Park Hang Seo Label Shin Tae Yong Tidak Profesional, Guna Media Sosial Hentam Van Hau

Kepala Jurulatih Vietnam, Park Hang Seo telah melabel jurulatih Indonesia, Shin Tae Yong sebagai tidak profesional kerana menggunakan media sosial untuk menghentam pemainnya Doan Van Hau.

Shin Tae Yong telah menggunakan Instagram untuk memuat naik tiga video kecurangan pemain Vietnam, Doan Van Hau disepanjang kejohanan Piala AFF 2022.

Selepas Vietnam berjaya menewaskan Indonesia 2-0 di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi dan mengesahkan tempat ke perlawanan akhir Park Hang Seo akhirnya membuka mulut mengenai perkara ini.

Kedua-dua gol Vietnam telah dijaringkan pada awal permainan bagi setiap separuh masa melalui Nguyen Tien Linh yang telah diassist oleh Do Hung Dung.

Dalam satu sidang media selepas perlawanan, Park Hang Seo mengakui bahawa dia tidak akan sesekali menggunakan mana-mana platform media sosial untuk melakukan provokasi kepada pihak lawan.

“Tentang memprovokasi pasukan saya atau pemain pasukan saya, seharusnya tidak boleh terjadi (jika ada). Saya sendiri pun tidak akan melakukannya.”

Park Hang Seo juga menegaskan bahawa media sosial tidak sepatutnya dijadikan medan untuk menilai permainan buruk seseorang pemain di atas padang.

“Menggunakan Facebook atau jaringan media sosial yang lain sepatutnya tidak boleh dijadikan panduan untuk menilai seorang pemain secara tepat (merujuk kepada Shin Tae Yong post video aksi keji Doan Van Hau).”

Doan Van Hau merupakan figura paling dibenci di Indonesia dan juga Malaysia, sebelum Shin Tae Yong memuat naik video itu, Doan Van Hau sudah viral ketika perlawanan menentang Indonesia lagi.

Terpaling ajaib kenyataan dari Park Hang Seo adalah apabila dia mengakui bahawa hubungannya dengan Shin Tae Yong kini sudah kembali normal dan seperti biasa.

Park Hang Seo mengakui tekanan dan kehangatan perlawanan separuh akhir menentang Indonesia menjadikan dirinya lebih sensitif.

“Saya dan Shin Tae Yong sebelum perlawanan kami sama-sama gugup dan menjadikan saya sensitif dengan keputusan perlawanan, jadi kami berperang mulut.”

“Selepas perlawanan dan hasilnya kami ke perlawanan akhir hubungan kami kini sudah kembali normal.”

Walaupun Park Hang Seo menyatakan hubungannya dengan Shin Tae Yong kembali normal namun mereka dapat dilihat masih lagi tidak berjabat tangan dan bersalaman selepas perlawanan tamat.

“Saya ingin berjabat tangan tapi Park Hang Seo mengelak. Tanya saja kepada dia.” Ujar Shin Tae Yong ketika ditanya mengenasi isu ini.

Sebelum ini Park Hang Seo mengakui bahawa ada masalah peribadi di antara dia dan Shin Tae Yong yang menjawab persoalan kenapa mereka tidak bersalaman.

“Ini adalah masalah peribadi tetapi kenapa kamu (wartawan) tanya di sini? Tetapi Ya, memang ada beberapa alasan peribadi kenapa saya tidak berjabat tangan dengannya.”

Mungkin benar bahawa hubungan Shin Tae Yong dan Park Hang Seo kembali normal apabila ketua jurulatih Indonesia memberikan pujian kepada Vietnam yang bermain lebih baik dan berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir.

“Pasukan Vietnam bermain bagus hari ini. Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Vietnam yang telah memenangi tiket ke Final Piala AFF dan mengekalkan rekod clean sheet sampai ke saat ini.”

Untuk rekod, Vietnam telah mara ke final Piala AFF 2022 tanpa sebarang gol berjaya dibolosi oleh pihak lawan selepas mengharungi enam perlawanan.

Shin Tae Yong juga memuji atmosfera yang telah diwujudkan oleh penyokong Vietnam di Stadium Nasional My Dinh yang memberi kelebihan kepada tuan rumah.

BACA:  Shin Tae Yong Sebarkan Video Aksi Keji Van Hau Cederakan Pemain Lawan