Youtuber Algeria Ditomoi Samuel Eto’o Dengan Lutut Tepat Ke Muka

Seorang pempengaruh media sosial You Tube atau Youtuber dari Algeria telah ditomoi dengan agak ganas lagi keras oleh Samuel Eto’o yang menyaksikan satu serangan lutut telah dilepaskan tepat ke muka.

Video bekas penyerang Barcelona, Inter Milan dan Chelsea, Samuel Eto’o kelihatan melutut peminat di muka rakaman mengejutkan yang dikongsi di media sosial lalu menjadi tular.

Samuel Eto’o, kini merupakan presiden persekutuan bola sepak Cameroon juga merupakan pemain legenda negaranya yang telah menjaringkan 56 gol dalam 118 perlawanan diperingkat kebangsaan.

Kempem Cameroon telah berakhir di Qatar untuk Piala Dunia 2022 dan Eto’o hadir untuk menyaksikan perlawanan Brazil menumpaskan Korea Selatan 4-1 pada pusingan 16 terakhir.

Tetapi selepas perlawanan, Eto’o telah meluangkan masanya untuk berinteraksi dengan peminat. Bekas pemain berusia 41 tahun itu sedang bergambar dengan orang ramai tetapi dengan tiba-tiba naik angin.

Menurut laporan awal, tindakan Youtuber dari Algeria yang bernama Sadouni SM itu yang membuat rakaman telah menimbulkan kemarahan kepada Samuel Eto’o. Rakam pun marah? Ke Ada sebab lain?

Dalam video yang disiarkan oleh La Opinion, Eto’o pada mulanya berjalan melepasi individu itu tetapi kemudian klip itu menunjukkan dia kembali ke arahnya dalam keadaan marah.

Selepas menyedari dirinya dirakam, Eto’o telah mengejar Youtuber tersebut dan telah menolaknya ke tanah ketika orang ramai cuba meredakan keaadan.

Ketika Eto’o kelihatan seperti berjaya ditahan orang ramai, dia kemudian menggelecek dan berjaya melepaskan diri lalu telah melepaskan satu jurus serangan maut dengan menggunakan lutut.

Bang!!! Lutut separa terbang Eto’o tepat ke muka Youtuber dari Algeria itu yang terus rebah ke tanah dan agak ajaib dia masih mampu untuk bangun serta jelas kelihatan terkejut.

Eto’o kemudian melarikan diri dari tempat kejadian dan tidak memberikan jawapan apabila wartawan bertanya kepadanya apa yang telah berlaku. Sementara itu, Youtuber itu dibantu untuk berdiri semula.

Tidak diketahui dengan tepat apa yang berlaku sehingga mencetuskan reaksi sedemikian daripada Eto’o, yang dikatakan ‘tidak waras’.

Samuel Eto’o ialah duta warisan Piala Dunia 2022 dan menyaksikan persembahan menakjubkan Brazil bersama bekas bintang NFL Chad Johnson di Stadium 974.

Menurut laporan dari wartawan bola sepak Algeria, Youtuber itu telah bertanya soalan mengenai pengadil dari Gambia bernama Bakary Papa Gassama:

“Samuel Etoo, presiden persekutuan Cameroon dengan ganas memukul Youtuber Algeria selepas dia bertanya soalan mengenai pengadil Gassama.”

YouTuber Algeria yang diserang telah memutuskan untuk memfailkan aduan terhadap Eto’o kerana menyerang dan juga merosakkan kameranya.

Gassama Punca Eto’o Lutut Ke Muka

Samuel Eto’o marah kerana Sadouni SM telah bertanya mengenai pengadil dari Gambia yang bernama Bakary Papa Gassama yang mencetuskan kontroversi dalam perlawanan play-off kelayakan Piala Dunia antara Algeria dan Cameroon.

Tetapi menurut laporan lain menyatakan Sadouni SM bukan setakat bertanya tetapi telah mengejek Eto’o dengan jeritan ‘Gassama’ dan ‘penipu’ di tempat awam. Mana tak naik angin member.

Dalam perlawanan itu, Bakary Papa Gassama telah membuat beberapa keputusan kontroversi yang sukar diterima oleh Algeria yang menyaksikan Cameroon layak dengan kemenangan 2-1.

Algeria menewaskan Cameroon 1-0 pada perlawanan pertama dan tewas pada perlawanan kedua 2-1, agregat seri 2-2 menyaksikan Cameroon layak dengan peraturan gol di tempat lawan.

Selepas perlawanan, Persekutuan Bola Sepak Algeria menghantar permintaan kepada FIFA untuk perlawanan ulangan, menyatakan prestasi pengadil tidak memuaskan.

Algeria tidak berpuas hati dengan pengadil Gambia, Bakary Gassama, yang telah membatalkan beberapa gol untuk Algeria meraih kemenangan.

Cameroon mendahului awal, menyamakan kedudukan secara agregat. Penyerang Algeria, Islam Slimani, dibatalakn dua gol, satu kerana ofsaid dan satu kerana keputusan bola terkena tangan.

Gol itu pada asalnya dibenarkan berdiri, tetapi keputusan itu dibatalkan oleh Gassama selepas dia berunding dengan Pembantu Pengadil Video atau VAR.

Algeria menjaringkan gol pada minit ke-118 untuk mendahului agregat 2-1,dan kelihatan seperti akan menuju ke Piala Dunia, tetapi Karl Toko Ekambi menjaringkan gol pada minit ke-124 untuk memberikan kemenangan kepada Cameroon dengan peraturan gol tempat lawan.

Perlawanan itu bukan kali pertama Gassama menjadi tumpuan kontroversi. Semasa kejohanan AFCON, Mesir membantah Gassama menjadi pengadil pertembungan mereka menentang Cameroon.

Bantahan Mesir tidak dilayan, Gassama terus mengadili perlawanan panas itu, melayangkan kad merah kepada jurulatih Mesir Carlos Queiroz di akhir perlawanan.

Disebalik kontroversi yang dicetuskan Gassama, dia masih dipilih FIFA untuk menjadi pengadil di Piala Dunia Qatar 2022 dan ini merupakan Piala Dunia ketiga Gassama selepas 2014 dan 2018.

BACA:  Pertengkaran Dengan Eto'o Punca Onana Disisihkan Cameroon