United Dianggap Mempermain-mainkan Masa Depan De Beek

Manchester United telah menghalang Donny Van De Beek dari menyertai pasukan lain dalam saingan Premier League pada hari terakhir jendela perpindahan sebelum ditutup.

Ejen kepada pemain kebangsaan Belanda itu benar-benar terkesan dengan hal tersebut dan merasakan United tak sepatutnya memperlakukan VDB dengan cara sedemikian.

Van De Beek pada musim ini masih belum pernah diturunkan oleh Ole Gunnar Solskjaer, dan beliau jelas sekali mahu meninggalkan kelab.

Satu-satunya pasukan yang tampil mahu mendapatkan khidmat De Beek pada hari terakhir sebelum jendela perpindahan ditutup adalah Everton.

Dengan The Toffees menyatakan minat mereka untuk menandatangani pemain berusia 24 tahun itu menerusi perjanjian secara pinjaman.

Pengurus kelab, Ole Gunnar Solskjaer memberitahu Everton yang rundingan itu tidak boleh diteruskan, dan ia bermaksud beliau mahu De Beek kekal di Old Trafford.

Pada masa yang sama, ejen De Beek, Guido Albers telah menyuarakan rasa tidak senang beliau dengan cara United mengendalikan anak buahnya.

Beliau dalam temu bual bersama VL telah menyatakan bahawa:

“Hari ini saya berusaha mencari kelab baru untuk Donny. Semua orang tahu situasi ini. Kami bekerja sangat keras untuk ini, tapi pihak kelab menyekat segalanya. Terdapat banyak kelab dari Itali, Jerman dan England yang berminat.”

“Saya memilih untuk tidak memperbesarkan hal ini. Semua orang kenal Donny… Dia hanya mahu bermain bola sepak, dia sangat cintakan bola sepak. Jadi reaksi dari saya… Saya rasa kamu pun tahu.”

“Manchester United awalnya dilihat seolah mereka akan beri kebenaran, namun dengan tiba-tiba mereka tak benarkan. Ia sangat menyakitkan sejak kebelakangan ini.”

Van De Beek tiba dari Ajax pada musim panas lalu dengan rundingan bernilai £35 juta, namun beliau gagal untuk mendapatkan tempat dalam skuad utama.

Walaupun beliau berjaya menjaringkan gol ketika di masukkan sebagai pemain gantian ketika aksi debutnya bertemu Crystal Palace, beliau tetap jarang untuk mendapat minit permainan.

Beliau sukar untuk bersaing dengan pemain sedia ada seperti Bruno Fernandes, sementara beliau juga tak sesuai untuk bermain di posisi yang sama seperti Fred atau Scott McTominay.

Van De Beek terlepas peluang untuk beraksi dalam saingan Euro 2020 bersama skuad kebangsaan Belanda, kerana beliau dibelenggu masalah kecederaan.

Beliau juga kini sepertinya telah diketepikan dari skuad utama Belanda untuk aksi kelayakan Piala Dunia mereka.

Pengurus skuad, Louis Van Gaal secara terbuka menjelaskan yang beliau mengetepikan VDB kerana pemain midfield itu kekurangan minit permainan.

Beliau dalam kenyataannya telah menyatakan bahawa:

“Saya bercakap dengan Donny Van De Beek malam semalam, 45 minit saya bercakap dengan dia. Tapi saya tak akan beritahu kamu apa-apa, is antara saya dengan Donny.”

“Tapi, saya tetap berkemampuan untuk menasihatkan pemain. Saya beritahu dia yang dia perlu dapatkan minit permainan.”

Solskjaer telah menyatakan yang De Beek ada dalam perancangan beliau dan turut menegaskan yang bekas bintang Ajax itu ada masa depan yang cerah walau kurang minit permainan.

“Dia boleh bermain sebagai satu atau dua midfield.”

Jelas Solskjaer selepas tamat aksi kemenangan 1-0 United menewaskan Wolves hujung minggu lalu.

“Sudah tentu kita melihat cara untuk dapatkan seorang pemain yang boleh bantu jentera serangan dari dua midfield yang ada di atas padang.”

“Ia merupakan kelebihan Scott dan Paul Pogba dan Donny juga sebenarnya bagus cuma ia tak semudah itu. Ia bergantung siapa yang kamu ada di hadapan kamu.”

“Donny seperti saya kata sebelum ini, dia sedikit bernasib malang.”

“Pada perlawanan pertama (bertemu Leeds) sudah tentu kita bermain dengan sangat baik, menang 5-1. Saya rasa ia cukup jelas pemilihan skuad tak ada masalah.”

“Perlawanan seterusnya bertemu Southampton, Nemanja Matic berhak untuk main kerana dia merupakan pemain terbaik kami ketika pra musim, kedua-duanya, dalam mahupun luar padang.”

Satu hal yang pasti, sebelum ini hanya media dan peminat sahaja yang merasakan United sedang membunuh karier De Beek.

Kini ejennya sendiri juga sudah bersuara, dan ia jelas memberi gambaran bahawa De Beek tidak akan kekal lama di Old Trafford, andai beliau terus diketepikan.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Van de Beek Tampil Pertahankan Harry Maguire Dari Dicemuh Peminat