Bagaimana Pembangunan Bola Sepak Jadi Kunci Kepada Kehebatan Vietnam?

Juara bertahan dan pasukan pilihan, Vietnam telah selamat tersingkir dari saingan Piala AFF Suzuki 2020 selepas ditumbangkan Thailand diperingkat separuh akhir.

Kekalahan ini tidak akan menamatkan kehebatan dan penguasaan Vietnam dipersada bola sepak Asia Tenggara kerana tewas pun kepada Thailand yang merupakan pasukan handalan.

Sudah menjadi kelaziman pasukan pilihan gagal menepati ramalan kerana itulah ramalan dipanggil ramalan namun Vietnam merupakan pasukan kedua dari Asia Tenggara yang dapat mempamerkan aksi cemerlang di peringkat asia.

Mereka mara ke suku akhir di kejohanan Piala Asia 2019 dengan menumbangkan Jordan sebelum ditunjukkan jalan keluar oleh Jepun diperingkat suku akhir.

Nguyen Quang Hai pula telah dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan sebanyak dua kali dan dipilih oleh Jawatankuasa Teknikal AFC untuk berada dalam All Star Squad Piala Asia 2019.

Vietnam mempunyai taktikal yang mantap ini dijayakan lagi oleh tahap kecergasan, kecerdasan dan juga kepantasan para pemain Vietnam yang dilihat seringkali melakukan pergerakan tanpa bola dengan begitu bijak.

Jadi, timbul persoalan, bagaimana bola sepak Vietnam mampu berada di tahap yang begitu tinggi pada hari ini walaupun mereka tiada pemain naturalisasi?

Malah apabila disemak semula, kelab Vietnam juga tidaklah begitu gah di pentas Asia di mana hanya pada tahun ini baru ada wakil dari negara tersebut bertanding di Liga Juara-Juara AFC selepas beberapa tahun.

Kalau ikutkan, Malaysia sepatutnya lebih hebat daripada Vietnam kerana kita mempunyai ramai pemain yang half blood dan kita juga ada wakil pada setiap tahun dalam kejuaraan kelab tertinggi di Asia.

Tapi kenapa Vietnam begitu jauh meninggalkan bukan sahaja bola sepak Malaysia, tetapi juga pasukan Asia Tenggara yang lain. Kalau ikutkan, hanya Thailand yang mampu duduk setaraf dengan Vietnam.

Dalam ranking FIFA pun, kedua-dua pasukan ini tidak jauh bezanya dengan Vietnam di tangga ke-99 dan Thailand di kedudukan ke-118. Jadi, apa rahsia kejayaan Vietnam?

Secara mudahnya, ada satu sahaja jawapan – pembangunan bola sepak di peringkat awal. Bila disebut pembangunan pasti melibatkan progres pemain dari kecil sehingga remaja.

Peningkatan Menakjubkan Vietnam

Pada tahun 2006, bola sepak Vietnam berada pada ranking terburuk mereka – 172, dan kini meraka menjadi satu-satunya pasukan dari Asia Tenggara yang berjaya mara sehingga ke pusingan akhir kelayakan Piala Dunia 2022.

Meskipun mereka tewas kesemua perlawanan kepada Arab Saudi, Jepun, Australia, Oman dan China, mereka membuktikan bahawa mereka adalah satu pasukan yang sangat liat untuk ditewaskan di mana mereka tidak pernah tewas lebih daripada dua gol.

Dengan status pasukan yang boleh diangkat sebagai elit, para penyokong Vietnam menjangkakan pasukan mereka akan berjaya mempertahankan kejuaraan AFF Suzuki yang mereka menangi pada tahun 2018.

Perunding bola sepak, Dzung Le, yang juga bekas ketua eksekutif kelab divisyen dua Liga Vietnam, Pho Hien, berkata,”Pasukan Vietnam yang kita ada pada hari ini adalah yang terbaik pernah kita ada.

“Cabaran terdekat pun mungkin Thailand, tapi kalau kau tanya sesiapa sahaja dari Vietnam, mereka akan cakap yang mereka sasarkan kita untuk menang Piala Suzuki pada tahun ini.”

Akademi HAGL

Kunci kepada peningkatan menakjubkan pasukan ini boleh dikatakan berpunca dari satu tempat yang bernama – Central Highlands – tempat di mana berdirinya akademi bola sepak yang bernama Hoang Anh Gia Lai.

Akademi bola sepak pertama dalam Vietnam ini mula beroperasi pada tahun 2007, di atas kerjasama antara pasukan Liga Perdana Inggeris, Arsenal, sekolah bola sepak Perancis JMG Academy dan juga syarikat konglomerat Vietnam sendiri, Hoang Anh Gia Lai.

Dengan lokasi di tanah tinggi – kira-kira 1000m dari aras laut – akademi ini menjadi satu tempat yang cukup ideal untuk pemain berlatih, ditambah pula dengan fasiliti berkelas dunia seperti padang, kolam renang dan juga gimnasium.

Pada permulaannya, seramai 30 pemain dipilih daripada beribu permohonan dan jumlah pengambilan ini dikekalkan pada setiap tahun demi menjaga kualiti akademi, dengan tumpuan utama diberikan ke arah kemahiran dengan bola, kekuatan dan juga kecergasan.

Kemudian mereka akan berlatih selama lima jam setiap hari dan pada masa yang sama, kesemua pemain di akademi ini akan menerima pendidikan akademik yang berkualiti.

Para pemain muda ini tinggal di dalam hostel umpama villa dan biasanya akan meninggalkan akademi ini selepas tujuh tahun menimba ilmu bola sepak, dan menyertai pasukan di Liga Vietnam.

Dalam rekod, sekurang-kurangnya 10 pelatih daripada kelompok yang pertama sedang bermain dengan kelab divisyen satu Liga Vietnam, Hoang Anh Gia Lai FC.

Kemunculan Akademi Lain

Selepas kejayaan akademi tersebut, muncul pula beberapa akademi persendirian yang baharu seperti Promotion Fund of Vietnamese Football Talent (PVF) yang melantik legenda Manchester United, Ryan Giggs selaku pengarah untuk melatih dan menilai jurulatih senior.

Menariknya, akademi ini dianggotai oleh seorang jurulatih yang bernama Philippe Troussier.

Bagi yang tidak kenal, Troussier selaku jurulatih telah berjaya membawa pasukan Jepun layak ke pusingan kalah mati dalam Piala Dunia 2002 selepas membawa negara matahari terbit tersebut menjuarai Piala Asia 2000.

Kini Troussier menjadi jurulatih pasukan bawah-19 Vietnam dan padam masa yang sama, dia menjadi pengarah akademi PVF yang merekrut pemain seawal usia 10 sehingga 12 tahun.

Phillipe Trousier ketika menjadi ketua jurulatih Jepun dalam Piala Dunia 2002. Gambar : Cooljapansoccer

“Sistem Vietnam sudah beroperasi lebih 10 tahun dengan akademi swasta dan kelab-kelab pula sangat teliti dalam menyediakan pemain masa depan dari usia yang sangat muda,” ujar Troussier kepada The World Game, seperti yang dipetik dari SBS.

“Pembangunan kini kian menghampiri tahap keperluan dan kriteria antarabangsa, dari segi organisasi dan juga program teknikal.

“Malah dengan Piala Dunia 2026 bakal menampilkan 48 pasukan telah menaikkan lagi motivasi dan cita-cita Vietnam untuk bergerak bersama dan bersiap sedia semampu mungkin untuk latihan bola sepak dan juga pembangunan struktur.”

Pada tahun lepas, akademi ini menjadi akademi bola sepak yang pertama di Asia Tenggara yang diberikan anugerah tiga bintang – paling tinggi – oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Penilaian ini adalah sebahagian daripada Skim Belia Elit yang mensasarkan untuk meningkatkan pelan pembangunan di kalangan ahli AFC.

Akademi akan dinilai di atas 20 perkara seperti pembangunan, fasilit dan program, selain faktor yang melibatkan pemain seperti kebajikan, psikologi dan pendidikan.

Kesedaran Kelab-Kelab Liga Vietnam

Kini kelab Liga Vietnam yang lain juga telah menyertai program pembangunan ini dengan menubuhkan akademi mereka sendiri untuk menghasilkan pemain muda. Pelaburan ini sudah mula menampakkan hasil apabila pasukan bawah-23 Vietnam menamatkan saingan PIala AFC bawah-23 di tempat kedua, tempat keempat di Sukan Asia 2018 sebelum memenangi pingat emas dalam Sukan SEA 2019.

Beberapa pemain sudah mula mencipta nama dan menjadi idola dan contoh teladan, seperti pemain yang digelar Messi Vietnam – Nguyen Cong Phuong, yang telah bermain bersama kelab di Jepun, Korea Selatan dan Belgium.

Nguyen Cong Phuong – bintang bola sepak Vietnam. Gambar : Vietnam plus

Penganalisa bola sepak Vietnam, Quan Tran Tue, telah memberitahu portal berita Singapura, Strait Times;

“Akademi-akademi ini sememangnya telah mengubah lanskap sukan ini di dalam negara. Kejayaan yang pertama benar-benar memberi kesan mendalam kerana kelab-kelab dan organisasi lain nampak fungsi pembangunan bola sepak belia dari segi peningkatan tahap, lalu mereka pun turut serta.”

Dia telah memberikan contoh di mana Cong Phuong dan pemain tengah, Nguyen Hoang Duc, yang mendapat perhatian dari Thailand, Sepanyol dan Korea Selatan, serta penyerang sayap Nguyen Quang Hai – telah diundi sebagai pemain terbaik dalam edisi Piala AFF Suzuki 2018.

Tran Tue berkata lagi,”Terima kasih kepada akademi-akademi tersebut, pemain Vietnam kini secara teknikalnya sudah jauh lebih bagus berbanding dengan apa yang kita ada pada zaman dulu dan secara taktikalnya juga, kita sudah semakin pintar.”

Jurulatih Kunci Kejayaan Vietnam

Pasukan senior Vietnam juga mampu membawa kejayaan di peringkat senior dengan memenangi Piala AFF Suzuki 2018 dan banyak pihak telah meletakkan Park Hang-Seo sebagai insan yang memegang kunci kepada kejayaan sejak dilantik pada tahun 2017.

“Di sini, dia adalah ikon – jurulatih terbaik yang pernah kita ada,” ujar seorang penyokong Vietnam yang tinggal di Hanoi, Van Tien.

“Kita semua dapat rasa dan nampak semangat daripada dia dan kita semua tahu betapa dia mahukan pasukan kebangsaan untuk lakukan yang terbaik.”

Park Hang Seo berada di dalam barisan kejurulatihan Guus Hiddink dalam Piala Dunia 2002. Gambar : Vocket FC

Dengan pengalaman selaku pembantu pengurus kepada Hiddink dalam Piala Dunia 2002, Park sering dilihat menjerit ke arah pemainnya dan dia juga mampu untuk mencungkil yang terbaik daripada para pemain. Tidak hairanlah anak buahnya melihat dia sebagai seorang ayah.

“Pemain Vietnam mempunyai keunikan mereka tersendiri dari segi kelajuan, kekuatan dan juga teknik yang aku tak nampak ada di kalangan pemain Korea atau Jepun,” ujar Park.

“Aku tak tahu kenapa orang selalu cakap berbadan kecil ni menjadi satu kelemahan buat pemain Vietnam.

“Pemain kecil adalah lebih laju, tambahan pula, pemain Vietnam sangatlah bijak, mereka boleh faham strategi aku dengan mudah dan sesuaikan diri dengan begitu cepat.”

Rujukan : Straits Times

BACA:  Piala AFF 2022: Kesebelasan Utama Malaysia vs Vietnam