Onana Berat Hati Sertai Cameroon Di AFCON Kerana Man Utd

André Onana dilaporkan berat hati meninggalkan Manchester United untuk beraksi bersama Cameroon di Kejohanan Piala Afrika (AFCON) pada Januari hadapan selepas permulaan sukar di Old Trafford.

Onana pernah meninggalkan bola sepak antarabangsa selepas Piala Dunia di Qatar selepas berselisih faham dengan Ketua Jurulatih Rigobert Song.

Penjaga gol itu kemudiannya bersetuju untuk beraksi semula di pusingan kelayakan AFCON menentang Burundi pada September lalu selepas dipujuk kerajaan dan Cameroon FA.

Kemenangan 3-0 Cameroon dalam perlawanan tersebut melayakkan mereka ke AFCON 2024 yang akan bermula pada 13 Januari hadapan di Ivory Coast.

Bekas penjaga gol Inter Milan itu bagaimanapun terpaksa melupakan tugasnya bersama Manchester United selama sebulan sekiranya memberikan komitmen kepada negaranya.

Menurut sumber yang rapat dengan Onana berdasarkan laporan ESPN, Onana kini berat hati untuk beraksi di AFCON untuk mengutamakan kariernya bersama kelab baharunya itu.

Onana dikatakan lebig memilih untuk kekal berada di Old Trafford untuk membantu pasukan setelah beberapa penampilan yang menyaksikan kesilapan yang memberikan kesan mendalam kepada pasukan.

Langkah kekal di Old Trafford dan tidak menyertai Cameroon untuk AFCON dianggap sebagai salah satu cara untuk dirinya menunjukkan komitmen kepada Manchester United.

Onana sebelum ini menjadi punca kekalahan 4-3 kepada Bayern Munich pada September dan turut memainkan peranan menyebabkan Casemiro dilayangkan kad merah dalam perlawanan menentang Galatasaray baru-baru ini.

Pengurus Manchester United bagaimanapun tetap yakin bahawa Onana adalah penjaga gol yang tepat untuk pasukannya selepas didatangkan dari Inter Milan untuk menggantikan David de Gea pada musim panas lalu.

“Kami gembira dengan penjaga gol yang kami miliki,” kata Ten Hag selepas dimalukan Galatasaray.

“Andre pernah beraksi di separuh akhir (Champions League) bersama Ajax dan kemudiannya di perlawanan akhir bersama Inter Milan pada musim lalu.

“Jadi kredibiliti beliau sebagai salah seorang penjaga gol terbaik dunia sudah terbukti.

“Dalam beberapa perlawanan lalu kita juga telah melihat sekilas kemampuan dan personaliti yang beliau miliki. Dia akan kembali menampilkan prestasi sebenarnya.”

Onana telah mendapat panggilan untuk menyertai Cameroon untuk dua perlawanan persahabatan menentang Rusia dan Senegal pada Oktober ini.

Sumber kepada ESPN mendedahkan perbincagan dengan pegawai skuad kebangsaan Cameroon sedang diadakan sebelum pemain itu menyatakan pendiriannya untuk beraksi di AFCON.

BACA:  Wenger: Kehilangan Van Persie Lebih Pedih Daripada Sanchez