RASMI: Andre Onana Sertai Manchester United

Manchester United terus membuatkan musuhnya rasa gerun apabila mereka mendapatkan salah seorang penjaga gol terbaik di dunia iaitu Andre Onana dari Inter Milan.

Andre Onana telah menyertai Manchester United dengan kontrak yang berjalan sehingga Jun 2028, dengan pilihan setahun lagi untuk dilanjutkan.

Dan kini pemain itu sedang dalam proses untuk surat pelepasan antarabangsa.

Berita tentang penandatanganan Andre Onana itu diumumkan secara rasmi oleh Manchester United menerusi kenyataan rasmi kelab.

Onana pakar clean sheets

Penjaga gol Cameroon yang bersara muda dari peringkat antarabangsa itu telah melakukan 104 halaman bersih dalam 255 penampilan di peringkat kelab.

Dia sudah memenangi tiga kejuaraan liga Belanda / Eredivisie dan dua Piala KNVB bersama Ajax sebelum menyertai Inter Milan pada 2022.

Di Inter dia menaikkan lagi kariernya ke tahap lebih tinggi. Menjadi penjaga gol elit di Itali dan Eropah.

Musim lalu, dia memenangi Coppa Italia dan mencatat rekod cadar bersih terbanyak dalam Liga Juara-Juara.

Onana teruja

Pemain yang dikenali dengan gaya permainan elegan, Andre Onana berkata:

“Untuk menyertai Manchester United adalah satu penghormatan yang luar biasa dan saya telah bekerja keras sepanjang hidup saya untuk sampai ke saat ini, mengatasi banyak halangan sepanjang perjalanan karier saya.”

“Berjalan keluar di Old Trafford untuk mempertahankan gawang kita (Man United) dan menyumbang kepada pasukan akan menjadi satu lagi pengalaman yang menakjubkan.”

Onana teruja dengan cabaran baharu dalam kariernya bersama sama dengan rakan sepasukan baharu serta impian baharu di kelab terhebat Manchester United.

Onana menambah: “Ini adalah permulaan perjalanan baharu bagi saya, dengan rakan sepasukan baharu dan cita-cita baharu untuk diperjuangkan.”

“Manchester United mempunyai sejarah panjang dengan penjaga gol yang luar biasa, dan saya kini akan memberikan segala-galanya untuk mencipta legasi saya sendiri pada tahun-tahun akan datang.”

“Saya teruja dengan peluang untuk bekerja semula dengan Erik ten Hag, dan saya tidak sabar untuk memainkan peranan saya dalam mencapai kejayaan yang saya tahu dia berazam untuk mencapainya di kelab bola sepak yang hebat ini.”

John Murtough, pengarah bola sepak Manchester United, berkata:

“Andre adalah pilihan utama kami untuk menjadi penjaga gol baharu Manchester United, dengan profil ciri teknikal dan personaliti yang tepat. Setelah mencapai banyak kejayaan sepanjang kariernya, kami tahu Andre akan menambahkan lagi mentaliti kemenangan yang kami bina dalam skuad kami.

“Dia sudah pun menjadi salah seorang penjaga gol terbaik dunia dan pada usia 27 tahun kami yakin dia boleh berkembang lebih jauh pada tahun-tahun mendatang.”

Man United dan Inter dilaporkan setuju dengan harga £47.5 juta untuk penjaga gol tersebut.

Man United menjadikan Onana sasaran utama mereka setelah kehilangan David De Gea yang tamat kontrak.

Erik Ten Hag sentiasa mahukan penjaga gol jenis ball playing keeper. Dan kini dia sudah mendapatkan apa yang dia hajatkan.

Onana akan menyertai Manchester United dalam tugasan pra musim di Amerika Syarikat selepas segala urusan visanya selesai dalam masa terdekat.

Di ruangan komen, rata rata peminat Man United teruja dengan kehadiran Andre Onana yang dianggap pembelian berbaloi untuk kelab itu.

Sementara itu, Inter Milan dijangka akan memulakan langkah membeli Yann Sommer dari Bayern Munich sebagai pengganti Andre Onana.

Ini selepas David De Gea menolak tawaran Inter Milan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Onana.

BACA:  Onana Berat Hati Sertai Cameroon Di AFCON Kerana Man Utd