Pemain Pertahanan Vietnam Kahwini Kekasih Sesama Jenis

Tran Thi Thu yang merupakan pemain pertahanan tengah skuad kebangsaan wanita Vietnam menamatkan zaman bujang dengan mengahwini ‘teman wanitanya’, Nguyen Thi Thuong di bandar Ho Chi Minh.

Pasangan itu mulai berpasangan sejak 2022 meraikan perkahwinan mereka pada Sabtu lalu. Ini adalah kali pertama pemain wanita di Vietnam mengahwini pasangan sesama jenis secara terbuka di negara itu.

Majlis perkahwinan itu turut dihadiri oleh rakan sepasukan kelab dan skuad kebangsaan Thi Thu yang lain lain termasuk Hoang Thi Loan, Chuong Thi Kieu dan Tran Thi Kim Thanh.

Thu kini berusia 33 tahun adalah produk akademi bola sepak Ho Chi Minh City FC pada 2006. Dia adalah antara tunjang utama skuad wanita Ho Chi Minh City FC sejak menyertai skuad senior dan membantu pasukan itu meraih lapan kejuaraan di peringkat domestik.

Thu dipanggil menyertai skuad wanita Vietnam buat kali pertama pada 2017 dan sejak daripada itu telah melakukan 32 penampilan untuk negaranya.

Antara kejayaannya bersama Vietnam ialah ketika membantu pasukan negaranya meraih pingat emas di Sukan SEA edisi ke-31 dan ke-32, selain turut beraksi di Piala Dunia Wanita pada 2023.

Kontrak Thu bersama Ho Chi Minh City FC telah pun tamat sebaik sahaja musim 2023 yang lalu berakhir. Dia kini tidak terikat dengan mana-mana kelab dan dilaporkan sedang meneliti pilihan lain untuk saingan musim hadapan.

BACA:  Piala Asia 2023: Vietnam 0-1 Indonesia