Takehiro Tomiyasu Dedah Sebab Mengapa Ben White Tak Nak Passing Bola Kepadanya

Pemain full-back Arsenal, Takehiro Tomiyasu telah bercakap tentang keraguan beliau terhadap rakan sepasukannya, Ben White yang susah untuk passing bola kepadanya.

Pemain kebangsaan Jepun yang kini berusia 23 tahun itu menyertai Arsenal dari Bologna pada musim panas lalu dengan yuran perpindahan bernilai £19.8 juta.

Beliau pada ketika ini merupakan antara pemain terpenting bawah kendalian Mikel Arteta, dengan Tomiyasu sudah membuat 13 penampilan bersama Gunners dalam saingan Premier League.

Beliau dengan segera berjaya menstabilkan diri menjadi pemain pilihan utama Arsenal sejak dari awal ditandatangani, dan Tomiyasu juga turut berjaya memberikan impak seperti yang diharapkan.

Walau bagaimanapun, ada satu hal yang peminat sendiri tak faham tentang Tomiyasu ketika awal kariernya di Emirates, iaitu tentang cara beliau melakukan build up.

Beliau sepertinya gagal untuk berhubung dengan baik ketika build up, terutama ketika bermain atau bertukar hantaran dengan Ben White.

Para peminat sedar yang Ben White sangat jelas tidak akan menghantar bola kepada Tomiyasu ketika Gunners mahu melakukan build up dari bawah.

Hal itu terlalu nyata hingga menjadi topik perbualan hangat para peminat Arsenal dengan pelbagai andaian turut dibuat oleh para peminat.

Segelintir peminat bahkan turut membuat kesimpulan yang Ben White sebenarnya tak percaya dengan Tomiyasu ketika awal-awal karier bintang Jepun itu di Emirates.

Bekas pemain pertahanan Bologna itu kini tampil bercakap tentang topik perdebatan itu, ketika beliau diundang bercakap dalam sebuah rancangan bersama DAZN Japan.

Diterjemahkan oleh pengguna Reddit, u/snow_pocket, Tomiyasu telah menyatakan bahawa:

“Tanaka Ao (pemain kelab Fortuna Dusseldorf dan juga skuad kebangsaan Jepun) turut bertanya kepada saya tentang itu, dan kami berdua membuat kesimpulan yang ia kerana Ben White seorang pemain yang bagus.”

“Kekerapan menghantar bola dari centre-back kepada full-back bakal menjadi hantaran terdesak (yang mana ia akan dapat dibaca oleh pemain penyerang pasukan lawan) maka pemain lawan akan menekan dan ia bakal mengundang risiko.”

“Saya bermain di posisi centre-back juga dan hantaran mudah ke tepi sebenarnya pilihan terakhir yang akan saya buat.”

“Sekiranya pemain full-back itu sedang melancarkan serangan (pemain lawan pula sedang mengejar dari belakang) saya akan hantar bola kepada dia, tapi jika ada pemain di depan dia, bola itu tentu akan tersangkut.”

“Jadi kami simpulkan yang Ben White sebenarnya pemain yang bagus yang tak mahu bermain hantaran yang boleh meletakkan kamu dalam situasi tekanan.”

Tomiyasu jelas sekali tahu apa yang difikirkan oleh Ben White, dengan pemain centre-back kebanyakan akan lebih memilih membuat transisi bola dengan mencari pemain di atas berbanding di sisi beliau.

Mudah kan kesimpulan yang Tomiyasu buat? Jadi tak payah berdebat lagi tentang kenapa Ben White tak nak hantar bola kepada dia, sebab dia dah bagi jawapan.

Adalah lebih baik untuk penyokong Arsenal pada ketika ini memikirkan siapa calon paling layak untuk jadi ketua pasukan, selepas Aubameyang dilucutkan dari jawatan tersebut.

Aubameyang dilucutkan dari jawatan sebagai ketua pasukan Arsenal

Pierre-Emerick Aubameyang secara rasminya telah dilucutkan dari jawatan sebagai ketua pasukan Arsenal oleh pengurus kelab, Mikel Arteta.

Selepas beliau diketepikan dari aksi bertemu Southampton minggu lalu kerana masalah disiplin, Aubameyang kini berdepan satu lagi hukuman dari pihak kelab.

Lilitan kapten miliknya ditarik balik dan beliau selepas ini tidak akan lagi menjadi ketua pasukan Arsenal.

Aubameyang telah diketepikan dari skuad utama Arsenal ketika aksi bertemu Southampton minggu lalu, dengan skuad kendalian Mikel Arteta itu berjaya mencatatkan kemenangan selesa 3-0 menewaskan The Saint.

Mikel Arteta selepas tamat perlawanan telah mendedahkan alasan mengapa beliau mengetepikan Aubameyang dari skuadnya dalam perlawanan itu.

Beliau menegaskan yang bintang Gabon itu diketepikan kerana masalah disiplin dan beliau sengaja mengetepikan Aubameyang sebagai hukuman untuknya.

Ini bukanlah kali pertama dalam tahun ini untuk melihat hal seperti ini berlaku, dengan Aubameyang turut diketepikan ketika aksi London derby pada musim lalu kerana lambat tiba di hari perlawanan.

Baru-baru ini Aubameyang telah meminta kebenaran dari pihak kelab untuk pergi ke luar negara atas urusan peribadi dan permohonan beliau diluluskan oleh kelab.

Walau bagaimanapun, beliau sama sekali tidak tiba pada hari yang dijanjikan dan kerana itulah Mikel Arteta mengetepikan beliau dari skuad bertemu Southampton.

Hal itu jugalah menjadi antara punca mengapa jawatan Aubameyang sebagai ketua pasukan Arsenal ditarik balik dengan kelab sendiri turut mengeluarkan kenyataan rasmi berkait hal tersebut.

“Ekoran dari insiden pelanggaran disiplin terbaru beliau pada minggu lalu, Pierre-Emerick Aubameyang kini bukan lagi ketua pasukan kelab kita, dan beliau juga tidak akan dipertimbangkan untuk aksi bertemu West Ham United pada minggu ini.”

“Kita menjangkakan kesemua pemain kita, terutama ketua pasukan, untuk mematuhi peraturan dan standard yang ditetapkan dan yang telah kita semua persetujui.”

“Kita akan beri tumpuan penuh pada perlawanan esok.”

Aubameyang telah diberi tanggungjawab sebagai ketua pasukan pada tahun 2019 yang lalu, untuk menggantikan Granit Xhaka.

Pemain midfield Switzerland itu telah dilucutkan jawatan sebagai ketua pasukan selepas terpalit dengan beberapa isu kontroversi.

Xhaka diberikan jawatan tersebut selepas mendapat sokongan dari para pemain, namun hal itu sama sekali tidak disenangi oleh para penyokong.

Selepas beliau terlibat dengan insiden menganjing penyokong yang ‘memboo’ beliau ketika sedang dalam perjalanan untuk meninggalkan padang, pihak kelab memutuskan untuk menarik semula jawatan tersebut.

Auba kini sudah melakukan dua masalah disiplin yang menyebabkan jawatan beliau sebagai ketua pasukan ditarik balik.

Para penyokong pada ketika ini tertanya-tanya siapakah calon paling sesuai untuk menggantikan Aubameyang sebagai ketua pasukan yang baru.

Arsenal pada awal musim lalu dianggap sebagai pasukan yang bakal tersingkir dari saingan Premier League, namun mereka berjaya untuk bangkit dan kini sedang bersaing untuk merebut kedudukan empat teratas.

Alexandre Lacazette berkemungkinan akan dilantik sebagai ketua pasukan untuk aksi bertemu West Ham nanti dan mungkin juga akan terus menggalas tugas sebagai kapten terbaru kelab.

Selain Lacazette, sepertinya tiada calon lain yang lebih sesuai dan mungkin juga Mikel Arteta bakal sekali lagi meminta para pemain untuk melakukan pilihan raya kecil untuk memilih ketua pasukan yang seterusnya.

Agak membebankan juga untuk Gunners terus menanggung beban membayar gaji Aubameyang tanpa menggunakan khidmatnya kerana pemain kebangsaan Gabon itu merupakan penerima gaji tertinggi kelab pada ketika ini.

Masa depan bekas bintang Borussia Dortmund itu masih belum dapat dipastikan pada ketika ini, namun satu hal yang pasti, jodoh beliau di Emirates mungkin tidak akan panjang.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Penyokong Bengang Godfrey Tak Dihukum Lepas Pijak Muka Tomiyasu