Onana Tiada Masalah Beraksi Dua Perlawanan Di Dalam Tempoh 24 Jam

Hajat Erik ten Hag untuk menggunakan khidmat Andre Onana untuk perlawanan menentang Tottenham pada hujung minggu ini akhirnya tercapai.

Skuad Setan Merah mengalu-alukan kedatangan seteru Top 4 mereka itu ke Old Trafford pada hujung minggu ini dan berharap penjaga gol utama mereka itu boleh diturunkan walaupun Cameroon memulakan cabaran di pertandingan Piala Afrika (AFCON) sehari selepas itu.

Ten Hag bagaimanapun mendapat lampu hijau untuk menggunakan khidmat Onana di hadapan gawang untuk perlawanan itu nanti setelah Cameroon bersetuju membenarkan Onana untuk bersama United untuk satu perlawanan lagi.

Berdasarkan peraturan FIFA, United sepatutnya telah melepaskan Onana sejak 1 Januari lalu untuk bersama skuad kebangsaan negaranya.

Walaupun demikian Onana kini menggunakan tempoh dua minggu sebelum sepak mula AFCON untuk kekal bersama United.

Setelah tamat perlawanan menentang Tottenham, Onana dijadualkan akan terbang terus ke Ivory Coast di mana kejohanan tersebut akan berlangsung sehingga pertengahan Februari hadapan.

Cameroon akan memulakan cabaran di AFCON menentang Guinea. Ini bermakna Onana berkemungkinan beraksi dalam dua perlawanan di dalam tempoh kurang 24 jam.

Cameroon dikatakan memahami situasi yang dihadapi oleh United kerana Onana sebelum ini telah pun bersara daripada bola sepak antarabangsa ketika menyertai United.

Penjaga gol itu bagaimanapun melakukan pusingan u pada September lalu setelah dipujuk oleh Cameroon.

Bergantung kepada sejauh mana Cameroon mampu mara di AFCON, Onana boleh kembali menyertai United tanpa terlepas sebarang perlawanan bersama kelabnya itu.

Tanpa Onana, Ten Hag dijangka akan menyandarkan posisi penjaga gawang kepada Altay Bayindir yang dibawa masuk pada jendela perpindahan musim panas lalu.

Onana sentiasa mendapat perhatian peminat bola sepak dunia sejak tiba dari Inter Milan. Walaupun dilabel penjaga gol terhebat bola sepak moden kerana kehebatan menggunakan kaki, beberapa siri kesilapan berprofil tinggi meletakkan United berada di dalam kedudukan sukar termasuk tersingkir di peringkat kumpulan Champions League.

Bulan lalu Ten Hag mempertahankan kemampuan penjaga gol itu dengan menampilkan statistik luar biasa yang dihasilkan Onana.

β€œJika anda melakukan analisis dia adalah penjaga gol kedua terhebat di Premier League,” kata Ten Hag.

β€œDia sebenarnya bermain dengan baik. Dia tahu dirinya telah melakukan kesilapan di pertandingan Champions League tetapi lima bulan pertama dia menyesuaikan diri dengan baik.”

Sukar untuk memahami kenyataan daripada Ten Hag ini selepas United dibocori 27 kali daripada 20 perlawanan Premier League setakat ini.

BACA:Β  Gary Neville Kecam Glazers Kerana Rembat Dividen Sebanyak RM59.35 Juta