Aston Villa Boleh Tandatangani Coutinho Dengan Harga Yang Jauh Lebih Murah Dari Perjanjian Asal Bersama Barca

Barcelona dilaporkan mahu membatalkan perjanjian awal mereka bersama Aston Villa berkait rundingan pinjaman Philippe Coutinho, dengan alasan mahu melepaskan bintang Brazil itu secara tetap.

Mereka kini membuka ruang yang lebih luas untuk Aston Villa mencuba mendapatkan khidmat Coutinho secara tetap dengan menawarkan harga yang lebih rendah.

Coutinho menyertai Aston Villa sebagai pemain berstatus pinjaman pada bulan lalu dek kerana beliau berminat untuk bermain di bawah kendalian bekas rakan sepasukannya, Steven Gerrard.

Legenda Liverpool itu ternyata berjaya membantu Philippe Coutinho untuk mendapatkan tahap persembahan terbaiknya, dengan bintang Brazil itu kini dianggap antara pemain paling berprestasi dalam saingan Premier League.

Dari tiga perlawanan bersama Aston Villa, Coutinho sudah berjaya menjaringkan dua gol dan turut mencatatkan dua assists.

Beliau membuka akaun gol dalam saingan Premier League bersama Aston Villa ketika aksi bertemu Manchester United, dan gol keduanya pula berjaya dijaringkan ketika aksi terikat 3-3 bertemu Leeds United baru-baru ini.

Tidak dinafikan lagi yang beliau kini sedang berada di tahap persembahan terbaiknya, dan ramai yang menjangkakan Coutinho akan terus menyerlah di Villa Park.

Steven Gerrard sendiri ketika ini sedang dalam usahanya untuk memastikan Aston Villa akan mampu mendapatkan Coutinho menerusi perjanjian pembelian terus.

Mengikut kontrak asal perjanjian pinjaman Coutinho, Villa boleh menandatangani bintang Barca itu sebagai pembelian tetap dengan bayaran £34 juta.

Walau bagaimanapun, menurut laporan terbaru dari media Sepanyol, SPORT, Aston Villa kini boleh menandatangani Coutinho secara tetap dengan nilai yang lebih rendah berbanding yang ditetapkan dalam kontrak sebelum ini.

Gergasi La Liga itu sememangnya tidak mahu lagi menyimpan bintang Brazil itu, dengan mereka terdesak mahu melepaskan Coutinho dalam usaha untuk meringankan beban bayaran gaji.

Laporan sama turut mendedahkan yang Barcelona sanggup mengurangkan harga Philippe Coutinho asalkan Aston Villa sanggup menandatanganinya secara tetap.

Barcelona dikatakan memang tak berharap pada angka £34 juta yang mereka tetapkan sebelum ini dan tiada sebarang masalah untuk terima bayaran yang lebih rendah.

Skuad kendalian Steven Gerrard itu dilaporkan boleh mendapatkan khidmat Philippe Coutinho dengan yuran perpindahan serendah £21 ke £25 juta sahaja.

Ia merupakan pengurangan harga yang terlalu tinggi dengan Barcelona sendiri sebelum ini menandatangani Coutinho dari Liverpool dengan yuran perpindahan bernilai lebih dari £100 juta pada tahun 2017 yang lalu.

Bintang berusia 29 tahun itu telah mempamerkan aksi persembahan yang sungguh luar biasa menakjubkan dalam tiga perlawanan bersama Aston Villa.

Dalam aksi perlawanan terakhirnya baru-baru ini, beliau berjaya menjaringkan satu gol dan turut mencatatkan dua assists untuk bantu Villa mencatatkan keputusan seri 3-3 bertemu Leeds United.

Bercakap selepas tamat perlawanan tersebut, Gerrard memuji kehebatan dan aksi mantap yang dipamerkan oleh Coutinho dengan menyatakan:

“Ia merupakan Philippe Coutinho versi vintage.”

Jelas Gerrard kepada media.

“Dia nampak gembira, kami berikan pentas untuk dia beraksi dan menikmati karier bola sepak dia semula.”

“Vision dia dan kesedaran dia, jika kamu tak suka melihat itu, mungkin kamu patut berhenti menonton perlawanan bola sepak.”

Belum minta kurang harga, Barcelona dah tawarkan untuk bagi pemotongan harga dan ia jelas membuktikan yang gergasi Catalan itu sememangnya tidak berminat untuk dapatkan khidmat Coutinho.

Sangat rugi andai Aston Villa tidak menamatkan perjanjian pinjaman tersebut, dan menandatangani Coutinho sebagai pembelian tetap pada jendela perpindahan musim panas nanti.

Sumber: SPORTbible

BACA:  [VIDEO]: Pemain Al Ettifaq Jadi Blur, Tidak Faham Arahan Gerrard Ketika Latihan