Szoboszlai Pilih Jersi Ikonik No.8 Liverpool Kerana Miliki Tattoo Steven Gerrard

Dominik Szoboszlai tampil menjelaskan mengapa dia memilih jersi ikonik No.8 Liverpool sebaik sahaja diumumkan sebagai bintang baharu kelab Merseyside itu.

Szoboszlai melengkapkan perpindahan bernilai £60 juta ke Anfield pada Ahad lalu untuk menjadi pemain kedua yang dibawa masuk oleh Jurgen Klopp pada jendela perpindahan musim panas ini.

Ketibaan Szoboszlai adalah selepas Liverpool turut berjaya merekrut Alexis Mac Allister daripada Brighton.

Sebaik sahaja diumumkan sebagai pemain Liverpool, Mac Allister memilih untuk menyarung jersi No.10 – nombor jersi yang sebelum inin ditinggalkan oleh Sadio Mane.

Szoboszlai pula memilih jersi N0.8 yang dikosongkan oleh Naby Keita. Dan seperti semua kita tahu jersi ikonik tersebut sebelum ini begitu popular ketika dipakai oleh Steven Gerrard – bekas kapten dan legenda Liverpool.

Walaupun kempunan menjulang trofi Liga Perdana Inggeris sepanjang bersama Liverpool, dan paling diingati oleh penyokong lawan kerana aksi tergelincir ketika menentang Chelsea pada musim 2014, nama Gerrard masih lagi menjadi sanjungan peminat setia The Kops.

Dianggap sebagai ‘roh’ Liverpool suatu ketika dahulu, Gerrard juga dikenang kerana aksi heronya bersama pasukan itu menjuarai Champions League di Istanbul yang dianggap magis.

Atas sebab yang sama Szoboszlai turut memuja Gerrard, dan pemain tengah berusia 22 tahun itu turut mengukir tattoo kata-kata yang pernah diluahkan oleh pemain legenda itu: “Bakat adalah berkat dari syurga, tetapi tanpa kesungguhan dan kerendahan hati, ia tidak mempunyai sebarang erti.”

Bercakap kepada LFC TV selepas melengkapkan perpindahannya ke Liverpool, Szoboszlai menjelaskan mengapa dia memilih untuk memakai jersi No.8 bersama kelab itu pada musim hadapan.

“Tiada sebab istimewa, tetapi sudah tentu ia adalah nombor yang hebat.

“Ramai pemain hebat pernah menyarung nombor ini di sini.

“Dan saya juga ada tottoo daripada [kata-kata] Steven Gerrard. Saya tidak ingat bila [tatto diukir] tetapi ia sebelum saya tiba di sini. Ia juga salah satu sebab [pilih No.8].

Sebelum Gerrard, jersi No.8 di Liverpool turut pernah dipakai oleh beberapa pemain lain seperti Emile Heskey, Oyvind Leonhardsen, Stan Collymore, Jamie Redknapp dan Paul Stewart.

Di dalam bola sepak moden, jersi No.8 Liverpool tanpa sebarang keraguan dipopularkan oleh Steven Gerrard dan kini ia menjadi inspirasi baru buat Szoboszlai.

BACA:  Jurgen Klopp Puji Persembahan Sadio Mane dan Mohamed Salah