Venezuela Tuduh Kerajaan Peru Culik Skuad Kebangsaan Dan Pemain Dipukul Polis

Venezuela mendakwa kerajaan Peru ‘menculik’ skuad kebangsaan negara mereka dan mendakwa campur tangan kerajaan Peru yang tidak membenarkan penerbangan yang membawa pemain negara itu mengisi minyak di Lima.

Kedua-dua pasukan negara itu baru-baru ini bertemu satu sama lain dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026 yang berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Pertelingkahan diplomatik tercetus di antara kedua-dua negara selepas perlawanan, dan pemain Venezuela kini mendakwa mereka dipukul pihak polis di negara itu ketika cuba bertemu dengan penyokong.

Ia adalah malam yang penuh huru hara di bola sepak Amerika Selatan selepas rusuhan penyokong turut berlaku di Rio de Janeiro selepas perlawanan membabitkan Brazil dan Argentina.

Menteri Luar Negeri Peru, Yvan Gil turut menyelar kerajaan Peru atas insiden membabitkan pasukan Venezuela di Lima.

“Kerajaan Peru bertindak di luar batasan apabila menghalang penerbangan yang membawa kembali pemain dengan tidak membenarkan mengisi minyak.

“Ini adalah perbuatan penculikan dan kekejaman terhadap pasukan kami selepas perlawanan luar biasa di Lima.”

Kerajan Peru bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan berkata tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan untuk tidak membenarkan pesawat tersebut untuk mengisi minyak.

Peru juga berkata mereka sedang berusaha untuk menyelesaikan kemelut tersebut secepat mungkin.

“Pesawat tersebut sedang mengalami sekatan untuk pesawat komersial [mengisi bahan api] dan perkara itu di luar kawalan pihak kerajaan,” ujar satu kenyataan daripada Lima.

Beberapa jam sebelum itu pemain Venezuela Nahuel Ferraresi menunjukkan balutan di kepalanya yang tercedera dan mendakwa dipukul oleh pihak polis tempatan.

Ferraresi berkata rakan sepasukannya menyerahkan jersi kepada penyokong pelawat yang hadir. Dan ketika dia turut cuba berbuat demikian, dia telah dihalang oleh anggota polis.

“Ini adalah perkara yang tidak sepatutnya terjadi. Perlawanan sudah tamat dan kami mahu berterima kasih kepada penyokong Venezuela yang hadir.

“Tiba-tiba seorang anggota menjadi marah. Saya tidak tahu apa yang berlaku. Anggota polis terus mengeluarkan baton dan memukul kami. Saya dipukul dua kali… mujur kecederaan tidaklah sangat serius.”

Video insiden tersebut yang membuktikan polis Peru menggunakan baton dalam tindakan keganasan terhadap pemain Venezuela kini sudah mulai tular di media sosial.

Ini mendorong Venezuela FA membidas perbuatan tersebut dan menganggap ia sebagai perbuatan diskriminasi dan xenophobia terhadap pemain dan penyokong.

Peru kini menduduki kedudukan terbawah kumpulan kelayakan, manakala Venezuela yang tidak pernah lagi layak ke Piala Dunia di kedudukan keempat.

Perlawanan sememangnya mulai panas sebelum sepak mula apabila pihak polis melakukan pemeriksaan terhadap penyokong dan mensasarkan penyokong Venezuela.

Insiden tersebut berlaku seminggu selepas kerajaan Peru mengumumkan akan menghalau penduduk bukan warganegara di negara itu.

Peru merekodkan 1.5 juta imigran dari Venezuela yang kebanyakkannya melarikan diri ke Peru kerana masalah ekonomi di negara sendiri.

BACA:  Kisah Tarian Tiang Andrew Redmayne Bawa Australia Ke Piala Dunia 2022