Wesley Sneijder Dedah Punca Tolak Tawaran Liverpool Pada Tahun 2013

Bekas pemain tengah Galasataray, Wesley Sneidjer mendedahkan beliau pernah menolak pelawaan untuk menyertai Liverpool pada tahun 2013 kerana beliau adalah seorang ‘pemenang’.

Pemain kelahiran Belanda ini pernah menjadi pemain tumpuan kelab-kelab besar sekitar Eropah pada suatu masa dahulu dan hampir memenangi anugerah pemain terbaik dunia.

Antara pemain terbaik dunia di bawah Jose Mourinho

Musim paling cemerlang Sneijder sebagai seorang pemain hadir ketika beliau bermain di bawah Jose Mourinho di Inter Milan. Beliau berjaya membantu Inter Milan merangkul treble pada musim 2009/2010. Ramai yang berpendapat beliau sepatutnya memenangi Ballon D’Or pada tahun 2010, bukannya Lionel Messi.

Tidak lama selepas Jose Mourinho meninggalkan Inter untuk menguruskan Real Madrid, penguasaan Inter Milan dalam saingan domestik Itali semakin berkurangan dan tempat mereka telah diganti Juventus yang kembali pulih selepas diturunkan liga.

Sneijder antara pemain yang turut terkesan dengan masalah yang dihadapi Inter Milan pada masa itu. Ditambah dengan masalah kewangan yang dihadapi pasukan tersebut ketika itu, Sneijder seperti diminta berpindah bagi mengurangkan beban gaji pasukan.

Situasi Sneijder ketika itu telah menarik minat beberapa kelab besar Eropah untuk mendapatkan khidmat beliau. Perpindahan ke Liga Perdana Inggeris juga hangat diperkatakan, dengan Liverpool pasukan yang paling berminat walaupun mendapat saingan daripada Manchester United.

Tepat pilihan kamu Sneijder. Syabas babuji

Walaubagaimanapun, Sneijder memilih untuk tidak berhijrah ke England dan menyertai pasukan juara Liga Turki, Galasataray. Ramai yang terkejut dengan pilihan Sneijder kerana pemain ini masih lagi mampu beraksi pada tahap tertinggi.

Sneijder kini berusia 33 tahun dan baru sahaja menyertai kelab dari Qatar, Al-Gharafa pada tirai perpindahan pemain Januari lalu. Beliau sempat bermain di Ligue 1 bersama Nice selama 5 bulan sebelum dibenarkan berpindah ke Qatar.

Dalam satu temubual, Sneijder telah ditanya mengenai tawaran yang pernah beliau terima sebelum berpindah ke Galasataray.

“Banyak kelab menunjukkan minat selepas saya meninggalkan Inter Milan. Liverpool merupakan salah sebuah pasukan yang berminat dan ramai yang terkejut apabila saya memilih untuk menyertai Galasataray.”

“Mengapa Galasataray dan bukannya Liverpool ? Kerana saya adalah seorang pemenang.”

“Saya bermain bolasepak untuk mendapatkan kejuaraan. Jadi saya pergi ke Galasataray kerana saya tahu saya akan menang lebih banyak disana berbanding di Liverpool. Jika difikir balik mengenai keputusan tersebut, saya rasa saya telah membuat keputusan yang bagus.”

Kini merumput di Tanah Arab bagi mendapatkan kontrak lumayan terakhir sebelum bersara.

“Saya meluangkan beberapa tahun yang berkualiti di Turki.”

Sneijder bermain selama 4 tahun setengah di Turki, dan berjaya meraih dua kejuaraan Liga Super Turki dan 3 piala domestik.

Dalam masa yang sama, Liverpool masih lagi gagal menamatkan kemarau kejuaraan liga mereka dan trofi terakhir yang dimenangi mereka adalah pada tahun 2012, iaitu Piala Liga.

Liverpool mungkin tidak terlalu kecewa terlepas peluang untuk mendapatkan Sneijder kerana pada thaun 2013, mereka berjaya mendapatkan khidmat rakan sepasuka  Sneijder di Inter Milan iaitu Philippe Coutinho. Walaupun Coutinho gagal memberikan sebarang trofi kepada Liverpool, mereka berjaya mengutip yuran perpindahan yang tinggi dari pemain tersebut.

BACA:  Kisah 5 Pemain Brazil yang Pernah Bermain Untuk Liverpool