AFCON: Tuan Rumah Pecat Jurulatih Sebelum Layak Ke Pusingan Kalah Mati Dengan Cara Memalukan

Tuan rumah Kejohanan Negara-Negara Afrika (AFCON), Ivory Coast memecat Ketua Jurulatih Jean-Louis Gasset berkuat kuasa serta merta walaupun pasukan itu berjaya meloloskan diri ke pusingan kalah mati (16 pasukan terbaik).

Pemecatan tersebut dilakukan setelah Ivory Coast merekodkan kekalahan 4-0 kepada Equatorial Guinea yang dianggap sebagai kekalahan paling memalukan di dalam sejarah bola sepak Afrika.

Ia dianggap sedemikian kerana ia adalah kekalahan paling teruk pernah dialami oleh mana-mana pasukan tuan rumah dalam sejarah kejohanan.

Kekalahan itu meletakkan Ivory Coast di kedudukan ketiga Kumpulan A dan terpaksa bergantung kepada keputusan perlawanan di dalam kumpulan lain sebelum mengesahkan kemaraan sebagai empat pasukan terbaik yang menamatkan saingan di kedudukan ketiga.

Satu kenyataan daripada Persekutuan Bolasepak Ivory Coast berkata Gasset yang berusia 70 tahun dipecat kerana keputusan perlawanan memalukan, dan tempatnya akan diambil alih oleh Emerse Fae sebagai pengendali interim.

Nasib Ivory Coast di Afcon edisi kali ini akhirnya dibantu oleh kekalahan 1-0 Zambia kepada Maghribi di dalam saingan Kumpulan F.

Kemenangan Maghribi adalah hasil jaringan tunggal Hakim Ziyech yang mencetuskan keraian luar biasa daripada kalangan penyokong Ivory Coast yang memenuhi Stadium Laurent Pokou untuk menyaksikan perlawanan tersebut.

Gasset mengambil alih peranan sebagai Ketua Jurulatih Ivory Coast pada Mei 2022, dan merekodkan 10 kemenangan daripada 17 perlawanan yang dikendalikannya.

Jurulatih dari Perancis itu merombak pasukannya secara besar-besaran sebelum kejohanan dan tidak menyenaraikan pemain bintang seperti Eric Bailly dan Wilfred Zaha yang mencetuskan perdebatan di negara tuan rumah Afcon itu.

BACA:  Aksi Larian Pelik Pengadil AFCON Ini Mencuri Perhatian Peminat Seluruh Dunia