Guus Hiddink Puji Park Hang Seo Dan Berharap Vietnam Layak Ke Piala Dunia 2026

Guus Hiddink telah memuji kecemerlangan dan perubahan yang telah dibawa oleh Park Hang Seo kepada bola sepak Vietnam dan berharap pasukan Naga Emas itu akan layak ke Piala Dunia 2026.

Park Hang Seo merupakan pembantu jurulatih kepada Guus Hiddink yang telah menempa sejarah apabila membawa Korea Selatan Mara ke separuh akhir Piala Dunia 2022.

Korea Selatan yang menjadi tuan rumah bersama Jepun telah menjadi pasukan Asia pertama mara ke separuh akhir Piala Dunia dan negara kedua selain pasukan Eropah serta Amerika Selatan menjadi pasukan empat terbaik selepas USA.

Menurut pakar strategi bola sepak dari Belanda itu dengan strategi dan perancangan yang jelas serta sokongan daripada persekutuan bola sepak negara dalam pembangunan akar umbi Vietnam akan mencapai kemajuan dan impian Piala Dunia bukan lagi mustahil.

Zingnews telah menemuramah Guus Hiddink selepas Vietnam berjaya mara ke final Piala AFF dan bertanya kepada bekas pengurus interim Chelsea itu sama pasukan Vietnam mempunyai peluang ke Piala Dunia atau tidak di masa hadapan?

“Saya bangga dengan salah seorang pembantu saya (Park Hang Seo) berjaya memimpin pasukan Vietnam. Semoga pasukan anda boleh memenangi tiket ke Piala Dunia.”

“Saya fikir perkara ini akan menjadi lebih mudah apabila jumlah pasukan yang akan bertanding Piala Dunia US, Mexico dan Kanada akan meningkat.”

Bermula Piala Dunia 2026 yang akan dihoskan secara bersama oleh US, Mexico dan Kanada, jumlah pasukan bertanding telah dinaikkan dari 32 pasukan kepada 48 pasukan.

Berdasarkan pengalaman kejurulatihannya di semua peringkat, Guus Hiddink telah diminta untuk memberi buah fikiran bagaimana cara untuk bola sepak Vietnam terus membangun dengan lebih baik.

“Sangat sukar untuk saya menilai situasi pasukan yang berada di negara yang jauh dari saya. Secara asasnya, perpaduan strategi antara kelab dan persekutuan bola sepak akan memainkan peranan penting dalam pembangunan bola sepak.”

“Bina pasukan Olimpik dan pasukan remaja yang bagus, anda akan dapat melihat pemain bertambah baik dengan cepat. Umur ideal untuk membentuk pemain mudah adalah antara 16 sehingga 21 tahun.”

Idea asasnya untuk pembangungan bola sepak adalah jelas melalui pembangunan akar umbi dan akan bertambah baik dengan peranan yang dimainkan bersama oleh kelab dan persatuan bola sepak. Dua-dua buat kepala atau salah satu buat kepala hancurlah bakat-bakat yang ada. Macam di Macedonia, kelab rasa lagi besar dari negara.

Bagi Guus Hiddink mengeksport pemain tempatan ke luar negara membantu mempercepatkan proses pembangunan dan kini pemain Vietnam sudah ramai berkelana ke serata dunia termasuklah Eropah.

Nguyen Quang Hai kini bermain di Perancis, Nguyen Cong Phuong pula di Liga Jepun, Nguyen Tuan Anh atau Luong Xuan Truong ke Jepun dan Korea Selatan untuk mengembangkan potensi bakat mereka.

“Jika pemain Vietnam dicari oleh pasukan asing, mereka berpeluang untuk mempercepatkan pembangunan peribadi mereka. Bermain dalam pasukan Eropah membolehkan mereka sentiasa dapat pengalaman dari perlawanan sengit, sekali gus membantu kerjaya antarabangsa masa depan mereka.”

Bercakap mengenai resipi rahsianya yang berjaya membawa Korea Selatan ke Separuh Akhir Piala Dunia 2002, Guus Hiddink menjelaskan:

“Kami mempunyai strategi yang baik dan mendapat sokongan daripada presiden Persekutuan Bola Sepak Korea dan pembantunya. Pasukan saya memburu pemain bukan sahaja dalam K.League tetapi juga dalam kejohanan peringkat kolej. Terdapat ramai pemain yang tidak dikenali oleh peminat.”

“Ketika itu, kami sangat agresif dalam memilih pemain elit. Itu memainkan peranan yang sangat penting. Juga, saya melatih sebuah kelab selama kira-kira setahun. Kami melalui banyak perlawanan persahabatan antarabangsa dan seluruh pasukan beraksi dengan baik.”

Guus Hiddink kini berusia 76 tahun telah pun bersara dari karier pengurusan pada 2020 selepas membimbing PSV, Fenerbahche, Valencia, Real Madrid dan Chelsea di peringkat kelab.

Di peringkat kebangsaan pulan Hiddink pernah menguruskan Belanda, Korea Selatan, Australi, Rusia dan Curacao sebelum bersara.

BACA:  Park Hang Seo Mengamuk Selepas Perlawanan