Nguyen Quang Hai Tamatkan Kontrak Lebih Awal Bersama Pau FC

Media Perancis, La Republique des Pyrenees mendedahkan bintang Vietnam, Nguyen Quang Hai telah menamatkan kontrak beliau bersama Pau FC setahun lebih awal untuk kembali ke negaranya.

Tindakan tersebut diambil setelah pemain tengah itu jelas sukar untuk mendapatkan minit permainan bersama kelab Ligue 2 itu.

Laporan tersebut menyebut kedua-dua pihak telah mencapai persepakatan dan persetujuan secara bersama untuk tidak meneruskan kerjasama.

“Quang Hai tidak lagi berada di dalam skuad utama Pau FC sejak 1 April lalu. Perjalanan karier di Perancis jelas penuh dengan kesukaran untuk pemain tengah Vietnam itu.

“Kali terakhir Quang Hai melakukan penampilan bersama Pau FC adalaj pada Februari 2023 yang lalu,” ujar laporan daripada surat khabar itu.

Presiden Pau FC bagaimanapun melihat perpisahan tersebut secara lebih optimistik berbanding laporan yang diterbitkan itu.

“Ligue 2 menuntut begitu banyak daripada seseorang pemain. Pertandingan ini memerlukan seorang pemain yang memiliki kekuatan dan kesungguhan. Malang sekali fizikal Quang Hai menyukarkannya.”

Sebelum ini ketibaan Quang Hai di Pau FC pernah menjadi fenomena di Vietnam. Malah akaun media sosial kelab itu yang sebelum ini memiliki hanya 15,000 pengikut telah bertambah menjadi 340,000 pengikut setelah ketibaan Quang Hai.

Hubungan kem Quang Hai dan Pau FC sebenarnya mulai bergolak selepas kelab Ligue 2 itu enggan berbincang mengenai masa depan pemain itu sejak beberapa bulan lalu.

Ejen kepada pemain Vietnam Nguyen Quang Hai meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap layanan yang diberikan oleh Pau FC, selepas pengurusan kelab tersebut tidak mengendahkan permintaan untuk melakukan rundingan,

Michele Fersini iaitu ejen kepada Quang Hai sebelum ini mengajak pihak pengurusan kelab Ligue 1 Perancis itu untuk duduk berbincang mengenai masa depan pemain itu yang kontraknya akan tamat pada Jun 2024.

Maka tidak hairanlah perpisahan di antara kedua-dua pihak akhirnya berlaku.

Sejak menyertai Pau FC pada tahun lalu, Quang Hai sempat melakukan 12 penampilan dan menjaringkan 1 gol untuk kelab itu.

Pemain itu kini sememangnya sudah berada di Hanoi dan dijangka akan menyertai salah sebuah kelab V League dalam masa terdekat.

BACA:  Belajar Bagaimana Pembangunan Bola Sepak Belia Menjadi Kunci Kepada Kehebatan Vietnam Pada Hari Ini