika temasya Olimpik 1984, Steve Cram yang menjadi pengulas untuk acara 200m semalam turut mengecam tindakan dari pelari Jamaica itu.

“Shericka Jackson boleh dikatakan sekadar berlari anak saja di situ, apa benda semua ni? Kenapa ambil risiko seperti itu?”

“Maafkan saya kalau nampak terlalu kecewa, tapi memang saya kecewa, kecewa untuk dia, untuk jurulatih dia dan untuk rakan sepasukan dia. Benda dia buat sememangnya tak perlu dilakukan.”

Jelas sekali tidak mengejutkan untuk melihat para peminat di media sosial turut mempunyai reaksi yang sama seperti Steve Cram.

Jackson sebelum ini pernah memenangi dua pingat di temasya Olimpik Rio dengan pingat gangsa dalam acara 400m dan pingat perak acara 4*400m lari berganti-ganti.

Di temasya Olimpik Tokyo pula, beliau sudah berjaya memenangi pingat gangsa acara 100m dengan Jamaica menyapu bersih ketiga-tiga pingat.

Pingat emas milik Elaine Thompson Herah, pingat perak Shelly-Ann Fraser-Pryce sementara Jackson pula memenangi pingat gangsa dengan catatan masa 10.76s.

Thompson dan Fraser-Pryce kedua-duanya berjaya untuk mara ke peringkat separuh akhir acara 200m, manakala Jackson pula terpaksa akur tersingkir atas kesalahan beliau sendiri.

Harapan dan impian rakyat Jamaica untuk melihat atlet wanita mereka menyapu bersih kesemua pingat dalam acara 100m dan 200m lebur kerana kesilapan itu.

Atlet Canada, Crystal Emmanuel dan atlet Great Britain, Beth Dobbin kedua-duanya turut menjadi atlet pilihan untuk memenangi pingat dalam acara 200m ini.

Kecuaian membawa padah, itulah ungkapan yang sesuai untuk diberikan pada Jackson yang dihukum atas kelalaian beliau dalam tempoh beberapa saat itu, dan menyebabkan usahanya selama bertahun-tahun menjadi sia-sia.

Jurulatih Jamaica sendiri sangat kecewa dengan tindakan Shericka Jackson yang terlebih yakin itu dan menyebabkan kontijen mereka terlepas satu lagi pingat yang sepatutnya boleh menjadi milik mereka.

Apa yang pasti, Shericka Jackson tentunya turut kecewa dengan hal tersebut dan akan menjadikannya sebagai pengajaran untuk beliau, supaya tidak mengulangi hal yang sama di masa hadapan.

Jamaica ketika ini berada di kedudukan ke-35 dalam carta kutipan pingat selepas memenangi empat pingat secara keseluruhannya setakat ini.

Shericka masih santai di garisan penamat, walau beliau sebenarnya sudah dipintas

Selain trio 100m wanita itu membolot emas, perak dan gangsa, satu lagi pingat untuk Jamaica adalah dari Megan Tapper yang memenangi gangsa dalam acara 100m lari berpagar wanita.

BACA:  Terjunan Stephan Feck Dianggap Yang Paling Teruk Dalam Sejarah Sukan Olimpik