Perbezaan Pemain Malaysia dan Singapura Yang Bermain di Luar Negara Menurut Shukor Adan

Shukor Adan, bekas kapten pasukan bola sepak Malaysia, telah mengenal pasti perbezaan ketara antara pemain Malaysia dan Singapura yang beraksi di luar negara, dalam perbincangan selepas perlawanan antara kedua-dua pasukan tersebut semalam.

Pasukan Harimau Malaya merekodkan kekalahan pertama di bawah kendalian jurulatih baru, Kim Pan Gon, dalam perlawanan persahabatan Tri Nation selepas Ikhsan Fandi menjaringkan dua gol untuk membawa pasukan Kota Singa memenangi Causeway Derby semalam.

Malaysia seperti perlawanan pertama bermain baik dengan aksi menyerang dan selepas 6 minit dua percubaan dilakukan. Terpaling cantik percubaan Safawi Rasid yang tersasar. Walaubagaimanapun, Singapura terlebih dahulu berada di hadapan pada minit ke-17 melalui Ikhsan Fandi selepas menyempurnakan satu serangan balas pantas dengan satu tolakan mudah ke gawang Malaysia.

Syafiq Ahmad mengalami kecederaan dan Mohamadou Sumareh masuk mengganti. Malaysia terus berusaha mencari gol penyamaan namun tiada gol yang terhasil walaupun bola banyak berada di kawasan Singapura dengan sepakan percuma Safawi terkena palang.

Bersambung babak kedua Malaysia terus menekan Singapura dan Safawi Rasid berjaya mendapatkan sepakan penalti selepas dikasari Safuwan Baharudin selepas bermain satu dua dengan Mohamadou Sumareh. Tapi sayang sepakan penalti tersebut sekadar mengusik palang pasukan lawan.

Bagi menambah kuasa di bahagian serangan, Liridon Krasniqi dimasukkan menggantikan Kogileswaran.

Namun peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan telah dipersia-siakan oleh Safawi Rasid apabila tendangannya ke sebelah kiri gawang terkena palang.

Liridon Krasniqi membuktikan beliau masih layak untuk menyarung jersi Harimau Malaya dengan satu gol melalui penyudah yang tenang. Safiq Rahim berjaya merampas bola dan menghantar kepada Akhyar Rashid yang terus melorongkan bola kepada Liridon Krasniqi untuk disudahkan. Gol ini merupakan gol pertama Mat Don bersama pasukan Harimau Malaya selepas beraksi dalam enam perlawanan.

Bertubi-tubi serangan dilakukan oleh Malaysia untuk gol pendahuluan namun tidak berhasil. Ketika situasi Sumareh offside atau tidak, sedang dibincangkan, Ikhsan Fandi sekali lagi datang merobek gawang Malaysia dengan satu gerakan individu yang padu.

Malaysia berterusan untuk mencari gol penyamaan sekali lagi namun tidak berhasil sehingga tamat perlawanan.

Jika diihat kepada aksi Ikhsan Fandi, dia ternyata mempunyai kelebihan dari segi fizikal dan kepantasan dan sering menjadi ancaman kepada pasukan Malaysia.

Ikhsan yang kini beraksi buat pasukan BG Pathum United di Liga Thailand bersama abangnya, Irfan, pernah beraksi di benua eropah bersama pasukan FK Jerv di Norway.

Sepanjang beraksi bersama pasukan di luar Singapura, Ikhsan dan Irfan adalah watak utama di dalam pasukan masing-masing. Pada musim ini, Ikhsan telah menjaringkan sembilan gol dalam 15 perlawanan buat BG Pathum dan ini adalah beza antara pemain Malaysia dan negara lain yang bermain di luar, menurut Shukor Adan.

Dalam perbincangan selepas perlawanan antara Malaysia dan Singapura, Shukor ditanya tentang pemain Malaysia yang kini beraksi di Liga Belgium, Luqman Hakim.

“Dalam tiga tahun, berapa kali dia start game?” Shukor menjawab soalan yang diajukan oleh Faiz Gurun.

“Itu yang saya selalu tertanya-tanya adakah di liga sana dia bermain dalam first eleven dan terbaru kita dengar dia bermain dalam pasukan kedua -adakah dia bermain dalam first eleven?

“Memang pemain itu bermain di luar dan balik ke sini – ada dua perkara berbeza

“Pemain Singapura bermain di luar adalah pemain regular dan first eleven. Balik ke sini nampak kebolehan mereka dan Luqman dah hampir tiga tahun. Untuk saya tiga tahun, sepatutnya dalam umur 22 atau 23 bukan duduk di bangku simpanan.

“Walaupun kita dapat jejak di luar, mula-mula kita menunggu dan menunggu, tapi kalau dah masuk tahun ketiga, itu bukan menunggu dah,” ujar Shukor dengan tenang seperti biasa.

Rakan se-pundit, Shahrom Kalam turut memberikan komen ikhlasnya tentang situasi permainan Luqman Hakim.

“Ya, dia usaha, dia kerja. Kita nampak dia buat challenge run dan dia lakukan pressing tapi decision making (keupayaan untuk membuat keputusan) punya bahagian mungkin ada sedikit kekurangan.

“Saya rasa dia perlukan lebih banyak perlawanan,” jawab bekas pemain pertahanan Perak tersebut.

Walaubagaimanapun, kedua-dua Shukor dan Shahrom bersetuju bahawa Luqman menjadi mangsa harapan yang terlalu tinggi daripada rakyat Malaysia dan pada masa yang sama, mereka memuji pemain muda tersebut sebagai pemain yang mempunyai mentaliti dan jiwa yang kuat, tidak seperti pemain-pemain Malaysia lain yang pernah beraksi di luar negara.

“Luqman ni, yang saya tanya kawan-kawan, dia mempunyai mentaliti yang bagus, orang yang kuat dan dia dalah satu pemain muda yang pergi ke luar dan tidak homesick dan orang yang bekerja yang nak majukan diri. Kalau tidak, dia tidak akan duduk di sana lama-lama.

“Cuma peluang dia, adakah dia sesuai dengan taktikal jurulatih atau tidak, kita tak tahu,” ulas Shukor panjang lebar.

“Saya rasa dia di sana, biar dia berkembang,” tambah Shahrom Kalam selepas Faiz Gurun membandingkan bagaimana layanan peminat bola sepak Indonesia terhadap Egy Maulana yang tidak bersinar di Liga Bosnia & Herzegovina.

“Kita jangan teralu mempunyai harapan tinggi untuk dia. Dia perlukan masa dan kita bagi dia masa.”

BACA:  Kesebelasan Utama Malaysia vs Thailand