Pemain wanita terbaik dunia, Marta Vieira da Silva, membuktikan kualiti yang dimiliknya setanding pemain lelaki selepas menjaringkang gol dari kawasan tengah padang, dalam perlawanan liga Bola Sepak Wanita Kebangsaan (NWSL) di Amerika Syarikat.
Marta, bermain untuk kelab Orlando Pride, sememangnya dikenali sebagai pemain wanita yang mempunyai bakat yang luar biasa, dan dia telah memenangi anugerah pemain terbaik dunia FIFA kategori wanita sebanyak lima kali.
Menuju ke perlawanan menentang Kansas City, Orlando selesa di puncak liga NWSL selepas merekodkan enam perlawanan tanpa kalah, manakala Kansas pula terperosok di dasar liga selepas gagal merekodkan sebarang kemenangan dan hanya mampu seri dua perlawanan.
Dalam perlawanan di Stadium Legends Field tersebut, Kansas terlebih dahulu membuka jaringan pada masa kecederaan separuh masa pertama melalui Marian Larroquette, sebelum disamakan kedudukan dua minit kemudian oleh Sydney Leroux.
Leroux sekali lagi menjadi duri dalam daging buat Kansas apabila mudah menambah gol pada minit ke-49.
Ketika perlawanan menuju ke penghujung, muncul Marta dengan aksi magisnya.
Menerima bola dari kawasan sendiri, Marta sempat menggelecek bola sejauh 15 meter, sebelum melepaskan satu rembatan kencang dengan kaki kirinya, melencong ke arah pintu gol lawan – persis sepakan pemain Republik Czech, Patrik Schick ketika menentang Scotland.
Penjaga gol Kansas, Abby Smith tersedar dirinya dipermainkan sebegitu rupa oleh Marta dan cuba berlari ke gawangnya, namun dia hampa kerana ketepatan dan kelajuan bola telah menewaskannya dan terus menerjah jaring, sekaligus mengesahkan kemenangan Orlando 3-1.
MARTA IS UNREAL 🤯🐐
1-3 | #KCvORL
— Orlando Pride (@ORLPride) June 23, 2021
Marta doing Marta things for Orlando Pride 🐐
(via @NWSL)pic.twitter.com/39HE74yA4G
— ESPN FC (@ESPNFC) June 24, 2021
Dengan keputusan tersebut, Orlando Pride kekal selesa di tangga teratas liga dengan 15 mata dalam tujuh perlawanan, mengatasi Portland Thorns di tangga kedua.
Marta sememangnya bukan calang-calang pemain, di mana dia memulakan karier professionalnya pada usia 14 tahun bersama kelab Vasco da Gama di Brazil pada tahun 2000.
14 tahun tu! Orang lain 14 tahun masih lagi terkial-kial nak sepak bola, dia sudah pun memulakan karier professionalnya!
Dengan bakat yang menawan hati, Marta dilamar oleh kelab Santa Cruz, juga di Brazil pada tahun 2002 dan bermain cemerlang sehingga dipanggil oleh jurulatih pasukan remaja kebangsaan untuk bermain dalam kempen Piala Dunia Bawah-19 Tahun Wanita pada tahun 2004.
Dengan bakat yang luar biasa, Marta mendominasi padang dan memukau mata para pemerhati bola sepak. Walaupun pasukannya sekadar merekodkan kedudukan di tangga keempat kejohanan, Marta telah dipilih sebagai pemain paling bernilai dalam kejohanan.
Hill’s GWG. The whole sequence deserves to be seen. Such a beautiful team goal. Kennedy ➡️ Hill ➡️ Weatherholt ➡️ Marta ➡️ Morgan ➡️ Hill. #OrlandoPride #NWSL pic.twitter.com/bOZuttpx5W
— Bea (@WoSoandStuff) June 18, 2018
Pada tahun yang sama, Marta mula melebarkan sayapnya ke Eropah dengan menyertai kelab Sweden, FC Rosengard di mana dia menabur bakti selama empat tahun dan menjaringkan 111 gol dalam 103 perlawanan.
Pada tahun 2007, Marta membantu Brazil layak ke perlawanan akhir Piala Dunia Wanita sebelum tewas di tangan Jerman 0-2.
Dalam kejohanan tersebut, Marta menggondol anugerah kasut emas dan pemain terbaik kejohanan, mengatasi penyerang sensasi dari Amerika Syarikat, Abby Wambach.
Ketika perlawanan separuh akhir yang menyaksikan Brazil meratah Amerika 4-0, Marta telah menjaringkan gol terbaik kejohanan di mana dia telah menunjukkan kawalan bola dan skill yang cantik sebelum menggelecek dua pertahanan lawan dan melepaskan satu rembatan leret yang gagal diselamatkan penjaga gol lawan.
Pada tahun 2015, Marta muncul penjaring terbanyak keseluruhan dalam pusingan akhir Piala Dunia dengan 15 gol, ketika dia menjaringkan gol kedua buat Brazil menentang Korea Selatan.
Marta muncul sebagai pemain pertama – sama ada lelaki atau perempuan, yang menjaringkan gol dalam lima edisi Piala Dunia pada tahun 2019, selepas dia menjaringkan gol penalti ketika menentang Australia di peringkat kumpulan.
Dalam perlawanan berikutnya, ketika menentang Itali, Marta muncul sebagai pemegang rekod penjaring terbanyak dalam pusingan akhir Piala Dunia – sama ada kategori lelaki atau perempuan – dengan 17 gol selepas jaringannya ke atas pasukan lawan.
Meskipun tidak pernah berjaya membawa Brazil muncul juara dunia, Marta diangkat sebagai pemain terbaik dunia wanita yang pernah dunia saksikan. Buktinya, dia telah menjaringkan 109 gol dalam 159 buat pasukan Samba Wanita tersebut.