Shin Tae Yong Salahkan Rumput My Dinh Punca Kekalahan Indonesia

Ketua jurulatih Indonesia, Shin Tae Yong telah menyalahkan rumput di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi sebagai punca kekalahan Timnas Indonesia yang gagal beraksi dengan lebih baik.

Shin Tae Yong seperti terbayang-bayang dan terbawa-bawa dengan keindahan rumput di Stadium Gelanggang Olahraga Bung Karno yang ternyata lebih indah dan molek untuk perlawanan bola sepak.

Corak permainan Indonesia di separuh akhir kedua jelas tampak berbeza berbanding perlawanan pertama di mana permainan lebih lancar telah dipamerkan.

Namun ketika bertandang ke Vietnam banyak gerakan pasukan Garuda tersangkut dan tidak begitu lancar seperti tersekat di skala 5 dan menyukarkan permainan bola bawah dan hantaran pendek.

Jika dilihat kepada gol Vietnam juga terhasil dari satu hantaran panjang dari tengah padang terus ke kotak, begitu juga dengan gol kedua, tandukan dari sepakan penjuru.

Masalah rumput di padang My Dinh yang buruk kembali menjadi topik perbahasan Shin Tae Yong selepas tamat perlawanan dan menyalahkan rumput sebagai punca kegagalan Indonesia.

Bagi Shin Tae Yong, Vietnam mempunyai kelebihan kerana sudah biasa bermain di padang rumput sebegitu dan Indonesia bergelut untuk menyesuaikan diri.

“Vietnam sering bermain di Stadium My Dinh, sementara itu padang itu agak asing bagi kami. Untuk gol pertama Nadeo Arga Winata telah membuat keputusan yang salah.”

Shin Tae Yong menyalahkan Nadeo Arga Winata yang alpa dan tidak siap sedia dengan serangan dari Vietnam dan mungkin Nadeo tidak menyangka dengan ketepatan hantaran gelembung buaya itu.

“Dengan gol pertama, saya selalu berpesan supaya sentiasa fokus dari awal dan dalam lima minit pertama. Gol pertama Vietnam sangat bagus dan penjaga gol Indonesia tidak bersedia, gagal membuat bacaan dengan baik.”

Pengendali dari Korea Selatan menyatakan Timnas Indonesia sebelum ini pernah bermain di My Dinh untuk kejohanan Sukan SEA 2021 menentang Malaysia tetapi keadaan rumput ketika itu jauh lebih baik berbanding sekarang.

“Sebagai tambahan, kami gagal untuk beradaptasi dengan baik. Kami bermain di My Dink pada Sukan SEA 2021, namun padangnya jauh lebih baik dibanding saat ini.”

“Pada separuh akhir pertama kami bermain dengan bagus dengan rumput yang bagus di stadium Gelora Bung Karno.” Ujar Shin Tae Yong memberi alasan.

Jika dilihat kepada statistik perlawanan, permainan Indonesia tidaklah seburuk itu kerana dari segi penguasaan bola skuad Garuda hampir setara dengan Vietnam.

Namun jelas dapat dilihat permainan Indonesia kurang lancar ketika dalam transisi menyerang ke bertahan yang membuatkan pasukan tuan rumah mudah merobek.

Selain itu juga Indonesia juga kurang kreativiti dan adakalanya seperti mati akal untuk menembusi pertahanan Vietnam yang bermain dengan penuh berdisiplin.

Serangan banyak tertumpu dikedua-dua belah bahagian sayap dan membuatkan lawan mudah membaca gerakan serta serangan yang cuba dilakukan.

Musuh utama Tim Merah Putih sejak dari separuh akhir pertama adalah sentuhan penyudah yang dilihat semakin teruk dalam perlawanan ini.

Indonesia hanya berjaya melakukan sembilan percubaan sepanjang perlawanan malangnya tiada satu pun percubaan tepat berjaya dihasilkan.

Tanda pagar #styout telah menjadi trending di Twitter selepas kekalahan ini yang membawa suara peminat Timnas yang mahukan Shin Tae Yong dipecat dan bertanggungjawab atas kegagalan ini.

Pelbagai alasan diberikan untuk Shin Tae Yong berundur dan faktor terpaling utama adalah kerana gajinya yang besar yang dilaporkan mencecah USD1 juta setahun namun gagal memberi prestasi yang baik.

BACA:  Park Hang Seo Label Shin Tae Yong Tidak Profesional, Guna Media Sosial Hentam Van Hau