“Tak Guna Kita Panggil, Tapi Hati Tak Ada Nak Main”

Malaysia telah berjaya mencatatkan keputusan positif dalam perlawanan pertama Piala AFF Suzuki 2020 apabila membenam cabaran Kemboja tiga gol berbalas satu di Singapura.

Kemboja yang dibimbing legenda bola sepak Jepun, Keisuke Honda, gagal memberikan saingan yang membahayakan pasukan Malaysia, dengan skuad Harimau Malaya dilihat berjaya mendominasi perlawanan sejak sepak mula.

Malaysia membuka jaringan pada minit ke-23 apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas Akhyar Rashid dikasari pertahanan Kemboja. Safawi Rasid yang ditugaskan untuk mengambil sepakan tersebut, tidak lagi cuba melakukan sepakan Panenka di mana dia dengan tenang melepaskan rembatan ke sebelah kiri gol lawan.

Pasukan negara menggandakan kedudukan pada separuh masa kedua menerusi satu gerakan serangan balas yang pantas di mana Syafiq Ahmad telah menghantar bola ke seberang padang kepada Akhyar.

Akhyar sempat memperdayakan dua pertahanan Kemboja sebelum melepaskan rembatan leret ke dalam gol lawan. Kogi melengkapkan gol kemenangan pasukan Malaysia apabila dia menyudahkan satu lagi serangan balas dan kali ini dimulakan oleh Rizal Ghazali, yang membawa bola masuk ke kawasan Kemboja.

Rizal kemudiannya menolak bola kepada Luqman Hakim, yang kemudiannya melakukan cut-back kepada Kogileswaran. Tanpa ditekan atau dicabar oleh pemain lawan, Kogi melakukan placing tepat ke sebelah kanan gol Kemboja.

Dalam rancangan temu bual di Astro Arena yang dikendalikan oleh Hafizal Hamad, tetamunya yang terdiri daripada legenda Malaysia, Shukor Adan, Safee Sali dan juga S. Subramaniam, mereka memuji aksi yang dipamerkan oleh barisan pemain muda negara.

Selepas ditanya tentang Akhyar oleh Hafizal, Safee Sali mengakui bahawa dia teruja melihat gandingan anak tempatan dalam menghasilkan gol buat pasukan negara.

“Saya sangat teruja melihat anak tempatan, bermain sebaik itu, membuka ruang membuat hantaran,” ujar bekas penjaring terbanyak AFF Suzuki 2010 tersebut.

“Kombinasi nampak sangat smooth apabila Luqman membuat cutback kepada Safawi dan Safawi gagal. Tapi pergerakan itu sangat menarik, cukup.

“Saya puas hati dan teruja melihat Luqman bermain, Akhyar di situ, Safawi, Shahrel Fikri, mereka boleh lakukan sesuatu.”

Shukor – pemain yang telah beraksi selama 24 tahun dalam arena bola sepak Malaysia, turut memuji prestasi pemain muda Malaysia.

“Yang penting, kita ada pelapis untuk strike force kita dan Safawi masih muda lagi dan Akhyar pun masih muda lagi.

“Ini yang kita cakap generasi ini akan meninggalkan pemain-pemain generasi lama.

“Sekurang-kurangnya AFF ini adalah satu benda yang orang mencungkil bakat-bakat pemain-pemain ini untuk menonjol.

“Jadi apa yang dilakukan oleh Coach Tan ni, mungkin yang lain tak nak lapor diri – itu tak boleh nak buat apa.

“Yang penting apa yang Safee cakap, budak-budak lokal ini, anak-anak muda ini, dia telah memberi satu kredit untuk Coach Tan, ini adalah waktu aku untuk aku beraksi untuk pasukan negara,” ujar Shukor panjang lebar.

“Tak guna kita panggil, tapi hati tak ada nak main,” celah Hafizal, lalu ditambah oleh Safee;

“Iya, kadang ada yang dipanggil taknak bermain langsung untuk pasukan Malaysia.”

“Tapi untuk mereka ini, AFF ini, macam saya katakan, untuk mereka punya platform ‘aku akan kekal dalam skuad negara’,” ujar Shukor, menyokong kenyataan Safee.

“Jadi mereka pergi pun mereka tahu orang mengutuk pasukan negara ke, orang memuji pasukan negara ke, mereka tetap –  ‘aku nak main aku nak beraksi untuk pasukan negara, aku nak tunjukkan dekat orang yang pemain-pemain tempatan, aku anak-anak muda ni dekat dalam liga banyak bermain ni boleh bermain.’

“Itu lagi penting,” tambahnya.

Walaubagaimanapun, sebelum perlawanan, kesemua mereka di studio Astro Arena tersebut bersetuju bahawa pasukan negara tidak mempunyai seorang defensive midfielder yang natural dan mampu melakukan tugas tersebut dengan baik.

Kalau dilihat di atas kertas, dalam senarai pemain yang diturunkan oleh Tan Cheng Hoe, Junior Eldstal dilihat sebagai calon yang paling sesuai untuk bermain di posisi tersebut, namun malang buat pemain ini apabila dia gagal untuk menamatkan separuh masa pertama apabila dikeluarkan oleh Cheng Hoe dan digantikan oleh Mukhairi Ajmal pada minit ke-27.

Dikhabarkan Eldstal masih lagi tidak selesa dengan kecederaan yang dialaminya sebelum ini.

Pada pandangan Shukor, antara pemain yang boleh bermain di tempat Eldstal ini adalah Shahrul Saad.

“Antara Shahrul Saad dan Junior ini, adalah pemain yang ada persamaan dia sedikit.

“Sekarang ni antara dua stopper dan defensive midfielder ni kena holding pertahanan betul-betul. Sebab dialah yang akan menentukan (hala tuju)serangan daripada pasukan Kemboja,” ujarnya.

Apapun, semoga pasukan Malaysia mampu memperkemaskan lagi barisan pemain menjelang pertemuan kedua kumpulan menentang Laos pada hari Khamis in, dan juga menentang pasukan pilihan, Vietnam pada hari Ahad nanti.

Diharapkan agar Cheng Hoe mampu menurunkan barisan terkuat negara, dalam misi menjuarai Piala AFF buat kali kedua selepas kali terakhir melakukannya pada tahun 2010 yang lalu.

BACA:  Safee Sali Pemain Terbaru Tinggalkan Singa Utara