Newcastle Tawarkan Bonus Lumayan Kepada Coutinho Untuk Memujuknya Ke St James Park

Newcastle dikatakan sedang mempersiapkan langkah untuk mendapatkan Philippe Coutinho pada jendela perpindahan musim panas nanti.

Kelab terkaya dalam dunia bola sepak itu dikatakan bersedia untuk membayar £1 juta kepada Coutinho sebagai bonus seandainya beliau setuju untuk ke St James Park.

Pemain attacking midfielder itu telah mempamerkan aksi persembahan yang sungguh menakjubkan sejak beliau menyertai Aston Villa dari Barcelona pada Januari lalu.

Aston Villa mendapatkan khidmat Coutinho menerusi perjanjian pinjaman selama enam bulan dari Barcelona dan ia jelas sekali kerana pengaruh dari Steven Gerrard.

Beliau setakat ini berjaya menjaringkan empat gol dan mencatatkan tiga assists untuk Aston Villa di bawah kendalian Steven Gerrard.

Bekas rakan sepasukannya di Anfield itu merupakan individu yang meyakinkan Coutinho untuk sertai Aston Villa walau banyak lagi kelab lain yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Terdapat laporan yang menyatakan bahawa perjanjian selama enam bulan Coutinho di Villa Park turut mempunyai klausa pilihan pembelian tetap bernilai £33 juta.

Menurut laporan dari media Sepanyol, Sport, telah melaporkan bahawa Newcastle pada ketika ini sangat berminat mahu mendapatkan khidmat Philippe Coutinho.

Laporan sama turut mendedahkan yang skuad kendalian Eddie Howe itu dikatakan sanggup membayar £1 juta kepada Coutinho dalam usaha mereka untuk memujuk bintang Brazil itu.

Coutinho dikatakan sangat diperlukan dalam projek terbaru Newcastle yang digelar ‘projek mega’ dengan ramai lagi pemain berprofil tinggi lain turut ada dalam radar The Magpies.

Sementara Barcelona sendiri pula, mereka dikatakan lebih mengutamakan Aston Villa untuk berunding berkait perpindahan Coutinho.

Walau bagaimanapun, Barca tidak akan terima andai Aston Villa mahu meminta pengurangan harga apa lagi selepas ada kelab lain yang menunjukkan minat mahu mendapatkan pemain midfield mereka itu.

Laporan lain dari media Sepanyol ada melaporkan yang Coutinho sebenarnya tidak berminat untuk bermain bersama Newcastle walau beliau sedar beliau akan menerima tawaran gaji yang lumayan.

Mundo Deportivo melaporkan yang bekas bintang Liverpool itu hanya berminat untuk sertai dua kelab sahaja, iaitu Aston Villa dan Arsenal.

Skuad kendalian Mikel Arteta itu dilaporkan turut berminat mahu mendapatkan khidmat Coutinho selepas melihat kecemerlangan beliau bersama Aston Villa tahun ini.

Pada Februari lalu, Coutinho ada menyatakan yang impian beliau untuk kembali ke saingan Premier League akhirnya tercapai selepas Aston Villa datang mendapatkannya.

“Saya sangat gembira.”

Jelasnya kepada ESPN.

“Ia adalah impian saya untuk kembali beraksi di England dan bermain dalam saingan Premier League semula. Saya gembira dapat kesempatan ini dan saya sangat-sangat gembira.”

“Saya berusaha sangat keras setiap hari untuk bermain dengan baik dan menyumbang sesuatu kepada kelab yang saya wakili. Dan sudah tentu, saya benar-benar mahu kembali ke saingan Premier League, saya sedang berada bersama kelab yang hebat dan mampu membuatkan saya gembira.”

Newcastle sudah menyasarkan beberapa pemain berprofil tinggi seperti Neymar untuk ditandatangani pada jendela perpindahan musim panas nanti.

Mereka ketika ini sepertinya sudah berjaya mengelak dari berada di zon penyingkiran dan sudah hampir pasti untuk membuat penampilan dalam saingan Premier League musim hadapan.

Projek mega yang Newcastle maksudkan adalah mereka mahu mencabar kedudukan empat teratas dalam saingan Premier League musim hadapan, dalam usaha untuk layak ke saingan Champions League musim berikutnya.

Kerana itulah mereka mahu mendapatkan beberapa pemain berprofil tinggi, dalam usaha untuk memastikan kelab berjaya mencapai sasaran mereka itu.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Penyokong Newcastle Dah Mula Berangan Mahu Bintang Mega Sertai Mereka