Pemain Termuda Beraksi Di AFCON 2024 Antara Pemain Digantung Kerana Palsukan Usia Sebenar

Persekutuan Bolasepak Cameroon (FECAFOOT) bertindak menggantung 62 pemain kerana kesalahan memalsukan usia sebenar mereka. Ini termasuklah Wilfred Nathan Doula yang dicanang sebagai pemain termuda beraksi di Kejohanan Negara-Negara Afrika (AFCON) pada Januari lalu.

Senarai pemain digantung kerana menipu usia sebenar melibatkan 62 pemain dikeluarkan oleh FECAFOOT pada 9 Mac lalu. 62 pemain daripada 12 kelab yang beraksi di pusingan play off MTN Elite One terlibat. Secara keseluruhan 16 pasukan mengambil bahagian dalam pertandingan domestik di Cameroon itu.

Pertandingan tersebut dijadualkan bermula pada 15 Mac, dan kini kesemua pemain telah disenarai hitam daripada mengambil bahagian kerana usia sebenar mereka tidak jelas.

Doula adalah pemain paling berprofil tinggi di kalangan 62 pemain yang didakwa menipu usia sebenar mereka.

Pemain itu sebelum ini mencipta sensasi tersendiri di AFCON kerana dianggap sebagi pemain termuda beraksi di kejohanan peringkat rantau Afrika tersebut sebelum ini. FECAFOOT sehingga kini bagaimanapun belum mendedahkan usia sebenar Doula.

Ketua Jurulatih Cameroon Rigobert Song sebelum ini memuji prestasi Doula bersama Victoria United di pertandingan domestik sebelum menyertakan namanya untuk skuad ke AFCON.

Pemain itu bagaimanapun tidak beraksi walaupun seminit sehingga Cameroon disingkirkan oleh Nigeria di pusingan kalah mati.

Penipuan usia sebenar pemain bola sepak di Afrika bukanlah perkara baharu. Cameroon kini telah mendedahkan penipuan serupa untuk tiga tahun berturut-turut.

Pada musim panas 2022, FECAFOOT memanggil 44 pemain daripada lapan kelab berasingan atas dakwaan penipuan usia. Ia adalah sebahagian daripada usaha Preseiden FECAFOOT ketika itu, Samuel Eto’o membanteras gejala penipuan usia.

Pada Januari 2023, Cameroon meneruskan usaha membanteras skandal penipuan sama apabila 21 anggota skuad Bawah-17 disingkirkan kerana menipu usia sebenar mereka. Kesemua pemain kemudiannya turut digantung.

Pada 2016 FECAFOOT melakukan ujian MRI dan mendapati 14 pemain di negara itu menipu usia sebenar menjelang Kejohanan Negara-Negara Afrika Bawah-17 Tahun.

Pada 2018, 10 pemain Benin turut dijatuhkan hukuman sebulan penjara kerana memalsukan usia sebenar mereka. Insiden tersebut menyebabkan skuad kebangsaan Benin disingkirkan daripada kejohanan B-17 Afrika.

BACA:  Setuju Dengan Klopp: Pengurus Metz Bantai AFCON Tanpa Belas