Kenapa Coutinho Gagal di Barcelona dan Bersinar di EPL dan Bayern?

Philippe Coutinho telah kembali ke pentas bola sepak Inggeris apabila menyertai kelab yang dikendalikan oleh bekas kaptennya suatu ketika dahulu, Aston Villa dan selepas tiga perlawanan, dia telah menjaringkan dua gol dan menyumbang dua bantuan gol.

Dalam perlawanan menentang Leeds United, Countinho beraksi dengan begitu cemerlang di mana dia menjaringkan gol pertama serta menyertakan dua assist dalam perlawanan yang penuh debar yang berkesudahan seri 3-3.

Pengurus Villa, Steven Gerrard berkata selepas perlawanan;

“Kalau kau tak suka tengok tu [aksi Coutinho] kau tak layak nak tengok bola.”

Begitulah betapa terujanya Gerrard melihat aksi pemain yang pernah berganding dengannya suatu ketika dahulu sehingga hampir berjaya memenangi kejuaraan liga. Pengulas perlawanan, Jamie Charragher, turut terpukau dengan aksi pemain Brazil tersebut dan hilang kata-kata seolah-olah dia baru sahaja menyaksikan penemuan piramid baru di kutub utara.

Dalam perlawanan di Villa Park tersebut, Leeds terlebih dahulu mendahului lawan apabila bekas pemain Manchester United, Daniel James, telah menjaringkan gol selepas menerima umapanan pendek daripada Rodrigo pada minit kesembilan.

Ketika perlawanan masuk minit ke-30, Matty Cash telah menghantar bola dengan begitu cantik dari sebelah kanan padang kepada Coutinho yang berada di dalam kotak penalti tanpa dikawal, yang kemudiannya melepaskan satu rembatan leret menewaskan penjaga gol Leeds.

Lapan minit kemudian, Coutinho telah membuat satu hantaran leret memecah belah perpaduan umat di celah-celah pertahanan Leeds kepada Jacob Ramsey yang selepas itu dengan tenang menjaringkan gol kedua Villa.

Dua minit sebelum separuh masa pertama tamat, Coutinho sekali lagi menunjukkan bahawa dia masih lagi pemain yang berbisa dan lebih bagus daripada Harry Maguire apabila dia memperdayakan dua pertahanan Leeds sebelum melorongkan bola kepada Ramsey yang melakukan larian dari belakang.

Tanpa segan silu, Ramsey sekali lagi menyepak leret bola dan menewaskan penjaga gol lawan, Illan Meslier.

Ketika separuh masa pertama seakan tamat dengan kelebihan dua gol Villa, James tiba-tiba muncul dan merapatkan kedudukan di mana dia menanduk masuk bola di atas garisan gol selepas pertahanan Villa dilihat agak kucar-kacir dan kelam kabut menerima hantaran bola daripada sebelah kiri Leeds.

Diego Llorente muncul penjaring gol ketiga Leeds sekaligus menyamakan kedudukan selepas dia merembat bola dengan begitu padu dari jarak dekat selepas pertahanan Villa sekali lagi beraksi bagaikan kera digigit semut – cukup kelam kabut – dalam menerima hantaran bola tendangan sudut.

Keputusan ini kekal sehingga wisel penamat ditiup oleh pengadil.

Meskipun agak senyap dan cukup tawadduk dalam separuh masa kedua, tidak dapat dinafikan Coutinho sudah menyesuaikan diri dengan pasukan yang baru sahaja dia turun untuk kali ketiga secara keseluruhan, dan kali kedua di Villa Park.

“Melihat kepada prestasi Coutinho pada malam ini, bukan setakat gol dan assist tu, memang cantik gila lah,” ujar Gerrard lagi selepas perlawanan seperti yang dipetik dari SkySport.

“Memang padu aksi dia. Memang Philippe Coutinho yang dulu la kita tengok malam ni.

“Dia sememangnya semakin hampir kepada prestasi seperti dulu di mana satu dunia bercakap tentang dia.”

Kata-kata Gerrard ini ada asasnya juga kerana prestasi cemerlangnya setakat ini. Jadi, timbul persoalan.

Kenapa Coutinho gagal di Barcelona selepas perpindahan yang mencecah nilai ratusan juta ringgit tersebut suatu ketika dahulu?

Malah masih ada penyokong Liverpool yang belum hilang sakit hatinya mengenangkan Coutinho yang menipu kelab dengan mengatakan dia sakit belakang dan tidak dapat beraksi buat Liverpool dalam usahanya untuk memaksa perpindahan ke Catalan menjadi kenyataan.

Selepas disemak di laman Transfermarkt, sepanjang empat musim di Barcelona, dia hanya beraksi di dalam 106 perlawanan di kesemua pertandingan tak termasuk perlawanan persahabatan dan pertandingan futsal taman perumahan, dan menjaringkan 25 gol serta menyumbang 15 assist.

Pada musim 2019-20, Coutinho dipinjamkan ke kelab gergasi Jerman Bayern Munich dan dia telah turun dalam 39 perlawanan dan menjaringkan 11 gol serta 14 assist. Ini bermakna dia terlibat sebanyak 0.64 kali secara terus dalam penghasilan gol buat Bayern, berbanding 0.38 kali bersama Barcelona.

Bersama Bayern, Coutinho telah dapat rasa bagaimana perasaaan bergelar juara trebel di mana kelab tersebut memenangi Bundesliga, DFB-Pokal dan juga Liga Juara-Juara UEFA.

Ketika bersama Liverpool, pemain Brazil ini tampil dalam 201 perlawanan dan menjaringkan 54 gol serta menyumbang 46 assist – bersamaan dengan 0.50 sumbangan terus untuk penghasilan gol dalam setiap perlawanan.

Jadi, timbul persoalan.

Kenapa di Barcelona Coutinho sendu dan di EPL serta Bayern dia agak power?

Kenapa?

Aku tak tahu kenapa. Korang ada jawapan?

BACA:  Wijnaldium: City Bernasib Baik Kerana Coutinho Sudah Tiada