Solskjaer Tidak Mahu Ada Anak Buahnya Yang Merajuk

Ole Gunnar Solskjaer tampil menjelaskan situasi berkait Donny van de Beek yang ketika ini dilaporkan tidak gembira berada di Old Trafford.

Beliau dalam kenyataannya pada hari ini menegaskan bahawa Van de Beek tidak pernah bawa aura negatif, namun beliau tidak mahu ada orang merajuk dalam skuadnya.

Pemain berusia 24 tahun itu dilihat sukar untuk mendapatkan minit permainan yang mencukupi sejak ketibaannya dari Ajax pada musim panas lalu.

Beliau sepertinya sudah mula terkesan kerana sering diketepikan dan emosinya sudah mula terganggu.

Para peminat turut sedih melihat Van de Beek dan turut sama memikirkan tentang nasib bintang Belanda itu yang sering diketepikan.

Ramai yang percaya Van de Beek mungkin lebih sesuai beraksi bersama pasukan lain, agar kariernya tidak terbenam kerana kurangnya minit permainan.

Dari enam perlawanan dalam saingan Premier League musim ini, Van De Beek hanya diturunkan sekali sahaja ketika beraksi bertemu Newcastle sebelum ini.

Van de Beek turut pernah meluahkan rasa kecewanya beliau kerana tidak diberikan minit permainan, dan turut mendedahkan tentang bagaimana Ole pernah menggagalkan urusan perpindahannya untuk sertai Everton.

Van de Beek pada jendela perpindahan baru-baru ini sudah hampir untuk keluar dari United sebagai pemain pinjaman, namun Solskjaer menghalang beliau di saat akhir, dan memberi bintang Belanda itu harapan palsu dengan mengatakan yang beliau sudah ada perancangan untuknya.

Namun sehingga kini de Beek masih tetap tidak menjadi pilihan Solskjaer dan ketika aksi bertemu Villarreal sebelum ini, kemarahan bintang Belanda itu dilihat semakin memuncak.

Donny ketika melihat Fred dan Lingard di bawa masuk, telah melempar cekelat getah ke arah Solskjaer sambil beliau cuba ditenangkan oleh rakan sepasukannya, Eric Bailly.

Ketika di tanya tentang hal tersebut, Ole Gunnar Solskjaer menjelaskan bahawa:

“Kamu tahu, saya sedang mengendalikan sebuah skuad yang dipenuhi oleh pemain bola sepak antarabangsa. Pemain yang sangat berdaya saing dan mahu melakukan sesuatu, mahu bermain.”

“Mereka semua mahu berada di atas padang, sudah tentu mereka mahu beraksi. Donny sudah bersedia untuk bermain, sama seperti pemain lain juga.”

“Saya sendiri pernah menjadi pemain simpanan lebih kerap berbanding mana-mana pemain dalam kelab ini. Saya banyak merekodkan penampilan sebagai pemain simpanan. Kamu kena sentiasa bersedia. Saya juga pernah beberapa kali tak gembira.”

“Alex dikeluarkan sebagai pemain left-back dan Fred melakukan tugas dia dengan sempurna. Saya faham kekecewaan dia, sudah tentu dia kecewa.”

“Setiap pemain berhasrat untuk bermain, tapi semua itu perlu datang dengan tenaga dan tekad dam bila kamu di bawa masuk, kamu perlu buktikan pada saya.”

“Ia bukan hanya Donny, tapi untuk semua pemain. Saya ada skuad yang dilengkapi dengan pemain antarabangsa dan jika kita berjaya, kita berjaya bersama, kita perlu berikan aura positif. Jangan merajuk.”

“Donny langsung tak pernah beri impak negatif pada rakan sepasukan dia, itu pasti. Sebaik saya nampak ada pemain yang bawa aura negatif, saya akan lebih keras lagi.”

Sumber: Sky Sports

BACA:  Reaksi Van de Beek Ketika Sedar Yang Penyokong Man Utd Masih Sayangkan Beliau