Walau Awalnya Terjatuh Sifan Berjaya Bangkit Seterusnya Memenangi Acara 1500m Wanita

Pelari jarak jauh, Sifan Hasan berjaya mencipta detik menakjubkan ketika pusingan terakhir acara 1500m, seterusnya menghidupkan peluang untuk beliau memenangi treble pingat emas di temasya Olimpik Tokyo ini.

Atlet dari Belanda itu berhasrat untuk menjadi wanita pertama memenangi acara 1500m, 5000m dan 10,000m di kejohanan yang sama.

Namun hasratnya itu hampir untuk terkubur selepas beliau tersungkur dan tercicir dari kelompok hadapan, dengan perlumbaan berbaki 400m sahaja lagi untuk ke garisan penamat.

Sifan terjatuh selepas beliau terlanggar pelari lain dihadapannya dan menyebabkan beliau tertinggal jauh dibelakang.

Ajaibnya, atlet berusia 28 tahun itu berjaya untuk bangun semula dan terus mengejar pelari lain yang sudah jauh meninggalkan beliau.

Beliau berjaya mengekalkan pecutan di saat akhir seterusnya memenangi perlumbaan tersebut dengan catatan masa 4 minit 5.17 saat.

Selepas tamat perlumbaan, para peminat memuat naik status di laman media sosial untuk memberikan pujian yang menggunung padanya.

“Menakjubkan, saya tak rasa orang akan sedar dan hargai betapa gigih dia untuk bangun dan meneruskan larian itu.”

“Kalau dia tak jatuh saya rasa dia sudah pecahkan rekod, dia memang atlet yang sungguh menakjubkan.”

Tidak kurang juga ada yang sempat bergurau dengan menyatakan yang Sifan sebenarnya ada kelebihan ketika jatuh kerana beliau sempat rehat seketika sebelum meneruskan larian.

“Saya harap insiden ini akan beri tunjuk ajar pada semua tentang betapa pentingnya untuk berehat seketika.”

Juara dunia acara 1500 itu sebelum ini sudah memenangi pingat emas acara 5000m di kejohanan ini, dengan beliau ketika itu berjaya mengatasi pelari dari Kenya, Hellen Obiri.

Pelari dari Kenya itu berjaya memenangi pingat perak kedua beliau secara berturut-turut selepas beliau turut memenangi pingat perak di temasya Rio 2016.

Sifan ketika awal memotong kelompok pertengahan

Walaupun insiden ini berjaya menaikkan nama beliau dalam dunia sukan jarak jauh, namun sebenarnya Sifan sudah lama dianggap sebagai salah seorang pelari jarak jauh terhebat di muka bumi ini.

Beliau dianggap yang terbaik selepas memenangi pelbagai kejohanan dan turut memegang pelbagai rekod dalam acara larian jarak jauh ini.

Atlet yang dilahirkan di Ethiopia itu memegang rekod terbaik dunia untuk acara 5km perlumbaan jalanan, marathon, dan ‘one hour run’.

Beliau turut pernah memegang rekod dunia untuk acara larian 10,000m, sebelum rekod beliau dipecahkan oleh Letesenbet Gidey dua hari sahaja selepas Sifan mencipta rekod tersebut.

Pencapaian lain untuknya termasuklah menjadi atlet pertama, lelaki atau perempuan yang memenangi kedua-dua acara 1500m dan 10,000m dalam satu kejohanan dunia atau temasya Sukan Olimpik.

Ia merupakan satu perjalanan karier yang sungguh menakjubkan untuk pelari jarak jauh itu, yang meninggalkan negara kelahiran sendiri sebagai pelarian untuk tinggal di Netherlands.

Beliau mula menjadi atlet ketika melanjutkan pelajarannya dalam bidang kejururawatan, dan terus menyedari bakatnya yang luar biasa hebat itu.

Melihatkan kepada kejayaan beliau untuk memenangi pingat emas acara 5000m dan comeback yang menakjubkan dalam acara 1500m, tidak mustahil untuk melihat impian beliau memenangi tiga pingat emas tercapai.

Sumber: GMS

BACA:  Penyertaan Atlet Angkat Berat Transgender ke Olimpik Tokyo Ditentang Hebat