AFCON: Bintang Kuching City Bantu Negaranya Di Ranking Ke-115 Dunia Kejutkan Tunisia

Pemain tengah Kuching City, Petrus Shitembi berjaya membantu negaranya Namibia mencipta kemenangan bersejarah 1-0 ke atas Tunisia di Afcon 2023 yang sedang berlangsung di Ivory Coast.

Kemenangan tersebut dianggap luar biasa kerana Namibia adalah pasukan yang berada di rangking ke-115 dunia. Pada masa yang sama Tunisia berada di rangking ke-28 di dalam senarai FIFA.

Di kejohanan Afcon, Tunisia dianggap sebagai pasukan ketiga terkuat berdasarkan ranking FIFA di belakang Maghribi dan Senegal.

Gol kemenangan Namibia dalam perlawanan tersebut dijaringkan oleh pemain sayap, Deon Hotto pada minit ke-88 perlawanan untuk mengecewakan Tunisia.

Dalam perlawanan tersebut Petrus Shitembi beraksi sebagai pemain kesebelasan utama dan beraksi selama 60 minit sebelum digantikan.

Petrus Shitembi juga adalah satu-satunya pemain yang beraksi di Liga Malaysia yang beraksi di Afcon.

Petrus sememangnya bukan watak asing di Liga Malaysia. Pertama kali beraksi di negara ini bersama Sabah FC pada 2020, beliau kemudiannya berhijrah ke Terengganu pada musim 2021.

Setelah dua musim bersama Terengganu Petrus Shitembi kemudiannya dilamar Kuching City dan beliau menjadi tunjang utama skuad kendalian Aidil Sharin muncul naib juara Piala Cabaran MFL pada musim ini.

BACA:  Senarai Kesebelasan Terbaik AFCON 2021 Tanpa Salah Dan Mendy