Pertengkaran Dengan Eto’o Punca Onana Disisihkan Cameroon

Andre Onana dilaporkan telah digugurkan daripada kesebelasan utama Cameroon dalam perlawanan menentang Gambia di Kejohanan Negara-Negara Afrika (AFCON) kerana pertengkaran berpanjangan dengan Presiden Bolasepak negara itu, Samuel Eto’o.

Onana digugurkan dengan sensasi daripada perlawanan wajib menang ke atas Gambia, dan tempatnya di hadapan gawang diambil alih oleh sepupunya, Ondua.

Dalam perlawanan penuh mendebarkan itu, Cameroon mendahului perlawanan 1-0 sehinggalah pada minit ke-72 perlawanan dimana Ablie Jallow menyamakan kedudukan untuk Gambia.

Ebrima Colley kemudian menjaringkan gol pendahuluan buat Gambia pada minit ke-85 perlawanan sebelum gol sendiri James Gomez menyamakan kedudukan untuk Cameroon selepas itu.

Christopher Wooh menjaringkan gol kemenangan dan mengubah kedudukan kepada 3-2 memihak kepada Cameroon pada masa kecederaan.

I News dan Goal mendedahkan Eto’o yang merupakan presiden Persatuan Bolasepak Cameroon memilih sendiri kesebelasan utama Cameroon dan terus mengasingkan Onana.

Perselisihan faham di antara Onana dan Eto’o dilaporkan tercetus sejak penjaga gol Manchester United itu mengumumkan persaraan dan meinggalkan kem Cameroon yang beraksi di Piala Dunia 2022 di Qatar.

Pada ketika itu kedua-duanya tidak mempunyai pendapat yang sama mengenai idea taktikal yang membina serangan daripada bahagian bawah. Kedua-duanya tidak pernah berdamai sejak daripada itu.

Kepulangan Onana kembali bersama Cameroon untuk Afcon pula hanya dilakukan selepas didesak oleh rakyat dan presiden Cameroon sendiri.

Onana terbang dari Manchester ke Ivory Coast untuk Afcon namun disisihkan untuk perlawanan pertama, menyebabkan penjaga gol itu kecewa dan marah.

Cameroon merekodkan keputusan seri menentang Guinea dan menang ke atas Gambia tanpa Onana, namun tewas 3-1 kepada Senegal ketika Onana beraksi.

Kemenangan terakhir peringkat kumpulan melayakkan Cameroon ke pusingan kalah mati Afcon, dibantu kemenangan Senegal ke atas Guinea.

Tidak dapat dipastikan sama ada Onana akan terus diberikan kesempatan beraksi sekiranya Eto’o terus bertegas menapis kesebelasan utama pasukan untuk baki perlawanan di kejohanan ini.

BACA:  Mimpi Ngeri Onana Dibocori Hanya Selepas 6 Minit Lakukan Debut Bersama Setan Merah