Marcos Asensio dan Joao Felix menjadi contoh besar bagaimana Unai Emery mampu menghidupkan semula karier pemain yang kian merosot. Kedua-duanya menunjukkan penurunan prestasi namun Emery melihat potensi mereka dengan perspektif berbeza. Disebabkan itu, Aston Villa terus berusaha mendapatkan Joao Felix dan telah bersetuju untuk meminjam Asensio. Begitu juga dengan keyakinan Emery bahawa dia mampu memulihkan karier Marcus Rashford.
“Jika ada jurulatih di Eropah atau dunia yang terkenal dengan kebolehannya mengembalikan prestasi pemain dan mengeluarkan potensi terbaik mereka, ia adalah Unai Emery,” kata Monchi, presiden operasi bola sepak Aston Villa, dalam temu bual bersama El Partidazo de COPE pada malam Khamis.
Pemain seperti Donyell Malen, yang baru berpindah dari Borussia Dortmund pada bulan ini sering menunjukkan peningkatan di bawah bimbingan Emery. Malen, seperti Rashford adalah jenis penyerang yang digemari Emery. Mereka berbakat semula jadi tetapi masih memerlukan bimbingan untuk mencapai potensi penuh.
Namun, usaha membawa masuk Rashford adalah sesuatu yang cukup mencabar. Laporan pada Sabtu lalu menyatakan bahawa Aston Villa hampir mencapai persetujuan dengan Manchester United untuk meminjam Rashford sehingga penghujung musim. Butiran tambahan seperti pilihan untuk membeli secara tetap masih dalam perbincangan. Villa juga akan menanggung sebahagian besar gaji Rashford, yang berjumlah £320,000 seminggu.
Permintaan untuk membawa masuk Rashford datang dari cadangan Emery sendiri. Walaupun prestasi semasanya kurang menyerlah dan reputasinya semakin dipersoalkan, Emery tetap mengagumi pemain berusia 27 tahun itu. Baginya, ketika berada di prestasi terbaik Rashford merupakan salah seorang penyerang paling berbahaya di dunia. Emery yakin dirinya serta pasukan sokongannya mampu membantu Rashford kembali ke tahap terbaik.
Berita mengenai kemungkinan perpindahan Rashford ke Villa menimbulkan keterujaan dalam kalangan staf dan pemerhati kelab. Mereka percaya sokongan penuh daripada Emery boleh membantu Rashford menemui semula sentuhan terbaiknya. Seorang sumber dalaman menggambarkan pendekatan Emery sebagai “meletakkan tangan di bahunya” iaitu memberikan dorongan moral dan menyediakan persekitaran yang membolehkan Rashford beraksi dengan lebih baik.
Di Mana Rashford Sesuai dalam Sistem Villa?
Kakitangan Villa melihat Rashford sebagai penyerang serba boleh walaupun sepanjang kariernya dia lebih banyak beraksi di posisi sayap kiri. Mereka percaya Rashford mampu bermain di sayap kanan, sebagai penyerang utama (NO9) atau sebagai perancang serangan di belakang Ollie Watkins (NO10).
Ketika Rashford mula menembusi pasukan utama Manchester United dia beraksi sebagai penyerang tengah. Namun dengan kelajuan dan kelicikan yang dimilikinya membolehkannya berkembang menjadi penyerang sayap kiri berbahaya apabila diberi kebebasan untuk menyerang gawang lawan.
Penerimaan hantaran Rashford menunjukkan bahawa musim terbaiknya (2019-20 dan 2022-23, di mana dia menjaringkan 17 gol liga dalam setiap musim) berlaku apabila dia menerima hantaran di kawasan half space di sebelah kiri kotak penalti.
Kejayaannya dalam dua musim itu (termasuk 2020-21, apabila dia menjaringkan 11 gol liga) juga berkait rapat dengan kehadiran Luke Shaw sebagai bek kiri. Shaw cemerlang dalam melakukan larian overlap, memberikan Rashford ruang untuk bergerak ke kawasan paling berkesan. Apabila Shaw mengalami kecederaan dan terpaksa berehat panjang, Rashford telah bergelut untuk mengekalkan prestasinya.
Lucas Digne, yang kini bermain sebagai bek kiri Aston Villa berjaya menjalankan peranan yang sama musim ini dengan membantu pasukan melebar dan membuka ruang serangan. Namun persaingan di posisi sayap kiri di Villa agak sengit dengan kehadiran Morgan Rogers dan Jacob Ramsey.
Sistem taktikal Emery menuntut pemain sayap berfungsi sebagai perancang serangan (‘NO10’). Ia memerlukan lebih banyak pergerakan tanpa bola dan permainan berpasukan. Ini berbeza daripada gaya permainan Rashford yang lebih bergantung kepada kepantasan dan serangan langsung.
Rashford di Sayap Kanan?
Bolehkah Rashford bermain di sayap kanan? Pada musim ini dia hanya tampil 4 kali di posisi itu. Dalam 4 perlawanan tersebut dia gagal menjaringkan sebarang gol. Dia melakukan 7 percubaan dan hanya 1 yang tepat ke sasaran.
Namun, dia berjaya mencipta beberapa peluang melalui hantaran silang ke far post seperti yang dilakukannya dalam perlawanan menentang Brentford pada Oktober lalu. Dalam perlawanan itu Alejandro Garnacho berjaya menyudahkan hantaran Rashford.
Rashford tetap menunjukkan kecenderungan untuk bergerak ke sebelah kiri yang menyebabkan kepadatan di kawasan itu dan memudahkan pasukan lawan mengunci serangan United.
Apabila bermain di sayap kanan, Rashford jarang mencuba melepasi pemain lawan. Sebaliknya dia lebih cenderung membuat hantaran ke belakang sebelum bergerak ke bahagian dalam. Keadaan itu boleh menjadi cabaran untuk Villa kerana mereka bergantung kepada pemain sayap kanan untuk memberikan lebar serangan.
Rashford sebagai Penyerang Kedua?
Jika Rashford bermain sebagai penyerang kedua bersama Watkins, dia perlu menyesuaikan diri dengan peranan baharu. Selama beberapa tahun kebelakangan ini, dia lebih kerap beraksi sebagai penyerang tunggal di United.
Dalam kemenangan 4-0 Manchester United ke atas Everton pada Disember lalu, Ruben Amorim menggunakan Rashford bersama Joshua Zirkzee di bahagian serangan. Rashford yang beraksi sebagai penyerang bawah telah menjaringkan 2 gol termasuk 1 gol dalam situasi serangan balas. Rashford telah memanfaatkan kelajuannya untuk menewaskan Jordan Pickford.
Namun, terdapat situasi di mana ketidakbiasaan Rashford dalam peranan tersebut jelas kelihatan. Dalam satu insiden, selepas melakukan hantaran kepada Zirkzee, laluan terbaiknya adalah bergerak ke kanan. Namun Rashford sebaliknya memilih untuk bergerak ke kiri dan membolehkan Everton kembali merampas bola.
Watkins seperti Zirkzee merupakan penyerang berkaki kanan, jadi situasi seperti ini mungkin akan berulang jika Rashford menyertai Villa.
Gaya Kepimpinan Emery
Unai Emery bukanlah jurulatih yang terkenal dengan pendekatan mesra dengan pemain kerana dia lebih fokus kepada analisis taktikal dan strategi permainan. Namun kakitangannya termasuk Damian Vidagany memainkan peranan penting dalam membina hubungan antara Emery dan pemain.
Emery juga seorang yang peka untuk memahami keperluan setiap pemain. Ada yang memerlukan pendekatan tegas, seperti John McGinn, manakala ada yang lebih memerlukan dorongan dan keyakinan diri.
Ketika jelajah pra-musim ke Amerika Syarikat musim lalu, Emery meluangkan masa berbual dengan pemain-pemain muda dan bertanya tentang latar belakang mereka termasuk pekerjaan ibu bapanya.
Dia sering mengadakan pertemuan secara individu dengan pemain seperti Watkins dan Jhon Duran (yang baru dijual ke Al Nassr dengan harga lebih £60 juta). Emery menunjukkan video pergerakan penyerang-penyerang hebat yang pernah dibimbingnya seperti Carlos Bacca dan Edinson Cavani sebagai inspirasi kepada pemainnya.
Keberkesanan pendekatan Emery jelas terbukti. Ramai pemain Villa seperti Watkins, McGinn dan Ezri Konsa meningkat ke tahap yang lebih tinggi di bawah bimbingannya.
Jika Rashford dapat menyesuaikan diri dengan prinsip kerja keras dan konsistensi yang diterapkan oleh Emery, maka perpindahan ini pasti berbaloi untuk dicuba.
Artikel asal dari Tim Spiers