Shukor Adan Bersara Dengan Rekod Yang Sungguh Menakjubkan

Shukor Adan kini sudah mengumumkan persaraannya dari dunia bola sepak, dan tidak dinafikan beliau bersara dengan penuh rasa bangga selepas menjulang satu lagi Piala Malaysia di akhir kariernya.

24 tahun bermain bola sepak secara profesional, sudah banyak kejayaan yang berjaya dikecapi oleh Shukor Adan dan kerana itu jugalah beliau dianggap legenda dalam sejarah bola sepak Malaysia.

Kejayaan menjulang Piala Malaysia semalam merupakan satu lagi sejarah baru untuk Shukor dengan beliau menjadi antara pemain tertua yang pernah memenangi gelaran Piala Malaysia.

Apa yang menariknya, beliau juga merupakan antara pemain paling banyak memiliki koleksi pingat kejuaraan Piala Malaysia dengan Shukor pernah lima kali memenangi kejohanan paling berprestij di negara kita itu.

Beliau memenangi gelaran Piala Malaysia sebanyak dua kali bersama Negeri Sembilan pada tahun 2009 dan 2011, dua kali bersama Selangor pada tahun 2002 dan 2005 dan yang terakhir bersama Kuala Lumpur City pada tahun ini.

Ketika aksi perlawanan akhir malam semalam, Shukor di masukkan pada minit-minit akhir permainan kerana kelab mahu memberi penghormatan kepadanya.

Ketika mahu masuk ke padang, seluruh stadium termasuk barisan pemain simpanan memberikan standing ovation kepada ‘The Boss’.

Ia merupakan aksi terakhir Shukor Adan sebagai pemain bola sepak profesional dan beliau layak mendapat penghargaan dari semua pihak.

Sebelum aksi sepak mula perlawanan bertemu Kuala Lumpur City, Shukor Adan sudah mendedahkan hasratnya yang beliau mahu bersara dari dunia bola sepak seandainya KL City muncul Juara saingan TM Piala Malaysia.

“Walaupun kurang minit permainan tetapi jurulatih (Bojan Hodak) tetap percaya dan meletakkan saya dalam skuad. Ia bukan satu perkara yang mudah.

“Kalaulah ditakdirkan KL City FC menang esok, dengan ini saya umumkan persaraan saya dan ini tahun terakhir sebagai pemain bola sepak profesional.

Jelas Shukor Adan menurut laporan dari Berita harian.

“Ini adalah sesuatu yang saya mahu capai di penghujung karier saya. Jika saya tidak diturunkan pun, saya tetap berbangga dengan KL City FC,” katanya pada sidang media pra perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Bercakap tentang aksi perlawanan akhir bertemu JDT, Shukor Adan mendedahkan rasa yakin dan percaya beliau yang skuad Kuala Lumpur City akan melakukan yang terbaik.

“Jurulatih sentiasa memberi motivasi yang tinggi kepada pemain dan pemain menyahut cabaran yang dilontarkan kepada mereka.

“Skuad ini dibarisi pemain muda, jadi mereka semua sudah memberikan yang terbaik. Mereka layak untuk berada di final,”

Shukor bukan hanya menyumbang di atas padang, beliau juga merupakan antara nadi penting untuk bilik persalinan skuad Kuala Lumpur City.

Pengalaman yang beliau miliki sangat membantu untuk membimbing barisan pemain muda dan beliau juga dilaporkan turut ditawarkan untuk menjadi pembantu pengurus selepas sah bersara nanti.

Bersara sebagai seorang legenda, berikut merupakan antara kejayaan yang pernah Shukor Adan miliki sepanjang 24 tahun kariernya.

Pencapaian Shukor Adan

Pingat Perak Sukan Asia Tenggara 2001

Juara Pestabola Merdeka 2007

Naib Juara Piala AFF Suzuki

Juara Piala Sumbangsih 2002

Juara Liga Perdana Malaysia 2005 (Divisyen 2)

Juara Piala Malaysia 2002, 2005, 2009, 2011 dan 2021

Juara Piala FA Malaysia 2005

Naib Juara Piala Malaysia 2008

Naib Juara Piala FA Malaysia 2007/08

Selain detik Shukor Adan beraksi buat kali terakhir, para peminat turut teruja dengan persembahan super mantap yang dipersembahkan oleh Kevin Ray Mendoza dalam perlawanan semalam.

Kevin Ray Mendoza wira sebenar KL City FC

Nama penjaga gol Kuala Lumpur City FC, Kevin Ray Mendoza Hansen trending di semua laman media sosial semalam, selepas beliau mempamerkan aksi persembahan yang sungguh luar biasa menakjubkan.

Aksi cemerlang dan mantap yang beliau persembahkan berjaya membantu KL City untuk muncul sebagai Juara saingan TM Piala Malaysia 2021, buat kali pertama sejak 32 tahun lalu.

Tahun ini merupakan ulang tahun ke-100 dan edisi ke-95 Piala Malaysia sejak Piala HMS Malaya pertama diadakan pada tahun 1921 (Pertandingan ini ditangguhkan selama 6 tahun dari 1942 hingga 1947).

Selangor merupakan juara terbanyak dalam pertandingan ini dengan rekod 33 kejuaraan (Termasuk berkongsi kejuaraan dengan Singapura pada tahun 1928 dan 1929).

Ini merupakan pertemuan pertama Kuala Lumpur City FC (KL City) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Perlawanan Akhir Piala Malaysia selepas era penswastaan penuh.

Ini merupakan kali kelima Kuala Lumpur mara ke perlawanan akhir, dengan rekod menang tiga kali berturut-turut ke atas Kedah (1987, 1988 & 1989) dan tewas 0-2 dengan Johor FA pada tahun 1985.

Manakala bagi JDT, ini merupakan kali keempat di pentas akhir. Dua kemenangan juga ke atas Kedah (2017 & 2019) dan tewas sekali dengan Pahang pada tahun 2014.

Kedua-dua pasukan ini mencatatkan rekod yang sungguh menakjubkan sebelum mara ke perlawanan akhir, dengan mereka melalui 10 perlawanan tanpa kalah.

Sejak dari aksi babak pertama perlawanan lagi, penjaga gol kebangsaan Filipina itu telah mempamerkan aksi persembahan yang sungguh luar biasa menakjubkan.

Sepanjang perlawanan, JDT yang dibarisi oleh barisan pemain terbaik di benua Asia Tenggara ini berkali-kali mencuba untuk membolosi gawang gol KL City.

Namun kehandalan Kevin Ray Mendoza tidak boleh dipertikaikan lagi dengan beliau sebenarnya layak untuk dinobatkan sebagai pemain terbaik dalam perlawanan ini.

Antara percubaan terbaik Harimau Selatan untuk menjaringkan gol adalah ketika Mauricio berjaya menanduk padu bola hasil hantaran dari Arif Aiman, menerusi sudut sepakan percuma.

Tandukan padu itu sepatutnya menjadi gol pertama untuk skuad JDT, namun kecekapan Kevin Ray Mendoza berjaya untuk menafikan percubaan dari Mauricio itu.

Safawi Rasid turut beberapa kali menguji penjaga gol KL City itu namun kesemuanya percubaan tepat beliau mudah untuk diselamatkan oleh Kevin Ray Mendoza.

Nazmi Faiz Mansor yang dimasukkan sebagai pemain gantian juga hampir saja untuk mencatat nama sebagai penjaring gol, namun berjaya dinafikan oleh penjaga gol ketiga Filipina itu.

Aksi babak kedua JDT mempamerkan aksi menyerang yang lebih menggila dengan mereka menyerang kubu Kuala Lumpur City dari pelbagai arah dan sudut.

Selain kehebatan pemain midfield dan pertahanan yang mematahkan semua serangan itu, Kevin Ray Mendoza merupakan masalah terbesar untuk jentera serangan JDT dalam perlawanan ini.

Beliau beraksi sama persis seperti David De Gea ketika kemuncak kariernya dengan Kevin Ray Mendoza menggunakan kesemua anggota tubuhnya untuk menyelamatkan gawang gol beliau.

Pada minit ke-66 permainan, hasil satu serangan pantas dari KL City, mereka berjaya merobek gawang gol JDT menerusi Zhafri Yahya.

Pemain paling lama dalam skuad KL City itu berjaya melepaskan diri dari kawalan Corbin dan mencari ruang selesa di dalam kotak untuk menanti bola hantaran lintang dari J.Partiban.

Partiban melakukan bola hantaran silang yang sungguh berkualiti tepat menemui Zhafri Yahya yang kemudiannya menolak bola masuk ke gawang gol JDT menewaskan Farizal Marlias.

Gegak gempita stadium dengan sorakan dan jeritan kegembiraan dari para penyokong KL City meraikan gol tersebut.

Selang beberapa minit selepas itu, giliran ketua pasukan Kuala Lumpur City FC, Paulo Josue pula yang meledak gol kedua untuk The City Boys, seterusnya memalapkan lagi harapan JDT untuk bangkit.

Hasil gerakan yang direncanakan oleh Hadin Azman dan Ryan Lambert, dan disambung dengan sentuhan pertama yang cukup indah dari Josue sendiri, beliau kemudiannya melepaskan rembatan padu menggunakan kaki kirinya untuk menewaskan Farizal Marlias.

Tidak dinafikan lagi ia gol yang sangat berkualiti dengan sentuhan pertama yang memang berkelas dunia, dan juga kualiti penyudah yang sungguh menakjubkan.

KL City FC berjaya mencipta sejarah baru dalam perlawanan ini selepas mereka menewaskan sang penakluk Malaysia, JDT untuk muncul sebagai Juara TM Piala Malaysia 2021.

Para penyokong Kuala Lumpur benar-benar berpesta meraikan kejayaan pasukan kesayangan mereka itu untuk muncul sebagai King of Malaya 2021.

Walau anugerah pemain terbaik dalam perlawanan ini diserahkan kepada penjaring gol pertama, Zhafri Yahya, namun tidak dinafikan yang Kevin Ray Mendoza turut menjadi watak penting sebalik kejayaan KL City muncul Juara Saingan TM Piala Malaysia tahun ini.

Para peminat di media sosial tidak henti-henti memberikan pujian yang menggunung kepada penjaga gol dari Filipina itu dengan mengatakan:

“Dah lah hensem, tinggi, handal pula tu, maka makin ramai lah penyokong wanita Malaysia dengan mamat dari Filipina ni.”

“Kalau bukan sebab Kevin Ray Mendoza, JDT dah menang perlawanan ni dengan kelebihan tiga ke empat gol. Dia pemain terbaik dalam perlawanan ni, dia penyumbang terbesar sebalik kejayaan KL City.”

“Rasanya Kevin Ray Mendoza patut diangkat sebagai wira, dia terlalu banyak selamatkan KL City malam ni, jentera serangan JDT sampai mati kutu dia buat.”

“Aku rasa dia ni layak dinobatkan sebagai pemain terbaik, gempak gila siot, banyak dia selamatkan bola, dia pahlawan sejati, dia wira Kuala Lumpur, Piala Malaysia ke bumi KL sebab dia.”

Selain Kevin Ray Mendoza, tidak dinafikan juga semua pemain telah mempamerkan aksi terbaik mereka dalam perlawanan ini, dan mereka semua berhak ada dalam lipatan sejarah kelab sebagai skuad yang berjaya menewaskan JDT dalam aksi perlawanan akhir Piala Malaysia.

BACA:  Shukor Adan Pertikai Kenapa Defender Malaysia Terlalu Gemar Letak Tangan Dekat Belakang