Sydney McLaughlin Berjaya Memecahkan Rekod Dunia Miliknya Sendiri Di Olimpik Tokyo

Atlet Amerika Syarikat, Sydney McLaughlin berjaya memecahkan rekod dunia miliknya sendiri ketika beliau memenangi pingat emas acara 400m lari berpagar di temasya Olimpik Tokyo 2020.

McLaughlin yang kini berusia 21 tahun telah mempamerkan persembahan yang sungguh mengujakan dengan beliau menamatkan perlumbaan pada catatan masa 51.45 saat, seterusnya memecahkan rekod dunia miliknya sendiri.

Selain atlet Amerika Syarikat itu, seteru utama beliau, Dalilah Muhammad yang memenangi pingat perak dalam acara ini sebenarnya turut berjaya memecahkan rekod dunia yang dicatatkan oleh McLaughlin sebelum ini.

Pemenang pingat emas ketika temasya Olimpik Rio, Dalilah Muhammad berjaya menamatkan perlumbaan di Tokyo ini dengan catatan masa 51.58 saat, untuk memenangi pingat perak.

Pelari dari Netherlands, Femke Bol berjaya memenangi pingat gangsa selepas menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 52.03 saat.

Perlumbaan 400m lari berpagar kategori wanita ini sebenarnya turut menarik dan dianggap antara yang terbaik sepanjang kejohanan ini.

Pemenang pingat emas dan perak berjaya memecahkan rekod dunia, sementara lima lagi pelari lain berjaya memecahkan rekod terbaik masing-masing.

McLaughlin memecut semakin laju di saat-saat akhir

McLaughlin yang berjaya memecahkan rekod dunia yang beliau cipta ketika di US pada Jun lalu dengan catatan 51.90 masih tidak percaya dengan kejayaan beliau pada hari ini.

“Saya masih tak boleh hadam (rekod dunia) dalam fikiran saya. Saya yakin saya akan terima dan meraikannya kemudian.”

Jelas McLaughlin.

“Saya teramat sangat berbangga. Perlumbaan yang menakjubkan.”

Selepas rekod dalam acara ini bertahan selama 16 tahun sebelum ini, kini Dalilah Muhammad dan McLaughlin silih berganti mencipta rekod baru dalam empat perlumbaan dalam tempoh dua tahun terakhir ini.

McLaughlin berjaya mengekalkan larian tenang dan memecut lari di saat-saat akhir untuk menewaskan pemenang pingat emas di Rio 2016 itu.

Dalilah pula konsisten berlari dengan pantas dari awal, namun sayangnya beliau dipintas oleh McLaughlin yang ternyata mempunyai tenaga serta kemampuan untuk memecut di saat-saat akhir.

“Perlumbaan ini masih belum bermula sehingga pagar yang ketujuh. Saya hanya mahu turun dan memberikan segalanya yang saya ada.”

“Saya sangat berbangga untuk tampil hari ini dan berlumba dalam perlumbaan yang sengit seperti ini dan mewakili negara saya. Saya nampak Dalilah berada di depan saya. Saya fikir masa tu saya akan keluarkan segala-galanya untuk saya sendiri.”

Acara 400m lari berpagar wanita ini sebenarnya sama hebatnya seperti dalam kategori lelaki sebelum ini, dengan dua pelari berjaya memecahkan rekod dunia.

Karsten Warholm telah menghasilkan larian yang sungguh menakjubkan untuk memecahkan rekod dunia dalam acara 400m lari berpagar di temasya Olimpik Tokyo 2020.

Selain memenangi pingat emas, Warholm berjaya memecahkan rekod dunia dengan larian yang penuh bertenaga dan luar biasa menakjubkan.

Atlet dari Norway itu berjaya merekodkan 45.94 saat untuk memecahkan rekod dunia yang dipegang olehnya sebelum ini.

Warholm berjaya mencipta rekod dunia pada Julai lalu di Oslo dengan merekodkan 46.70 saat dan kini beliau berjaya memecahkan rekod tersebut di temasya Olimpik Tokyo 2020.

Atlet berusia 25 tahun itu telah menghasilkan larian yang sungguh luar biasa mengagumkan ketika aksi perlumbaan peringkat akhir pagi tadi, dengan beliau bersama pemenang pingat perak, Rai Benjamin jauh meninggalkan pelari lain dibelakang mereka.

Pelari dari Amerika Syarikat, Rai Benjamin berusaha untuk memberi saingan pada Warholm, namun beliau gagal untuk menewaskan kepantasan pelari dari Norway itu.

Walau bagaimanapun, Rai Benjamin tetap berjaya memecahkan rekod dunia sebelum ini, dan tidak dinafikan perlumbaan 400m lari berpagar lelaki di temasya Olimpik Tokyo ini antara acara paling mendebarkan sepanjang temasya ini.

BACA:  Alysson Felix Dianggap Atlet Trek Dan Balapan Terhebat Dalam Sejarah Sukan Olimpik