Park Hang Seo dan Vietnam Berpisah, Maka Berakhirlah Perjalanan Penuh Gemilang

Usai tamat perlawanan akhir Piala AFF 2022 secara rasminya Park Hang Seo dan Vietnam berpisah, maka berakhirlah perjalanan penuh gemilang pengendali Korea Selatan itu bersama Naga Emas.

Park Hang Seo telah memilih untuk menamatkan kontraknya lebih awal berbanding sepatutnya iaitu pada 31 Januari 2023 dan persetujuan bersama telah dicapai oleh pengendali dari Vietnam dan Vietnam Football Federation (VFF).

Perkara ini bukanlah satu rahsia kerana sudah pun diumumkan tiga bulan lalu oleh Vietnam Football Federation (VFF) bahawa Piala AFF 2022 adalah kejohanan terakhir Park Hang Seo.

Dalam kenyataanya Vietnam Football Federation (VFF) telah menyebut:

“Sau khi có thông tin HLV Park Hang-seo sẽ chấm dứt hợp đồng với Liên đoàn Bóng đá Việt Nam (LĐBĐVN) từ ngày 31/1/2023, Liên đoàn Bóng đá châu Á (AFC) đã có bài viết trên trang chủ về những cống hiến của nhà cầm quân người Hàn Quốc đối với sự phát triển của bóng đá Việt Nam.”

.

“Selepas dimaklumkan bahawa Jurulatih Park Hang-seo akan menamatkan kontraknya dengan Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VNF) yang sepatutnya tamat pada 31 Januari 2023, Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) telah menyiarkan di laman utamanya mengenai pengorbanan pengendali Korea terhadap perkembangan bola sepak Vietnam.”

Masa pantas berlalu begitu sahaja, Argentina sudah bergelar juara dunia, harapan Park Hang Seo mahu menghadiahkan trofi ketiga Piala AFF kepada peminat sebagai hadiah perpisahan tidak kesampaian.

Namun mereka tidak marah atau memaki malahan sedih untuk melihat Park Hang Seo meninggalkan mereka, mereka memerlukan Park Hang Seo dan Park Hang Seo tidak perlukan mereka.

Legasi luar biasa telah ditinggalkan oleh Park Hang Seo yang menjadikan Vietnam hampir menjadi kuasa besar yang baru di Asia Tenggara malah kini sudah mampu bersaing dengan pasukan Asia seperti dilakukan Thailand.

Suasana hiba dalam bilik persalinan Vietnam selepas tamat perlawanan apabila Park Hang Seo memberikan ucapan terakhir yang penuh emosi, semua pemain menahan perasaan tertunduk sedih.

Park Hang Seo layak diangkat sebagai bapa bola sepak Vietnam walaupun hanya 5 tahun bersama dan bersama jejaka dari Koare itu Vietnam telah mencapai kemajuan yang luar biasa.

Pengendali berusia 65 tahun ini memainkan peranan besar dalam pembangunan bola sepak Vietnam, bermula dengan kempen Kejuaraan AFC U23 2018 (kini dinamakan semula sebagai Piala Asia U23 AFC) ketika membawa anak buahnya menjadi naib juara Kejohanan AFC U23.

Teras skuad U23 pada tahun itu menjadi nadi utama pasukan Vietnam yang membawa pulang gelaran kedua Vietnam di Piala AFF 2018, sebelum berjaya mara sehingga ke suku akhir Piala Asia AFC 2019 di UAE.

Selain pingat emas berturut-turut pada 2019 dan 2021 di Sukan Sea, Viernam juga mara ke pusingan kelayakan akhir Piala Dunia FIFA buat kali pertama apabila mengatasi pasukan teratas di Asia.

Park Hang-seo berkongsi rasa apabila memutuskan untuk menamatkan kontrak dengan Persekutuan Bola Sepak Vietnam:

“Saya memahami kasih sayang dan sokongan kepada saya sepanjang berada di Vietnam. Walaupun saya meninggalkan jawatan ini, saya akan terus bekerja keras untuk membalas sokongan anda dalam masa terdekat. Sekali lagi, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua kasih sayang yang Vietnam berikan kepada saya.”

“Apabila saya dilantik pada 2017, hasrat saya adalah untuk bertindak sebagai jambatan untuk mengukuhkan hubungan antara Vietnam dan Korea dalam semua aspek kehidupan termasuk bola sepak.”

“Saya terus melaksanakan misi itu dan memainkan peranan dalam mengekalkan dan mengukuhkan persahabatan baik antara dua negara Vietnam – Korea,” kongsi jurulatih Park Hang-seo.”

Sejak mengambil alih Vietnam, Park Hang Seo menjadikan pasukan negara itu sebagai yang terbaik di Asia Tenggara dan salah satu yang terbaik di Asia.

Dalam sidang media pertamanya bersama dengan media Vietnam, dia mensasarkan mahu membawa Vietnam ke ranking 100 teratas di dunia.

Pada awalnya ramai yang skeptikal menganggap ia hanya cita cita kosong. Namun di bawah Park Hang Seo Vietnam berjaya melakukannya. Buat pertama kalinya sejak 2008 mereka berada di kalangan top 100 ranking FIFA.

Ketika artikel ini ditulis Vietnam berada di ranking ke-96 FIFA dan satu-satunya pasukan dari Asia Tenggara berada dalam top 100 ranking FIFA.

Ke mana hala tuju jejaka tampan dari Korea ini? Ada khabar dilaporkan bahawa Park Hang Seo akan melatih skuad Korea Selatan bawah 20 tahun.

Selepas Park Hang Seo dan Vietnam berpisah, yang menjadi persoalan kini, mampukah pengganti Park Hang Seo meneruskan legasi yang ditinggalkan itu?

BACA:  Guus Hiddink Puji Park Hang Seo Dan Berharap Vietnam Layak Ke Piala Dunia 2026